Akhirnya aku dapat juga merasai erti satu pekerjaan setelah lama meninggalkan dunia swasta. Aku pernah menceburkan diri dalam bidang kerajaan, namun aku dapat katakan bahawa aku memang lebih seronok bekerja dalam sektor swasta sepenuhnya. Memang aku ada pengalaman kerja dengan swasta, kerjaan, separuh kerajaan dan juga perbadanan, tetapi apabila dinilai semula kepuasan aku bekerja, memang aku lebih rasa puas bekerja di sektor swasta. Kalau orang tua mahu lihat anak mereka kerja kerajaan dengan alasan kerja kerajaan lebih terjamin, namun, aku lebih puas hati kerja dalam sektor swasta. Kerja kerajaan sekarang pun sudah mewah berbanding dahulu, tetapi bukan RM yang aku kejar, tetapi kepuasan. Kali pertama aku kerja dalam kerajaan sepenuhnya aku cuba terapkan cara bekerja disektor swasta, namun, bila kerja rajin sangat pun orang bising. Memang aku pelik dengan environment melayu ni. Suka sangat ambil hal pasal orang lain.
Aku sempatlah bekerja dalam sektor kerajaan dalam 3 tahun lebih. Sepanjang kerja disektor kerajaan, aku terpaksalah mengubah mentaliti kerja aku. Dari seorang yang amat komited kepada kerja, aku berubah sedikit demi sedikit mengikut keaadan persekitaran. Memang pada mulanya aku agak menonjol kerana beri sahaja apa jua tugas, pasti aku akan laksanakan dengan sebaik mungkin. Tapi sayangnya, budaya melayu ni melemahkan semangat orang yang rajin bekerja. Pantang lihat orang lain lebih sikit, pasti akan ada puak yang berdengki. Aku tidak menolak kemungkinan apa yang terjadi pada aku ada unsur sabotaj dan satu bentuk konspirasi. Bukanlah aku nak kata aku ni bagus sangat, tapi kalau aku bekerja, memang aku akan beri komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diberikan. Ditambah pula aku ni mudah dikenali orang ramai sehingga ke peringkat pengurusan tertinggi boleh kenali aku. Maka tidak mustahil ada kumpulan yang merancang satu konspirasi bagi menjatuhkan aku.
Sejarah telah menunjukkan, pahlawan tersohor Melaka, Hang Tuah yang gagah dan handal dalam dunia persilatan, kecundang juga akhirnya dengan satu konspirasi yang memfitnah beliau. Kerajaan Melaka yang cukup disegani suatu ketika dahulu, negeri pertama di Tanah Melayu yang mempunyai sistem kerajaan kesultanan Melayu, sehingga kini sudah tiada Sultan. Inilah kesan dan akibat daripada busuknya hati orang melayu. Minta maaflah, sudah memang sifat melayu yang suka menjatuhkan bangsa sendiri. Memang susah hendak lihat melayu maju. Bukan tiada melayu yang kaya dan berjaya, tetapi bilangannya sangat kecil jika dibandingkan dengan bangsa asing. Melayu akan merempat ditanah sendiri sekiranya budaya dengki khianat tidak dibendung.
Jadi tidak mustahil apa yang terjadi kepada aku merupakan satu konspirasi yang telah dirancang dengan teliti. Itulah kemahiran orang melayu, bagilah tugas untuk menjatuhkan orang lain, sudah pasti orang melayu tidak akan gagal dalam melaksanakannya. Berilah apa jua tugas, yang tak ada pun boleh jadi ada. Itulah kehebatan orang melayu. Memang aku percaya setiap yang terjadi ini merupakan Qada' dan Qadar dan aku tetap percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tapi aku tak mahu fikir sangat atau menuduh sesiapa. Kalau betul diri aku dianiaya, insyaAllah, Allah akan beri balasan yang setimpal pada yang menganiaya aku. Tapi antara mereka dengan aku, aku tetap akan ampunkan dosa mereka. Aku tidak mahu bersangka buruk pada sesiapa, cuma kalau benar ada pakatan yang menjatuhkan aku, aku serahkan pada Allah S.W.T. sahaja untuk tentukan segalanya.
Syukur alhamdulillah setelah segala kesulitan yang aku alami, sekarang ini aku menuju ke peringkat pemulihan. Memang agak berat dugaan yang aku alami. Paling memedihkan apabila ianya turut mengakibatkan rumah tangga aku berantakan. Tetapi aku tidak boleh menoleh kebelakang lagi. Aku perlu tabahkan hati, kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini. Aku mengambil masa hampir 6 bulan untuk menghilangkan kedukaan hidup aku. Belum lagi dapat pulih sebenarnya. Ibarat luka yang masih berdarah, cuma sekarang ni darahnya sudah berhenti mengalir, cuma tinggal lagi, lukanya masih belum kering sepenuhnya. Aku tidak boleh terus biarkan luka aku melarat. Alhamdulillah aku dapat juga kawal luka aku ini. Kalau tidak, mungkin aku tidak dapat untuk bekerja seperti sekarang ini.
Sepanjang waktu aku mengawal kelukaan dan kedukaan, aku bekerja dengan syarikat swasta tetapi dibawah pengaruh kerajaan. Kiranya budaya kerja disana tidak banyak beza dengan kerja kerajaan. Biasalah, bila kerja kerajaan ni lebih banyak buang masa dari bekerja. Itu yang aku susah untuk alihkan perhatian aku daripada masalah yang menimpa aku. Terlalu banyak sangat masa yang aku boleh luangkan untuk memikirkan masalah aku sehingga aku memang langsung tidak dapat tumpukan perhatian aku pada kerja aku.Tapi tak mengapalah, memang dari awal aku kerja disana hati aku tak seronok, jadi sebab itulah aku bertukar tempat kerja. Alhamdulillah, dari mula aku menerima panggilan untuk temuduga aku telah rasakan keseronokan bekerja di syarikat ini, dan sehingga artikel ini dikarangkan, aku makin bertambah seronok dengan kerjaya baru aku. Memanglah mana-mana tempat pun ada cubaan dan dugaan, namun insyaAllah, kali ini aku akan cuba bertahan.
Banyak perkara yang aku pelajari hasil daripada pengalaman yang aku tempoh selama ini. Ianya sedikit sebanyak mengajar aku untuk menjadi lebih dewasa dan lebih matang. Ianya juga mengubah aku secara tidak langsung, daripada seorang yang senang bergembira, bertukar menjadi seorang yang agak pendiam. Memang sekarang ni aku lebih banyak berdiam dan tidak ceria seperti dahulu. Aku hanya bercakap bila perlu sahaja. Aku tak mahu tonjolkan sangat diri aku lagi. Cuma aku tidaklah sesangap seperti aku di tempat kerja lama. Masa tu memang keadaan aku sangat teruk sehinggakan aku langsung tidak pedulikan tentang diri aku. Tak cukup makan ke, tak cukup tidur ke, aku tak kisah sangat. Masa tu memang aku tak tahu apa yang aku nak buat. Rasanya semangat nak hidup pun dah tak ada. Aku siap beli insuran bagi menjamin agar segala hutang aku dapat diselesaikan dengan duit insuran aku. Aku dah siap wasiatkan harta benda aku pada adik beradik aku yang lain, incase aku meninggal dulu. Sampai ke tahap tu aku derita. Tapi siapa yang tahu atau peduli? Tiada siapa dan aku pun tak harap sesiapa peduli pasal aku kerana aku sendiri pun tak pedulikan diri aku.
Itu kisah lama. Dari hari pertama aku kerja di syarikat ini, aku telah karangkan satu artikel bertajuk Dunia Baru dalam web aku ni. Memang aku perlu untuk mengubah diri aku daripada seorang yang pasif kepada aktif semula. Dalam masa yang sama aku perlu lebih hati-hati agar tidak ulangi kesilapan sama. Selain daripada kerja aku yang membuatkan aku bersemangat, kehadiran si dia dalam hidup aku juga agak membantu aku untuk menyegerakan proses pemulihan aku. Aku bersyukur kepada Allah kerana hadirkan dia dalam hidup aku dan melupakan aku pada memori pahit aku. Terima kasih sayang, dikau ada dihadapan mataku. Walaupun dikau tiada perasaan terhadap aku, namun aku tetap rasakan kebahagiaan menyukai dirimu. Sekurang-kurangnya dikau telah berjaya menghilangkan kenangan pahit dalam hidup aku. Aku memang menyukaimu sayang dan aku ingin bersamamu, namun aku tidak akan letak harapan terlalu tinggi. Aku hanya mampu berdoa dan berserah sahaja. Seandai dikau akan jadi milikku selamanya, akulah manusia yang paling bahagia dalam dunia ini. Seandai ada jodoh antara kita, dikau akan datang jua kepada ku. InsyaAllah.
Angau ke aku? Ha ha ha.. Agak angau la, tetapi buat masa ni aku masih boleh kawal lagi perasaan aku. Seperti yang aku pernah jelaskan bahawa aku tak akan approach dia. Dia have my words ok. Dia tak perlu rasa khuatir ataupun risau. Apa yang penting aku tak mahu dia rasa kurang selesa. Memang masih ada gap antara aku dan dia sungguhpun aku telah bersemuka dengan dia dulu. Sehinggalah semalam, bos dia adakan lagi perbincangan antara aku dengan sidia. Memang kalau kiranya perbincangan itu adalah untuk memotivasikan dia. Sesambil tu kami berbincang semula tentang apa yang berlaku. Pada aku, aku tak mahu dia rasa tak selesa. Aku juga agak tak selesa dalam keadaan begini, namun apa boleh buat, segalanya masih tidak seperti yang diharapkan. Apa yang aku harapkan pun aku sendiri tak faham lagi, ha ha ha.... Ada kalanya aku memang harap nak bemesra dengan dia, tetapi memang aku akan jadi kekok bila bersama dia.
Masa aku berbincang lagi dengan dia bersaksikan bos dia, aku tidak ulangi apa yang aku pernah beritahu dia dulu, cuma aku nyatakan bahawa itulah pengakuan ikhlas aku tehadap dia dan sehingga kini aku masih lagi berpegang kepada kata-kata aku pada dia. Aku juga beri peluang kepada dia untuk luahkan apa yang dia tak puas hati pada aku, dia agak keberatan untuk beritahu apa-apa, namun aku yakinkan pada dia bahawa aku amalkan sikap keterbukaan. Aku beritahu dia, komunikasi amat penting, komunikasi melibatkan dua hala. Komunikasi yang gagal boleh meruntuhkan hubungan rumah tangga, inikan pula hubungan rakan sekerja. Jadi dia pun beritahulah bahawa dia kurang selesa dalam keadaan seperti sekarang ini kerana orang sekeliling suka mengusik dia. Jadi aku tanyalah dia, apa yang aku buat pada dia? Bercakap dengan dia pun jarang, apatah lagi berbual mesra dengan dia depan orang lain. Yang peliknya kenapa bebudak ni suka usik dia dengan aku. Maka aku jelaskan pada dia bahawa kami yang create environment tu. Tak boleh salahkan orang lain. Mestilah orang lain akan fikir lain sebab terlalu ketara hubungan antara aku dengan dia. Hubungan yang aku maksudkan bukanlah hubungan intim, tetapi hubungan yang tidak bertegur sapa antara satu sama lain.
Kalau dengan orang lain dia boleh bergurau, kalau dengan orang lain aku boleh bergurau, tetapi antara kami berdua, masing-masing seperti tidak pedulikan antara satu sama lain. Jadi aku sarankan pada dia untuk sama-sama cuba buat macam biasa. Maksudnya cubalah bertegur sapa walau depan orang lain. Tapi terpulanglah pada dia. Aku dah jelaskan pada dia, aku cuba narrow kan gap aku, tapi kalau dia nak ada gap juga, terpulanglah. Aku beritahu dia, kalau kita suka pada seseorang tu, auranya akan sampai pada orang yang kita suka, begitu juga kalau tak suka. Aku boleh rasa dia tak suka pada aku. Mungkin kot. Entah, aku tak boleh rely apa yang aku rasa. Seperti yang aku katakan sebelum ni, segalanya bergantung pada keadaan. Nak kata dia suka, tak juga, nak kata dia tak suka, entahlah, tapi sebenarnya memang tak ada apa-apa. Mujur dia tetap professional dari segi kerjanya. Jadi selagi ianya tidak mengganggu urusan kerja, selagi tu aku tak kisah. Antara aku dengan dia, seandai ada jodoh ada la. Memang bos dia ada jugak ngusik last-last tu, kalau korang nak bercinta pun tak salah katanya, dia hanya senyum sahaja dan aku tak dapat tafsirkan apakah maksud senyuman dia.
Aku tak nak lah angau sangat sekarang ni. Memang aku harap sangat dapat teman baru. Tetapi aku tak boleh terburu-buru lagi sekarang ni. Berilah ruang dan masa untuk aku pulihkan keadaan dan aku perlu pandai ambil hati dia. Aku yang suka dia, jadi aku perlu pandai tackle dia. Cuma buat masa sekarang ni, aku lebih senang untuk syok sendiri jer. Layan jer perasaan aku. Aku tak mintak dia balas perasaan aku buat masa ni. Cukuplah sekadar dia tidak marah pada aku. Kalau dia marah pun bukan boleh mengubah apa-apa pun perasaan aku pada dia. Itu yang lahir dari dalam diri aku, maka aku perlu jaga hati akulah. Asalkan aku tidak ganggu hidup dia mahupun sesiapa, aku tak perlu risau apa yang orang katakan. Aku yang berhak tentukan kehidupan aku. Bukan orang lain. Apa yang penting aku ingin hidup bahagia. Aku dah tak larat untuk berduka lagi. Biarlah aku sayangi orang lain, asalkan aku tidak sayangi orang yang tidak hargai kasih sayang aku. Memang dia bukan akan hargai pun pada dasarnya, tetapi dia tidak akan buat sebagaimana pasangan aku buat pada aku. Jadi, aku akan alihkan kasih sayang aku pada orang lain, kalau bukan si dia pun, insyaAllah pada orang yang akan menyayangi aku sebagaimana aku menyayangi orang tersebut.
Oleh kerana kesibukkan aku kerja sekarang ini, memang aku sudah tidak dapat buat rutin harian aku. Tetapi aku perlu juga sesekali menjengah dan mengarang sesuatu dalam blog aku ni. Sekurang-kurangnya aku akan dapat membaca hasil nukilan aku sendiri nanti. Itupun bila aku betul-betul free la. Kalau tak, tengoklah, bila aku rasa nak baca, aku akan bacalah. Alhamdulillah, aku sudah agak gembira sekarang ini. Aku sukakan kerja baru aku, aku sukakan office baru aku, aku sukakan dia. Ha ha ha, tak boleh tinggal langsung pasal si dia. Memang, dia dah berjaya mengisi kekosongan dalam hati aku. Dia dah bertahta dihati aku sekarang, cuma tinggal untuk ditabalkan sahaja. InsyaAllah, kalau ada rezeki, kalau ada jodoh, adalah. Aku tetap yakin segala yang terjadi ada hikmahnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment