Sunday, December 14, 2008

Asalkan Dia Ada?

Aku tak tahu apakah yang sepatutnya aku lakukan sekarang. Semuanya seperti tidak kena. Apa sahaja yang aku buat semuanya tak betul. Buat ini salah, buat itu salah. Ikut cara sendiri salah, ikut cara orang pun salah. Jadi apa yang betul? Entahlah. Segala yang baik datang daripada Allah dan segala yang buruk itu datang dari diri aku sendiri.

Apa-apa pun aku tetap memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat aku meneruskan lagi kehidupan ini. Entah bila ajal akan datang menjemput aku, tiada siapa yang dapat ketahui. Bila-bila sahaja ajal akan datang menjemput kerana kematian itu sudah pasti. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kematian itu tidak akan datang cepat atau lambat walaupun sesaat. Apabila sudah tiba masanya, tiada siapa yang dapat menghalanginya. Kita perlulah untuk senantiasa mengingati mati dan perlu sediakan diri dengan kematian.

Aku bukanlah ingin bincangkan mengenai kematian. Apa yang ingin aku karangkan kali ini ialah mengenai aku. Aku memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana telah kurniakan aku dengan suatu perasaan terhadap orang lain. Seperti yang aku pernah jelaskan sebelum-sebelum ini, memang aku tidak menjangka bahawa aku akan menaruh hati pada orang lain selain pasangan aku. Namun siapalah aku untuk mengawal sagalanya? Sedangkan kita bernafas juga dengan izin Allah, inikan pula perkara-perkara lain. Tiada siapa yang tahu Qada' dan Qadar yang ditentukan oleh Allah kepadanya. Memang perjalan atau jalan hidup kita telah ditulis sebelum kita dilahirkan didunia. Segalanya telah tertulis di luh mahfuz. Jadi segala yang terjadi sebenarnya telah ditentukan sebelum kita lahir didunia lagi.

Aku masih juga keliru dengan apa yang aku mahukan. Ada kalanya aku rasa suka sangat pada dia, ada kalanya rasa biasa sahaja, ada kalanya teringat sangat pada dia, tidak kurang juga terasa kerinduan yang teramat sangat, dan ada juga kalanya aku rasakan macam tiada apa-apa termasuk jugalah rasa macam sudah tawar hati. Itu yang aku malas sebenarnya untuk ada perasaan pada orang lain kerana aku memang agak lemah kalau aku sudah ada hati pada orang lain ni. Kadang-kadang aku cuma perlu lihat dia sahaja, itu sahaja sudah memadai. Tidak kiralah apa jua perasaan atau pandangan dia terhadap aku, asalkan dia ada di hadapan mata atau berdekatan dengan aku, segalanya terkawal. Tapi aku tak mahu dia terus rasa kurang selesa kalau aku sering melihat dia, jadi ada masanya aku terpaksa untuk tidak melihat ataupun menegur dia.

Memang aku boleh katakan bahawa terdapat sesuatu yang menghalang untuk aku dan dia jadi kawan biasa. Aku telah cuba buat macam biasa, layan macam kawan-kawan lain, namun, memang tidak berjaya kerana setiap kali aku nak bercakap dengan dia macam biasa, tidak dapat dilakukan dengan baik. Pasti aku agak gementar dan gemuruh. Entahlah kenapa susah sangat untuk aku kawal perasaan aku apabila berhadapan dengan si dia. Mungkin kerana aku terlalu obses ataupun masih lagi trauma dengan apa yang terjadi dalam hidup aku. Aku masih kurang yakin dengan diri aku. Bagaimana aku untuk hadapi masalah ini?

Dua malam lepas, aku telah bermimpi bertemu si dia. Memang mimpi itu sangat indah kerana dalam mimpi tersebut si dia melayan aku baik sangat. Mimpi tersebut nampak macam real sangat sehinggakan aku tidak rasakan aku dalam alam mimpi. Tapi sayang, ianya hanya dalam mimpi, tetapi realitinya memang sangat berbeza. Aku rasakan memang aku dah angau ke tahap maksimum. Bukan sebab apa, aku memang macam tak kisah dengan apa yang berlaku, sama ada dia layan aku baik, layan tak baik, buat tak tahu, tetapi hati aku tidak berubah, aku tetap teringat pada dia. Memang sah aku dah jatuh hati pada si dia. Itulah sebabnya aku memang tidak kisah atau rasa tidak menentu asalkan si dia ada di hadapan mata. Masalah yang sering terjadi ialah apabila dia tiada. Mulalah aku rasakan macam-macam. Aku tak menentu je jadinya.

Aku memang dah tak larat untuk hadapi semua ni, ditambah dalam masa terdekat ni. Kisah aku dengan pasangan aku masih belum ada kata putus lagi, jadi aku perlu selesaikan masalah aku satu persatu. Aku tidak dapat pastikan apa yang dia rasa sekarang ni. Kalau aku ditempat dia pun aku tak tahu apa yang aku akan buat. Memang setakat ini dia buat biasa sahaja, baguslah, cuma mungkin juga ada kalanya dia rasa tak selesa. Memanglah tak selesa apabila asyik direnung sahaja. Aku notice lately memang dia kerap menjeling melihat sama ada aku lihat dia atau tidak. Memang ketara kerana aku sering lihat dia dan sesekali si dia akan menjeling. Aku tidak dapat tafsirkan jelingannya bermaksud apa. Kalau ikut standard aku, memang aku agak konservatif dan prudent, jadi aku akan fikir negatiflah. Jadi maksudnya aku rasakan dia tak sukalah. Memang tidak elok berfikiran negatif, tetapi aku perlu realistik, aku kena berpandukan apa reaksi dia. Jadi setakat ini apa yang aku boleh fikirkan memang sesuatu yang negatif sahajalah.

Memang sukar memahami orang lain ni. Ialah, seperti diri aku juga, bukan senang orang memahami diri aku. Adatlah, memang orang sentiasa akan fikir yang tak baik sahaja walaupun kita berniat baik. Salahkah aku suka pada dia? Salahkah aku menaruh hati pada si dia? Setakat ini aku tidak pernah approach dia lebih-lebih. Aku tak pernah suruh ataupun harapkan dia suka pada aku. Aku hanya melayan perasaan aku sendirian. Aku tak mahu serabutkan kepala aku lagi. Aku perlu beri tumpuan dan komitmen pada kerja aku sekarang. Sekarang ini sudah dekat akhir tahun, jadi aku perlu segera menyiapkan laporan tahunan dan juga membuat belanjawan untuk tahun 2009. Saat sekarang sangat kritikal dan memang dah jadi macam kebiasaan sahaja, bila tiba tengah banyak perkara yang perlu aku fikirkan, terlalu banyaklah hal yang aku kena fikir. Bila time aku tengah free mind aku, memang tak ada apa yang aku perlu fikirkan. Inilah ujian untuk minda aku. Ada kalanya aku perlu memerah otak untuk berfikir dan ada kalanya aku biarkan otak aku rehat sahaja. Tetapi sepanjang aku hidup, memang kepala aku ni asyik suka berfikir. Kiranya otak aku akan sentiasa bergerak 24-7 la. Memang itulah yang sepatutnya. Mana boleh tak berfikir. Dalam tidur pun otak aku aktif berfikir, itulah pasal aku boleh jumpa si dia dalam mimpi aku.

Seperti biasalah, kalau aku dalam keadaan tak menentu aku lebih kerap berdoa pada Allah. Bukanlah maksudnya aku kurang berdoa bila aku tiada masalah, tetapi bila dalam keadaan yang tak menentu seperti sekarang ini, aku lebih senang mendekatkan diri aku pada Allah dan sentiasa memanjatkan doa kepadaNya. Aku juga merasakan aku berbicara ataupun berbual dengan Allah. Aku memang amat meyakini bahawa Allah mendengar luahan hati aku. Memang aku boleh tipu orang lain, namun aku tidak mampu menyembunyikan sesuatu atau menipu Allah. Aku juga tidak mampu menipu diri aku sendiri ditambah pula kalau perkara-perkara yang melibatkan perasaan ini. Aku memang akui aku suka pada si dia. Itulah fact nya, tetapi aku tidak berharap atau menaruh harapan yang tinggi. Aku cuma sedari dan perlu akui aku suka pada si dia. Sebab itulah aku memang tidak kisah apa juga respon dia pada aku.

Memang aku perlu banyak bersabar kerana bukan mudah untuk memenangi hati orang lain. Sungguhpun si dia telah mengetahui niat hati aku dan juga mengetahui status aku, namun aku tidak tahu apa sebenar yang dia rasa. Berilah masa untuk dia fikirkan mana yang terbaik untuk dirinya dan juga diri aku. Kalau dia merasakan dia boleh ada hubungan istimewa dengan aku, dia akan datang juga suatu hari nanti, tetapi kalau dia memang tiada sebarang perasaan pada aku, aku perlu hormati dan akur dengan keputusan dia. Itu hak dia. Hak aku cuma untuk suka pada dia, tetapi aku tiada hak untuk suruh dia suka pada aku whatsoever. Cukuplah sekadar dia boleh bercakap biasa dengan aku walaupun hanya sekali sekala berbanding kalau dia langsung tak mahu layan atau bercakap dengan aku sebagaimana yang pasangan aku buat pada aku. Tak mengapalah, aku tak mahu salahkan sesiapa. Apa yang mampu aku buat sekarang ialah berserah sahaja pada Allah. Tiada apa yang aku terdaya untuk lakukan sekarang ini.

Buat sementara waktu ini aku perlulah buat seperti biasa dan datang kerja dengan niat yang betul. Memang aku niat datang kerja untuk bekerja dan bukan kerana si dia. Kalau tak masakan aku datang kerja awal setiap hari. Lainlah kalau si dia pun datang awal. Dia memang selalu datang dekat-dekat office hour. Aku faham kerana dia juga berulang jauh dari rumahnya ke pejabat. Jadi memang dia akan datang lewatlah hari-hari. Asalkan dia selamat datang dan pergi jadilah. Kalau dia tiada di pejabat memanglah aku rasa kurang sikit, namun aku tidak boleh biarkan sehingga ianya menjejaskan tugasan aku. Aku perlu buktikan pada diri aku sendiri bahawa aku layak duduk di posisi aku sekarang ini dan dalam masa beberapa tahun lagi aku akan mahir dengan selok belok perniagaan syarikat aku ni. Itulah harapan bos aku sekarang ini dan beliau telah menyatakan bahawa beliau mahu aku menjadi pembantu beliau suatu hari nanti. Aku akan ambil peluang ini dan aku perlu belajar dengan lebih tekun dan fahami secara terperinci segalanya. InsyaAllah, aku boleh buat. Aku yakin aku boleh.

Oleh yang demikian, aku perlulah untuk mengasingkan perkara yang harus aku fikirkan sekarang ini. Aku perlu dahulukan perkara-perkara yang lebih penting berbanding perkara-perkara yang tidak penting. Seperti masalah peribadi aku, bukan tak penting, tetapi aku boleh tangguhkan dahulu kerana ianya bukan perlu diselesaikan dengan cepat. Aku perlu fokus pada kerja aku bagi mencapai matlamat aku. Memang aku tidak bercadang untuk mencari kerja tempat lain lagi, aku akan cuba hadapi segala rintangan dan dugaan di tempat kerja sekarang ini. Mana-mana tempat kerja pun pasti ada masalah, jadi aku perlulah hadapi segala rintangan dan dugaan ini dengan hati yang terbuka. Kisah aku dan si dia, biarlah masa yang tentukan. Seperti yang aku jelaskan dalam perenggan di atas, sekiranya dia ada perasaan yang sama dengan aku, pasti ianya akan datang sendiri. Tak perlu kelam kabut kerana setiap orang perlukan masa. Aku juga perlu beri ruang untuk hati dan otak aku berehat. Untuk sementara waktu ini, asalkan dia ada, ada didepan mata aku, ianya sudah memadai.

No comments: