Haruskah aku terus merayu padamu? Haruskah aku taburi janji beribu? Untuk menembusi tembok hati sanubarimu, ataupun aku hanya penanti? Inilah lirik permulaan lagu Dibadai Asmara nyanyian kumpulan Sera. Sudah pasti bagi generasi muda sekarang tidak mengetahui ataupun pernah mendengar lagu ini mahupun kumpulan tersebut. Lagu ini merupakan sebuah lagu yang agak popular ketika zaman aku muda belia dahulu. Adakah aku sudah cukup tua sekarang ini? Mungkin. Usia makin meningkat, maka aku harus terima hakikat bahawa aku sudah dimamah usia. Oleh yang demikian aku tidak boleh membiarkan diri aku untuk terus membuang masa.
Aku memang tidak nafikan sebenarnya kasih sayang aku pada pasangan aku sangat kuat. Bukan satu perkara yang mudah bagi aku untuk melupakan pasangan aku. Sungguhpun dengan apa yang pasangan aku dah buat pada aku, namun, jauh disudut hati aku, aku tidak berdaya untuk mengikis perasaan sayang aku terhadap insan yang telah menjadi pasangan hidup aku. Memang aku tidak berdaya untuk mencari pengganti yang setanding dengan pasangan aku. Aku teramat menyayangi pasangan aku sehingga aku boleh lupakan segala kesalahan yang telah dibuat pada aku. Kalaupun sebelum ini aku menyangka kehadiran orang baru iaitu si dia berjaya melenyapkan memori aku pada pasangan aku, ternyata telahan aku salah. Aku tidak berdaya menipu diri sendiri kerana sesungguhnya kasih sayang aku terhadap pasangan aku adalah sebenar-benar lahir dari hati aku. Aku membuat ikatan perkahwinan dengan pasangan aku kerana kasih sayang aku terhadapnya yang amat mendalam. Masakan aku mahu mengikat pertalian perkahwinan dengan seseorang yang tidak aku sayangi? Itulah yang menyebabkan aku teramat sedih dan kecewa apabila rumah tangga aku di landa badai sebegini.
Aku memang tidak boleh bertemu pasangan aku kerana setiap kali aku bertemu pasangan aku, pasti aku akan menjadi teramat lemah. Kami ada sesi perbicaraan semalam. Memang pasangan aku yang telah disoal sepanjang sesi semalam. Aku hanya mendengar setiap jawapan yang dikemukakan oleh pasangan aku daripada soalan yang dikemukakan oleh peguam. Aku sedih, teramat sedih. Bukan sedih kerana tuduhan yang dilemparkan oleh pasangan aku, tetapi aku sedih kerana rumah tangga aku berantakan. Apakah yang harus aku buat? Segala usaha aku selama ini tidak dihargai. Tapi aku tetap akan cuba usaha sedaya mungkin untuk selamatkan rumah tangga aku. Aku sayang sangat pada pasangan aku, sungguhpun pasangan aku sudah tiada hati pada aku.
Masa sesi bicara semalam, aku hanya mendiamkan diri dan membuat sedikit catitan. Ada sekali tu ketika pasangan aku menjawab soalan peguam membuat hati aku tersentuh sangat. Masa tu aku dapat kawal lagi air mata aku dari berguguran. Aku kuatkan semangat dan buat seperti tiada apa. Pada dasarnya apabila dah masuk mahkamah, ianya seperti satu battle, kiranya pasangan aku dengan aku sedang berperang atau dalam erti kata lain, pasangan aku adalah musuh aku. Aku tidak pernah anggap pasangan aku sebagai musuh aku. Sesungguhnya aku tetap menyayanginya. Tapi dalam kes ini, aku kena pertahankan diri aku. Aku tak boleh membiarkan diri aku menjadi mangsa kejahilan pasangan aku dan keluarganya. Memang agak pelik bagi satu keluarga yang bersungguh meruntuhkan sebuah masjid. Tetapi itulah hakikat yang perlu aku terima. Kalau orang dah tak suka, apa sahaja mereka akan buat.
Aku akan tetap mencuba pertahankan rumah tangga aku. Itulah matlamat aku. Aku tidak berniat menganiaya sesiapa pun. Memang dalam mahkamah semalam bukan rumah tangga aku sahaja yang bermasalah, banyak lagi kes yang hampir serupa dengan kes aku. Itulah yang menyebabkan aku bertambah pelik, mengapakah dewasa ini banyak sangat pasangan yang mahu berpisah setelah mengikat tali perkahwinan? Apakah perkahwinan ini satu mainan? Sedih, kecewa dan marah pun ada. Dah la nak kahwin sekarang ni banyak sangat karenahnya. Nak kena pergi kursus dan sebagainya, tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Sayang betul satu ikatan perkahwinan yang hancur ditengah jalan. Kenapa semua ni terjadi?
Aku pun tak tahulah dimana silapnya. Memanglah kalau nak sedapkan hati, aku boleh katakan sekarang ini sudah akhir zaman. Macam-macam perkara pelik yang berlaku. Ikatan perkahwinan seperti sudah tidak beerti lagi. Ada masalah sahaja, pisah. Tiada ikhtiar atau usaha lain yang dicari selain perpisahan. Apa seronokkah berpisah? Aku memang tidak sanggup berpisah dengan pasangan aku. Aku tetap panjatkan doa semoga pasangan aku berubah. Aku sanggup terima dia semula seadanya. 'Mana datang cahaya, bukanlah tajuk cerita, siapa pun kau ku sudi terima. Biarpun dosa semalam sebesar gunung menembus awan, yang penting hatiku dapat kau tawan'. Itulah lirik lagu Bengang nyanyian kumpulan Mantera. Memang lagu ini aku simpan dan akan aku tujukan pada pasangan aku. InsyaAllah, aku tetap akan sanggup terima pasangan aku semula. Aku akui, tiada siapa yang dapat gantikan pasangan aku untuk sementara waktu ni.
Petang semalam, selepas pulang kerumah, aku ingat nak tidur kerana keletihan. Memang aku tidak boleh sembunyikan kesedihan aku. Masa lunch pun aku tidak berapa selera nak makan. Masa nak tidur pun aku tak dapat nak tidur. Maka aku pun mendengar lagu Putus Terpaksa nyanyian Ziana Zain. Dan pada kala itulah aku memang sudah tidak berdaya membendung air mata aku dari berguguran. Kenapa aku harus bersedih? Haruskah aku terus bersedih? Aku memang sudah menjangka dan mengagak bahawa itulah yang akan terjadi setiap kali aku bersemuka dengan pasangan aku. Aku nak tegur pasangan aku, aku nak peluk cium pasangan aku, tetapi aku tak dapat buat semua itu. Sedih sangat apabila mengenangkan aku bakal kehilangan insan yang aku sayangi.
Apa yang aku tahu aku tetap akan sayangi pasangan aku untuk selamanya. Aku memang memaafkan segala kesalahan pasangan aku dan tidak terlintas untuk aku membenci mahupun berdendam dengannya. Dan sekiranya aku gagal menyelamatkan juga rumah tangga aku atau dengan erti kata lain aku terpaksa berpisah dengan pasangan aku, memang aku sudah tidak mahu memikirkan mengenai pengganti ataupun mencari pasangan lain. Aku akan tunggu juga pasangan aku kembali pada aku. Tiada siapa yang dapat gantikan tempat pasangan aku dalam hati aku. Pasangan akulah segalanya. Aku tetap sayangi pasangan aku hingga ke akhir hayat aku. Kalaupun aku ditakdirkan untuk mempunyai pasangan lain dimasa akan datang, aku dapat katakan bahawa hati, ingatan dan kasih sayang aku pada pasangan aku sekarang ini tidak akan luntur walau sedikit pun. Mungkin aku boleh sayangi orang lain tetapi memang tidak akan sama seperti mana aku sayangkan pasangan aku. Itu memang sudah pasti. Itulah sebabnya sehingga kini aku memang tidak berminat nak cari pengganti sungguhpun aku sudah ditinggalkan sendirian selama 6 bulan. Segalanya masih berkemungkinan dan tidak mustahil aku akan dapat bersama pasangan aku semula.
'Bisakah sirat kata menjadi penanda? Dapatkah kecewaku menjadi harapan?'. Sambungan lirik lagu Dibadai Asmara. Aku harap, memang harap sangat aku akan terus bersama pasangan aku hingga akhir hayat aku. InsyaAllah, niat aku baik dan aku bukan hendak menganiaya sesiapa. Pada aku, aku akan bertahan sedaya upaya aku. Selebihnya aku serahkan kepada Allah S.W.T. kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui. Pada pasangan aku, ketahuilah bahawa aku memang teramat menyayangi dikau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment