Sunday, December 14, 2008

Mengapa Sukar Mencari Orang Yang Boleh Dipercayai?

Aku rasa hairan dan pelik mengapa susah sangat untuk bertemu dengan orang yang boleh dipercayai dewasa ini? Adakah memang sudah lumrah kehidupan tiada orang yang boleh dipercayai? Kalau tidak masakan ada pepatah Inggeris yang berbunyi “Don’t Trust Anybody”. Entahlah, sepanjang aku hidup di dunia ini hanya kedua orang tua aku sahaja yang aku boleh percaya. Orang lain termasuk adik beradik pun sukar untuk dipercayai.

Mengapakah kita sebagai manusia cenderung untuk melakukan penipuan? Apakah untungnya berbohong? Adakah tiada nilai bagi sebuah kejujuran? Jawapannya, memang kejujuran tiada nilai. Ini kerana jika kita berlaku jujur, tiada orang pun yang suka pada kita kerana telah terbiasa dengan kepura-puraan. Dunia memang penuh dengan kepura-puraan. Itulah sebabnya orang yang berjaya adalah orang yang tidak berlaku jujur atau dengan kata lain orang yang pandai menipu akan lebih mudah berjaya berbanding dengan orang yang jujur. Adakah dunia memang mengiktiraf penipu? Ya, itulah hakikat yang perlu diterima. Itulah sebabnya kita akan ada hari pembalasan atau pengadilan dialam akhirat nanti. Didunia manusia boleh lepas dengan segala tipu daya, tetapi diakhirat nanti, tiada siapa yang akan terlepas. Buat baik walau sebesar zarah akan dihitung dan buat jahat walau sebesar zarah juga akan dihitung. Bergantung kepada amalan kita, kalau banyak pahala, kesyurgalah kita tetapi kalau banyak dosa, ke nerakalah. Itulah janji Allah dan sebagai orang Islam kita wajib mempercayai salah satu daripada rukun Iman iaitu percaya pada hari kiamat.

Mengapa manusia cenderung melakukan dosa sungguhpun dikhabarkan dengan balasan neraka? Apakah kita nampak dengan mata kasar dosa atau pahala? Tidak, memang dosa, pahala, syurga, neraka tidak kita nampak dengan mata kasar, itulah sebabnya kita tidak rasa takut untuk lakukan dosa sambil abaikan pahala. Manusia telah dilekakan dengan kemewahan, kesenangan dunia yang hanya sementara ini. Bukan tidak diajar tentang dosa, pahala. Mana-mana agama pun mengajar penganutnya mengenai dosa dan pahala. Tetapi manusia lebih cenderung untuk melakukan dosa kerana nikmat sementara yang akan diperolehi dengan cepat. Memang orang boleh lihat, manusia yang berkereta besar, berumah besar, tidak taat dengan suruhan Allah, sedangkan orang yang rajin melakukan ibadah ke masjid hanya menaiki basikal ataupun menunggang motorsikal dan mendiami rumah yang sederhana sahaja. Jadi kehidupan yang bagaimana yang sering menjadi pilihan manusia? Pastinya manusia lebih gemar untuk menikmati kesenangan dan kemewahan dunia sungguh pun mereka sedari ianya hanya sementara waktu sahaja. Hidup hanya sekali, mestilah nak rasa mewah. Itulah silapnya manusia yang telah ditipu oleh hasutan syaitan kerana lebih mengejar dunia daripada kehidupan abadi di akhirat kelak.

Sesungguhnya manusia ini terbahagi kepada empat golongan. Golongan pertama, manusia yang bahagia hidup di dunia dan di akhirat. Golongan kedua, manusia yang bahagia di dunia tetapi tidak bahagia di akhirat. Golongan ketiga, manusia yang tidak bahagia di dunia tetapi bahagia di akhirat. Dan golongan terakhir ialah manusia yang tidak bahagia didunia mahupun akhirat. Pasti ramai yang tidak mahu duduk dalam golongan keempat dan masing-masing akan cuba menempatkan diri dalam golongan pertama. Tetapi percaya atau tidak, golongan kedua, ketiga dan keempat lebih ramai daripada golongan yang pertama. Bukan mudah untuk kecapi kebahgiaan di dunia dan akhirat. Memang ada manusia yang tergolong dalam golongan pertama, tetapi ianya bukan dapat dicapai dalam sekelip mata. Memang lumrah manusia yang tidak sabar, mahukan sesuatu kejayaan dan kenikmatan itu dengan cepat. Tidak sanggup berkorban mahupun menahan kesabaran. Masing-masing cuba mengejar kemewahan dunia sambil harapkan kebahagiaan dan kemewahan itu kekal hingga akhirat. Apa yang dikhuatirkan, demi mengejar segalanya tanpa melakukan usaha yang berlandaskan syariat, manusia akan termasuk dalam golongan keempat. Dunia tak dapat, akhirat pun tak dapat. Di dunia derita, di akhirat masuk neraka, nauzubillah.

Tetapi dalam dunia dewasa ini, ramai yang memilih untuk bahagia didunia iaitu golongan yang kedua. Memang tawaran kesenangan dan kemewahan dunia ini terlalu berat dan sukar untuk ditolak kerana ianya memang realiti dihadapan mata. Kebahagiaan di akhirat siapa yang dapat gambarkan dengan jelas sungguhpun kehidupan akhiratlah yang kekal abadi. Kerana kita tidak nampak dengan mata kasar apa itu dosa apa itu pahala dan tidak nampak bagaimankah syurga dan neraka. Memang sebagai umat Islam, segalanya telah dijelaskan dalam Al-Quran, bagaimanakah bentuknya neraka bagaimanakah syurga, tetapi siapakah yang dapat fahami betul-betul apa yang telah dijelaskan dalam Al-Quran? Kemewahan dunia terbentang luas dihadapan mata, adakah manusia yang sanggup menolak kemewahan seperti itu demi mencapai kebahagiaan di akhirat nanti? Memang ada segelintir manusia yang sanggup untuk korbankan dunia demi akhirat, tetapi untuk mencapai tahap keimanan seperti itu, memang sangat sukar dan perlu hadapi pelbagai dugaan dalam kehidupan. Tiada siapa yang mahu hidup susah, jadi sudah pasti setiap manusia akan lebih cenderung memilih kearah kebahagiaan dunia meskipun mereka tahu akan perbuatan mereka yang akan rugikan diri di akhirat kelak. Seperti yang dijelaskan di perenggan di atas, di mana golongan yang melakukan kefasiqkan hidup mewah tetapi golongan yang menjaga ibadah mereka hidup sederhana dan tidak kurang juga yang hidup susah.

Dunia ini syurga bagi orang kafir dan golongan fasiq. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Allah memang menyediakan dunia untuk kemewahan golongan kafir kerana diakhirat nanti mereka tidak boleh menyalahkan Allah. Dunia ini sebenarnya jambatan untuk ke akhirat. Di dunia inilah tempat untuk kita membuat amal makruf dan menghindari kemungkaran. Masing-masing telah dididik dari kecil mengenai agama, maka terpulanglah kepada diri masing-masing jalan mana yang mereka mahu pilih. Setiap orang telah dikurniakan dengan akal fikiran, maka pandai-pandailah kita untuk menentukan hala tuju hidup kita. Nak bahagia dunia atau akhirat? Tepuk dada tanya iman.

Berbalik kepada cerita kejujuran ataupun mencari orang yang dipercayai. Didalam artikel yang pernah aku karangkan sebelum ini yang bertajuk kejujuran, memang itulah realiti yang harus diterima bagi orang yang mahu berlaku jujur. Sungguhpun dia sanggup berlaku jujur dengan mengakui kesilapan dan kesalahannya, namun hukuman yang diterima memang sangat tidak berpatutan. Itulah sebabnya manusia cenderung untuk menipu demi menyelamatkan diri mereka didunia ini. Kalau dilihat dalam kes dimahkamah, orang yang bersalah, sanggup upah peguam bagi membela kesalahan yang dibuat untuk meringankan atau melepaskan diri daripada dihukum di atas segala kesalahan yang telah di buat. Memang banyak kes dimana orang yang bersalah terlepas daripada hukuman kerana mereka berjaya menipu dan menyembunyikan kesalahan mereka. Tetapi mereka ini lupa bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Memang manusia boleh ditipu, tetapi Allah tidak. Kita mungkin terlepas hukuman di dunia, namun jangan mimpilah untuk ada peguam yang boleh membela kita di mahkamah akhirat nanti.

Manusia sebenarnya mengambil mudah atau memandang ringan dengan apa yang dituturkan. Mereka tidak kisah untuk gunakan nikmat yang Allah berikan untuk digunakan pada jalan yang salah. Allah kurniakan kita lidah untuk berbicara, namun mengapakah kita menggunakan nikmat itu untuk menipu, menyakiti hati orang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan sebagainya? Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi tidak lurus hatinya dan tidak lurus hatinya selagi lidahnya tidak lurus”. Memang kita sering leka untuk mengawal organ yang tidak bertulang ini. Kerana lidah sahaja boleh menghumban kita ke neraka. Itulah sebabnya kita lebih baik berdiam daripada bercakap perkara yang sia-sia. Apalah salahnya kita gunakan lidah untuk berzikir dan berselawat memuji kebesaran Allah? Kita tidak digalak untuk banyak bercakap kerana banyak bercakap, membuka ruang untuk melakukan kesilapan dan kesalahan. Banyak bicara banyaklah salahnya. Kita memang tidak sedar apa yang kita perkatakan. Adakalanya apa yang kita katakan boleh menyinggung hati orang lain, oleh yang demikian kita perlu lebih berhati-hati memilih perkataan yang ingin kita utarakan bagi mengelak menyakiti hati orang sekeliling kita.

Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa orang yang menipu itu sebenarnya menipu dirinya sendiri. Memang benar kerana beliau menyangkakan beliau telah berjaya menipu orang lain sedangkan beliau tidak tahu bahawa orang yang ditipu itu tahu yang beliau berdusta. Macam aku, memang sifat aku mudah percayakan orang dan aku tidak kisah kalau orang nak tipu aku. Setakat mana dia boleh tipu? Orang tu boleh hidup senang untuk selamanya ke dengan menipu? Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ketanah juga akhirnya. Jadi janganlah biasakan diri dengan penipuan ini. Percayalah, kesenangan dan kemewahan yang diperolehi dengan cara menipu tidak akan kekal lama dan bersifat sementara sahaja. Kenyangkanlah diri dengan segala penipuan kerana penipuan itu akan kembali kepada kita. Pada aku senang sahaja, sekali aku ditipu, memang selamanya aku tak akan percaya orang itu kecuali sekiranya orang tersebut mahu akui kesalahannya dan meminta maaf. Kalau tidak, terpulanglah, teruskanlah hidup dengan segala penipuan, kita lihat siapa yang akan lebih berjaya, orang jujur atau penipu.

Apa yang boleh dirangkumkan disini memang terlalu sukar untuk mencari orang yang boleh dipercayai. Orang-orang jujur sudah pupus kerana ditelan dengan budaya dunia yang penuh kepura-puraan ini. Memang dunia ini bukanlah untuk orang yang jujur. Dunia ini syurga orang kafir dan orang fasiq. Orang baik, orang jujur akan selalu ditindas oleh golongan penipu kerana golongan penipu inilah majoriti sedangkan golongan yang jujur ini hanya minoriti. Pepatah cina ada menyatakan “Kuda baik ditunggang orang, Orang baik ditindas orang”, sama-samalah kita renungkan.

No comments: