Monday, December 8, 2008

Salam Aidiladha

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Syukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah aku menyambung lagi kehidupan ini dengan kurniaan usia yang entah bila akan berakhir. Tiada siapa yang mengetahui bilakah ajal akan menjemput kita, oleh yang demikian kita sering diingatkan supaya bersedia bagi menghadapi sakaratulmaut kerana kematian itu adalah pasti. Setiap yang hidup pasti akan mati, jadi tiada siapa yang akan dapat lari daripada kematian. Hanya masa sahaja yang akan menentukan bilakah ajal akan datang menjemput kita.

Umat Islam seluruh dunia baru menyambut kehadiran Hari Raya Qurban ataupun Aidiladha. Alhamdulillah kerana kita masih berpeluang menyambut kehadiran Aidiladha tahun ini, tahun hadapan belum tahu lagi. Semoga masa yang kita ada ini digunakan bagi meningkatkan ketakwaan dan ibadah kita kepada Allah S.W.T. Tidak Allah jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaNya, maka kita kena sering ingati bahawa tujuan Allah menjadikan kita ialah untuk mengabdikan diri dan sentiasa beribadah kepadaNya. Janganlah kita mudah lupa pada perkara asas ini.

Kehadiran Aidiladha tahun ini dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kurang 5 hari dari ulang tahun ke-15 tragedi Highland Tower, negara dikejutkan dengan kejadian yang setakat ini meragut 4 nyawa dan memusnahkan banyak rumah disekitar kawasan Bukit Antarabangsa. Ironinya kejadian terbaru ini tidak jauh daripada Highland Tower. Adakah kita tidak belajar dari tragedi sebelum ini?

Kawasan Bukit Antarabangsa merupakan kawasan golongan elit dan hanya orang yang betul-betul 'berduit' mampu untuk memiliki hartanah dikawasan tersebut. Kawasan tersebut memang sangat nyaman untuk didiami kerana disekitar kawasan bukit dan menawarkan panorama serta pemandangan yang menarik. Namun, adakah manusia tidak memikirkan risiko yang bakal dialami mendiami kawasan bukit? Kalau dahulu pepatah melayu ada menyebutkan 'kalau takut dilanda ombak, jangan berumah ditepi pantai'. Mungkin pepatah baru boleh dibicarakan 'kalau takut tanah runtuh, jangan berumah dilereng bukit'. Ini bukan satu gurauan atau sindiran, tetapi sampai bilakah manusia boleh sedar sedangkan sejarah telah membuktikan risiko mendiami kawasan berbukit.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Pemaju? Menteri Besar? Pihak Berkuasa Tempatan? Perdana Menteri? Bangla Jual Karpet? Apabila berlaku kejadian seperti ini, masing-masing menuding jari menyalahkan pelbagai pihak yang dirasakan bertanggungjawab. Tetapi pernah atau tidak kita terfikir, mengapa Allah menurunkan bencana seperti ini? Tiada siapa yang mahu memikirkan sebenarnya setiap kejadian itu ada kaitan dengan kekufuran kita sendiri. Sesungguhnya Allah tidak akan menurunkan bala bencana disesebuah kawasan itu tanpa sebab. Adakah antara kita yang memikirkan mengapakah kejadian seperti ini berlaku? Pasti ramai yang hanya bergantung kepada kajian serta selidikan ahli kaji bumi dan sebagainya. Pernah atau tidak perkara ini dirujuk kepada ulama atau imam? Setakat ini tiada.

Aku tertarik kepada satu pemanggil dalam siaran Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan pagi Sabtu yang lepas, pemanggil tersebut ada menyentuh mengenai agama, sesuatu yang berkaitan dengan tingkah laku manusia yang mungkin menyebabkan bala seperti tersebut terjadi, namun sayangnya pengacara terbabit seperti tidak berminat dengan pendapat pemanggil terbabit, memutuskan talian dikala pemanggil tersebut sedang rancak mengutarakan pendapatnya dan tidak memberi sebarang ulasan. Betapa jahilnya manusia seperti tersebut yang terus meminggirkan kuasa Allah. MasyaAllah. Bukanlah aku ni alim sangat, tetapi mengapa kita ni tidak mahu sedar setiap kejadian itu pasti bersebab. Wallahualam.

Apa yang ingin aku coretkan disini bukanlah untuk membincangkan perihal tersebut, cuma sebagai kesedaran untuk diri aku bahawa setiap apa yang berlaku adalah dengan izinNya dan pasti bersebab. Sejarah telah menunjukkan betapa kekuasaan Allah memusnahkan kaum yang kufur kepada nikmatNya sebelum ini. Lihatlah apa yang terjadi kepada Qarun dimana beliau dan hartanya telah ditelan bumi kerana kufur dengan nikmat yang Allah berikan. Begitu juga yang pernah berlaku pada umat-umat terdahulu yang engkar dengan suruhan Allah, habis ditelan bumi. Adakah kita mahu sampai jadi begitu baru mahu sedar?

Apa yang berlaku dewasa ini terlalu teruk dan sangat menyedihkan. Hukum yang Allah telah tetapkan diubah kononnya bagi menyesuaikan dengan peredaran masa. Apakah mereka ini merasakan Al-Quran tidak relevan pada masa sekarang ini? Itulah sebabnya mengapa bala yang menimpa semakin menjadi-jadi, tetapi tiada siapa yang mahu sedar. Para ulama dan mufti juga tidak berani bersuara dan beri pendapat berdasarkan nas-nas dan hukum kerana khuatir akan dipecat mahupun dipenjarakan. Apakah manusia ini lebih besar sehingga boleh mengubah hukum yang Allah tentukan?

Aku bukanlah orang yang layak untuk bicarakan bab agama ini kerana sesungguhnya aku juga bukanlah baik sangat. Banyak lagi ilmu agama yang aku perlu pelajari sebelum aku digelar layak bagi membincangkan isu agama ini. Apa yang mampu aku lakukan sekarang ini ialah perbanyakkan ibadah aku kepada Allah dan berharap agar segala amalan aku diterimaNya, insyaAllah. Selebihnya aku serahkan pada Yang Maha Kuasa, apa lagi yang mampu aku buat? Aku juga takut melakukan kesilapan dan dosa kerana sesungguhnya balasan yang bakal aku terima nanti amat perit, jadi aku memang serahkan diri aku kepada Allah dan aku berlindung dengan Allah daripada fitnah manusia, jin dan syaitan.

Setelah sekian lama tidak pulang kekampung, perjalanan aku kekampung tempoh hari terasa sangat jauh. Kalau sebelum ini setiap minggu aku mampu pulang kekampung, tetapi semenjak kerja ditempat baru ni, aku jarang balik kampung. Kalau tidak disebabkan untuk menyambut Aidiladha, mungkin aku tidak pulang, tetapi tidak pernah lagi aku beraya sendirian walaupun hari raya Qurban. Maka perjalanan aku terasa amat jauh jugalah kerana sudah lama tidak pulang. Sedangkan jalan itulah yang aku lalui sebelum-sebelum ini. Alhamdulillah aku selamat tiba dikampung walaupun sepanjang perjalanan hujan renyai-renyai.

Kalau sebelum aku pulang aku menjangkakan aku akan jadi sangap sangat kerana cuti lama dan tidak melihat si dia, ternyata telahan aku silap. Aku tidaklah jadi sesangap yang aku jangkakan kerana aku tidak teringat pun pada si dia. Kalau sebelum ini aku plan nak call ataupun sms masa pagi raya, tapi aku tak buat pun. Bukan sebab apa, aku dah malas nak buang masa dan buang duit buat masa ini. Tunggulah sehingga betul-betul kalau ada orang yang mahu bersama aku lagi. Tapi aku tidak sanggup lakukan kesilapan yang sama lagi. Kalau dahulu aku boleh dikudakan, diperkotak katikkan oleh pasangan aku sendiri, kali ini aku tidak akan biarkan diri aku diperlakukan sebegitu lagi. Aku perlu lebih berhati-hati selepas ini untuk mencari pasangan hidup. Bukan senang hendak mencari orang yang baik sekarang ini. Ramai yang pandai berpura-pura. Kalau sebelum kahwin bukan main baik sangat, satu keluarga sembahyang berjemaah, i'm very impress, tetapi lepas kahwin, segalanya berubah. Tak mengapalah, malas aku nak komen apa-apa, sebab itu antara mereka dengan Allah. Aku hanya perlu jaga ibadah aku sahaja.

Secara rangkumannya, kita perlulah hayati kehadiran Aidiladha dengan penuh rasa syukur dan insafi diri sendiri. Perbanyakkanlah bertasbih dan bertahmid memuji kehadrat Illahi. Gunakanlah peluang yang ada untuk perbanyakkan ibadah kita kepada Allah. Esok lusa mungkin kita akan kembali kepadaNya, maka janganlah mensia-siakan masa yang ada untuk lakukan perkara yang tidak berfaedah. Kehidupan perlu diteruskan selagi hayat dikandung badan dan kita perlu tempohi dugaan dan cabaran dalam kehidupan ini. Sungguhpun hari ini aku dapat berbicara dengan si dia, namun aku rasakan biasa sahaja dan tiada apa-apa yang istimewa pun. Ha ha ha, sempat juga nak selitkan kisah si dia. Salam Aidiladha buat semua.

No comments: