Bagaimanakan ku mula, dan apakah kata-kata yang indah untuk diabadikan? Permulaan lirik lagu nyanyian M.Nasir, Suatu Masa. Seperti biasalah lagu-lagu merupakan antara teman aku tak kira masa sama ada waktu gembira, sedih, angau dan sebagainya. Aku memang gemar mendengar pelbagai bentuk muzik. Kalau ditanya apakah jenis muzik yang aku suka, aku boleh katakan semua jenis muzik boleh aku layan. Termasuklah klasikal ataupun blues ataupun country. Biasanya jenis lagu yang aku perdengarkan bergantung kepada mood aku. Kalau mood aku tengah biasa, aku suka dengar lagu yang agak tenang seperti lagu klasik ataupun lagu-lagu yang easy listening. Kalau aku tengah tak menentu, biasanya lagu-lagu yang aku dengarkan bercampur-campur, rock, heavy metal dan sebagainya. Kalau sekiranya aku tengah sedih, aku biasanya akan tukar-tukar jenis lagu, sekejap lagu slow sekejap lagu rancak. Kalau ikut psikologi pun sekiranya kita sedang hadapi tekanan, antara cara yang boleh digunakan untuk melegakan ketegangan ialah dengan mendengar muzik. Ianya dikenali sebagai terapi muzik. Kita kena selang selikan lagu rancak dan lagu perlahan. Tidak lama selepas itu kita akan lebih tenang. Setakat ini hasilnya memang menjadi. Tak tahulah pada orang lain, tetapi pada aku, terapi muzik dapat membantu aku. Kalau dah teruk sangat, aku akan mengaji. Itu sudah confirm dapat tenangkan jiwa.
Semalam cuti umum jadi aku gunakan masa yang ada untuk membawa orang tua aku berjalan. Mama aku teringin nak ke Bukit Tinggi, jadi aku pun bawalah dia ke Bukit Tinggi. Memang dah lama mama aku berhajat untuk kesana, jadi aku bawalah mama aku kesana. Sungguhpun tak lama berada di sana, namun, sekurang-kurangnya hajat mama aku tercapai. Dalam perjalanan aku ke Bukit Tinggi, tiba-tiba bos aku telefon, aku ingatkan apa hal la, kalau dia suruh aku datang kerja, sudah pasti aku kena patah balik untuk ke pejabat, tetapi mujurlah dia nak tanya pasal nombor telefon kawan aku yang minta kerja tempoh hari, jadi aku pun berikanlah nombor telefon kawan aku pada bos aku. Alhamdulillah, kawan aku dapat kerja dengan pendapatan yang dia harapkan.
Aku kadang-kadang rasa tak tahu apa yang aku rasa. Semalam aku amat rindukan pada si dia. Entah kenapa, aku teringat pada dia sangat-sangat. Adakah dia teringat pada aku? Mungkin tidak. Masakan dia mahu teringat pada aku kerana dia tidak rasa apa-apa pada aku sungguhpun dia sudah ketahui bahawa aku suka pada dia. Setiap kali aku rasa nak saja telefon ataupun sms dia, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalang aku daripada berbuat demikian. Terpaksalah aku tahan sahaja hajat aku dan terus merindui dia sendirian.
Hari sebelum cuti yang lepas, aku pulang lewat kerana ada kerja yang perlu dilakukan dengan segera sebelum cuti. Waktu tu juga si dia masih ada dipejabat kerana dia juga perlu siapkan kerjanya. Tetapi bukan kami berdua sahaja yang ada dipejabat masa tu, ada seorang lagi staff, jadi aku tidaklah rasa risau kerana tidak akan difitnah jika hanya berdua sahaja. Kalau terpaksa berdua, aku akan keluar dari pejabat dahulu, sehingga dia selesai buat kerja baru aku akan masuk pejabat semula untuk sambung kerja. Bukan dengan dia sahaja, sebelum ini pun pernah terjadi aku tinggal berdua sahaja di pejabat dengan staff lain, jadi aku keluar minum dahulu sehingga staff terbabit siap kerja baru aku sambung kerja. Jadi masa hari itu kami pulang bersama la, maksud aku waktunyalah, sekitar jam 8 malam. Aku bye-bye la dia, dan dia senyum sahaja, aduh cair hati aku dengan senyuman si dia. Sepanjang perjalanan aku tersenyum sahaja.
Tapi semalam yang paling seronok pada aku apabila mendapat perkhabaran bahawa kawan aku telah dapat kerja dengan bos aku. Seronok sangat kawan aku ketika beliau menghubungi aku. Alhamdulillah. Itu rezeki kawan akulah dan aku hanya introducer sahaja dan tidak lebih daripada itu. Selebihnya memang terletak kepada bahu kawan aku tu. Syukurlah beliau akan mula kerja minggu hadapan.
Walau apa pun semalam kepala aku memang penuh teringatkan si dia, teringat sangat-sangat. Aku hanya mampu serahkan diri aku pada Allah dan dikala itulah aku mendengar lagu suatu masa. Memang sangat sesuai lagu tu untuk aku sekarang. Tapi mungkin ini khayalan sahaja. Tak mengapalah, itulah cara aku menenangkan jiwa aku.
Pagi ni si dia masuk lambat, jadi aku pun tertunggulah akan si dia. Tapi yang peliknya bila tengok si dia, aku tak rasa apa-apa. Pelik betul la, memang memeningkan kepala aku buat masa ni. Bila tak nampak rasa rindu sangat, tapi bila dah nampak tak rasa apa-apa pulak, angau ke langau ni? Entahlah, ha ha ha, aku kadang-kadang tersenyum sendiri dengan diri aku. Ialah macam desparate houswife pun ada. Ha ha ha. Aku memang perlukan teman sekarang ni, tu saja yang aku tahu. Tapi siapakah yang sudi menemani aku? Memang aku tak pandang orang lain selain dia, namun aku perlu realistik kerana tak mungkin dia perlukan aku. Itu sahajalah. Tak apalah, selagi kepala aku boleh tenang, selagi itu aku perlu buat biasa sahaja. InsyaAllah, aku boleh atasi segala masalah ni dengan tenang kerana aku perlu kawal perasaan aku. Jangan ulangi kesilapan lalu sudahlah. InsyaAllah, aku boleh atasinya. Aku harus yakin dengan diri aku sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment