Tuesday, December 9, 2008

Pengorbanan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Pembuka bicara untuk kali ini dimulakan dengan terjemahan Bismillahirahmannirrahim. Adalah digalakkan bagi setiap muslim untuk memulakan sesuatu perkara yang baik itu dengan Bismillah. Janganlah nak buat jahat pun mulakan dengan Bismillah. Sepatutnya sebagai seorang yang sudah mumaiz, yang sudah boleh membezakan antara baik dan buruk, mengelakkan daripada melakukan kemungkaran. Sesungguhnya Islam menghindar penganutnya melakukan kemungkaran dimuka bumi ini. Namun mengapa masih ramai umat Islam yang banyak melakukan kemungkaran? Ini mungkin disebabkan kejahilan diri sendiri yang tidak mengetahui atau sengaja melanggar hukum berserta tidak dapat melawan tuntutan nafsu dan hasutan syaitan. Apa yang penting mahu puaskan hati. Pepatah melayu menyatakan, ikut rasa binasa, ikut hati mati, jadi kita perlulah sentiasa gunakan akal fikiran yang dikurniakan dengan sewajarnya agar mengelakkan diri daripada melanggar hukum Allah.

Didalam satu terjemahan Al-Quran, (sesungguhnya solat itu menghalang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar). Oleh yang demikian, bagi memastikan kita untuk mengelakkan melakukan perbuatan keji dan mungkar, kita perlulah menjaga solat kita dan perbaiki amalan kita kepada Allah S.W.T. Sentiasalah berserah diri pada Allah dan minta perlindunganNya daripada fitnah manusia, jin dan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu bertujuan untuk merosakkan anak Adam kerana itulah janjinya kepada Allah bagi membalas dendam terhadap hukuman yang diterima kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam A.S. Sesungguhnya syaitan itu tidak akan berhenti dan rasa letih bagi merosakkan akidah anak cucu Adam. Syaitan tidak pernah bercuti daripada tugasannya. Matlamatnya ialah meramaikan penghuni neraka untuk bersamanya. Setiap muslim telah diajar mengenai syurga, neraka ini semenjak dari kecil lagi, namun mengapa kita masih leka?

Bersesuaian dengan mood raya Qurban ini, ingin aku bicarakan mengenai pengorbanan. Apakah yang kita faham mengenai pengorbanan? Kalau dalam bahasa inggeris disebut sebagai sacrifice, tetapi apakah maksud yang tersirat disebalik perkataan itu? Ada pendapat yang menyatakan setiap sesuatu itu perlukan pengorbanan. Tetapi adakah kita benar-benar sanggup melakukan pengorbanan? Sesuai dengan fitrah manusia yang mengandungi elemen tamak, amat sukar untuk kita lakukan sesuatu pengorbanan demi mencapai sesuatu matlamat. Ada yang mahukan segalanya dalam dunia ini tanpa mahu berkorban walau sedikit pun. Tetapi percaya atau tidak, pengorbanan paling besar yang kita perlu lakukan ialah menundukkan hawa nafsu kita sendiri. Memang ramai yang gagal ataupun tewas dengan tuntutan nafsu kerana kita hanya memikirkan untuk mendapatkan sesuatu dalam masa yang singkat tanpa mahu melakukan pengorbanan. Ramai yang mahukan kejayaan dalam sekelip mata sahaja. Itulah yang sering terjadi pada setiap manusia semenjak dari dahulu lagi. Mengapa kita tidak mahu belajar dari sejarah?

Banyak bentuk pengorbanan yang boleh dilakukan sebenarnya sekiranya kita benar-benar fahami Islam dan tunduk kepada Allah S.W.T. Seperti yang dikisahkan mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. Pada waktu itu Nabi Ibrahim telah mendapat mimpi bahawa Baginda terpaksa menyembelih putera Baginda Nabi Ismail A.S. Nabi Ibrahim menunggu masa yang lama bagi menyambut kelahiran puteranya dan sesudah anak Baginda besar, Baginda telah diuji dengan ujian yang sebegitu. Maka Nabi Ibrahim pun telah menceritakan mengenai mimpinya kepada putera Baginda dan kerana kuatnya iman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Baginda berdua bersetuju untuk melaksanakan maksud mimpi tersebut. Pada ketika Nabi Ibrahim meletakkan pisau dileher Nabi Ismail dengan tujuan melakukan sembelihan, dengan kuasa Allah, Allah menukarkan Nabi Ismail dengan seekor biri-biri. Sesungguhnya kedua Nabi tersebut telah melaksanakan maksud mimpi tersebut dan bermula daripada detik tersebutlah Qurban berupa haiwan peliharaan seperti lembu, kambing mahupun biri-biri dilakukan setiap kali menyambut kedatangan Aidiladha. Betapa tingginya kemuliaan dan keimanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S. Adakah kita sebagai manusia sanggup berkorban sehingga ke tahap tersebut. Tidak. Memang kita sebagai manusia biasa tidak mencapai tahap keimanan setinggi Nabi Ibrahim kerana sesungguhnya Nabi adalah maksum. Sebagai manusia biasa kita hanya perlu bekorban melawan hawa nafsu, namun itupun kita gagal melaksanakan dengan baik.

Dikala aku mengarangkan artikel kali ini, hati aku dalam keadaan yang baik. Syukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya dapat aku hati yang tenang bagi membolehkan aku berfikir dengan lebih wajar dan dapat menumpukan kerja dengan sepenuh hati. Apa yang ingin aku ceritakan ialah berkaitan dengan kawan-kawan aku. Semalam aku dapat khabar gembira daripada dua orang kawan aku. Alhamdulillah, hajat aku untuk menolong kawan aku mendapatkan kerja, insyaAllah tercapai. Tiada lain yang aku harapkan melainkan beliau mendapat pekerjaan terbabit. Aku cuma introducer sahaja, selebihnya terletak kepada kemahiran kawan aku dan juga rezekinyalah. Setakat semalam, sign nya ok dan harapnya beliau dapatlah pekerjaan bagi menjamin masa depannya. Dalam perjalanan pulang, aku menerima satu lagi perkhabaran gembira apabila kawan aku yang lagi seorang memberitahu bahawa beliau sedang gembira sekarang ini. Alhamdulillah. Aku tumpang gembira dengan kegembiraan kawan-kawan aku walaupun dikala keadaan aku masih tidak menentu.

Itu semua bukan masalah bagi aku kerana memang aku boleh lupakan masalah aku apabila dapat mendengar khabar gembira kawan-kawan, ditambah pula kalau kawan-kawan aku mahu berkongsi masalah mereka bersama aku. Antara cara untuk aku lupakan masalah aku ialah dengan memberi bantuan kepada kawan-kawan aku. InsyaAllah, kalau ada orang datang meminta bantuan daripada aku, aku akan cuba tolong sebaik yang mungkin. Tiada apa yang aku harapkan melainkan melihat hajat kawan-kawan aku tercapai. Bagi aku, aku tidak harapkan sebarang balasan, tapi jangan membuat aniaya terhadap diri aku sudahlah.

Semalam keadaan dipejabat sangat seronok dimana ramai yang bercuti, jadi tinggal 5 orang sahajalah yang bekerja semalam dan yang penting si dia ada. Memang agak peliklah, kalau ada orang-orang lain, perbualan aku dengan si dia agak terbatas. Jadi apabila tak ramai yang ada, maka kami dapatlah berbual lebih banyak. Dia pun lebih selesa dalam keadaan begitu aku rasa kerana memang nampak ketara perubahan antara ada orang lain dengan bila tak ramai orang di pejabat. Mungkin dia juga agak malu untuk berbual dengan aku kerana takut jadi bualan mulut orang. Jadi aku pun tak kisahlah. Yang penting kami sama-sama professional dalam kerja dan tak akan kaitan peribadi dengan kerja. Aku memang tidak harap lebih-lebih dengan dia. Cukuplah sekadar kawan biasa buat masa ini kerana aku tidak mahu lakukan kesilapan lagi. Biarlah aku selesaikan dahulu masalah aku dengan pasangan aku dahulu sebelum membuka langkah baru. Panjang umur, banyak lagi masa untuk aku kenali hati budi orang lain sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan mahligai rumah tangga. Aku tak sanggup alami kegagalan dalam rumah tangga lagi selepas ini seandai ada jodoh dengan orang lain. Apa yang penting sekarang ini, aku perlu act seperti biasa dengan si dia, dan biarkan masa yang menentukan. Memanglah tidak lekang doa aku terhadap si dia, namun apabila aku sudah serahkan segalanya kepada Allah, maka aku harus sentiasa bertawakal kepadaNya. Yang buat aku bertambah seronok, si dia dah tukar wallpaper kat pc dia. Masa dia pamer gambar dia dan couple dia, aku tak la rasa apa sangat, tapi bila dia dah tukar, he he he, seronok la rasanya.

Hari ini tidak seperti semalam kerana ramai yang sudah masuk pejabat. Tidak mengapalah, asalkan aku masih boleh bertegur sapa dengan si dia seperti biasa sudah memadai. Apa yang menariknya hari ini warna pakaian kami sama, warna kegemaran aku, hijau. Ha ha ha, best, aku saja yang rasa seronok, dia seperti biasa sahaja, ha ha ha. Yang penting pagi ini aku dihadiahkan dengan sekuntum senyuman. Ha ha ha, angau. Taklah, senyum itu satu sedekah dan kita sesama Islam perlu memberi salam antara satu sama lain dan sentiasa senyum. Jangan terbitkan sikap sombong kerana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, tidak akan masuk ke syurga seseorang itu sekiranya memiliki sikap sombong walau sebesar zarah. Jadi untuk apa kita harus tanam rasa sombong antara satu sama lain? Siapakah kita? Hebat sangatkah kita? Kita ini hanya hamba Allah sahaja. Setiap orang sama sahaja. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, jadi tak perlulah nak rasa bagus sangat. Kita kena selalu ingat, kaya atau tinggi pangkat kita sekalipun, akhirnya kita akan duk 6 kaki bawah tanah juga. Apa yang kita akan bawa? Pangkat? Harta? Takdenya, kita hanya dapat bawa amalan kita sahaja, itupun kalau kita rajin beramal, kalau tak, siap sedialah dengan soalan-soalan dari Malaikat Mungkar dan Nangkir. Didunia kita mungkin boleh lepas dengan segala tipu daya, tetapi di akhirat, wallahualam.

Sebagai rangkumannya, sebagai umat Islam, janganlah kita hanya pegang nama Islam itu disebabkan kita dilahirkan dari keluarga Islam. Kita perlu lebih menghayati ajaran agama Islam yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Memang kita tidak bertemu dengan Baginda S.A.W., tetapi Baginda telah tinggalkan kita dengan dua perkara iaitu Al-Quran dan Hadis. Dalam sabda Baginda, barangsiapa yang berpegang kepada dua perkara itu, insyaAllah tidak akan tersesat selamanya. Sama-samalah kita ambil iktibar dan pengajaran yang telah dijelaskan dalam Al-Quran dan Hadis. Sesungguhnya Al-Quran dan Hadis adalah sumber yang paling relevan dan tidak berubah mengikut zaman. Hanya bagi orang-orang yang merasakan mereka lebih pandai sanggup mengubah fatwa kononnya bagi menyesuaikan dengan peredaran masa dan zaman. Inilah golongan yang tunduk kepada hawa nafsu dan tidak sanggup berkorban. Memang ada yang sanggup berhabis duit untuk mengorbankan lembu mahupun kambing, tetapi berapa ramaikah yang sanggup bekorban bagi melawan hawa nafsu mereka?

No comments: