Bagaimana aku harus mulakan karangan aku kali ini ya? Salah satu bentuk pembuka atau pengenalan ialah dengan persoalan. Tetapi kali ini memang aku benar-benar tidak tahu apakah bentuk intro yang harus aku buat kerana aku hanya ada idea untuk isi yang ingin aku sampaikan. Aku menggunakan tajuk kali ini bebas. Maksudnya aku bebas untuk karangkan apa sahaja yang terlintas dalam kepala aku dikala aku mengarang ini. Bukan sebab apa, aku sangat bosan sekarang ini, entah kenapa mood aku kejap ok kejap tak. Memang masih lagi tak menentu. Entah apa yang mengganggu fikiran aku sekarang ini pun aku tak tahu.
Kerja tengah banyak sekarang ni dan mungkin sebab itulah kepala aku lebih senang berdengung, ha ha ha. Apa boleh buat, tanggungjawab perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Aku dibayar untuk pening kepala, jadi aku kenalah pening-peningkan kepala bagi menguruskan kewangan syarikat. Bukan apa menjaga kewangan orang lebih payah dari kewangan sendiri. Aku lebih kedekut berbeza dengan diri aku sendiri. Cara aku uruskan kewangan syarikat lebih teliti daripada cara aku uruskan duit aku. Ialah, ini amanah yang diberikan pada aku, aku tak boleh buat sesuka hati kerana prestasi syarikat ditangan aku. Kalau aku membiarkan kewangan syarikat dibelanjakan tanpa kawalan yang sepatutnya, memang susahlah syarikat akan bertahan. Aku tak kisahlah kalau bebudak pejabat ni nak benci ke menyampah kat aku kerana sikap aku yang agak fussy dalam urusan kewangan kerana kalau aku tak buat begitu, susah untuk aku kawal kewangan syarikat. Malah bos punya claim pun aku akan periksa betul-betul. Pada aku setiap sen itu beharga.
Memang betul kata kawan pejabat aku, si dia ni ada angin sikit, ikut mood dia la. Apa yang aku perasan kalau tengah kerja banyak memang mood dia kurang baik. Jadi aku kena biasakan diri aku untuk hadapi semua ni. Bila time dia tengah moody, janganlah cari pasal. Macam aku juga, kalau dikala aku banyak kerja, aku tak mahu ada sebarang gangguan, tapi kalau dia yang ganggu, kena jugalah. Tiada siapa yang boleh kacau aku time aku tengah sibuk buat kerja. Tak kisahlah aku ada feel pada dia ataupun tidak, sekarang ni aku nak layan semua orang sama sahaja. Tiada yang istimewa walaupun orang itu istimewa pada aku. Aku dah letih layan orang sehabis baik, in the end, aku yang menderita. Jadi aku takkan buat kesilapan lagi.
Ketika aku menghasilkan artikel ini, terhenti seketika untuk mesyuarat mingguan. Berbeza dengan mesyuarat minggu lepas dimana aku banyak bersuara, kali ini aku tak la bersuara sangat. Ada pun sikit-sikit sahaja. Hanya yang penting sahaja aku utarakan. Yang lelain aku buat pandai saja, diam lebih baik. Biar orang nilai kerja aku, bukan dari segi cakap. Nanti orang kata dia ni sembang je pandai, kerja macam hampeh. So aku lebih banyak berdiam dan yang paling aku suka time meeting ialah itulah masa yang aku dapat gunakan untuk melihat si dia puas-puas. Memang aku notice sesekali dia jeling tengok aku (ha ha ha perasan), betul bukan tipu, tapi aku tak tahulah sama ada dia selesa ataupun tak. Tak kisahlah, engkau selesa ke tak, yang penting aku suka tengok, itu je, bukan luak pun aku tengok. Mata aku yang letih bukan mata engkau.
Sekarang ni aku masih tidak dapat untuk menentukan apa tujuan aku mahupun matlamat aku. Maksud aku dari segi pasanganlah. Dari segi kerjaya, insyaAllah, aku sudah sasarkan untuk memajukan diri dalam syarikat ini. Target aku dalam masa beberapa bulan akan datang, aku nak mahirkan diri dalam syarikat ni. Kiranya petik jari sahajalah untuk setiap tugasan yang diberikan. Tapi aku perlu belajar sungguh-sungguh untuk menjadi seperti bos aku. Banyak lagi perkara yang aku perlu pelajari dan setiap peluang yang ada dihadapan mata aku, aku perlu gunakan. Itulah sebabnya mengapa bila setiap kali bos aku ajak jumpa client ke apa, walaupun waktu malam, aku akan ikut. Aku yakin dengan kebolehan aku dan aku memang suka dengan cara kerja sebegini.
Apa yang aku maksudkan dengan hala tuju tadi ialah mengenai si dia. Aku pun masih tidak begitu pasti, apakah perasaan aku terhadap si dia sebenarnya. Ada kalanya aku rasakan seperti suka sangat, ada kalanya macam biasa je. Masih terlalu awal untuk buat keputusan kerana apa yang lebih baik sekarang ini ialah berkawan seperti biasa sahaja. Mungkin juga ianya dipengaruhi cara layanan si dia pada aku. Kalau dia layan aku ok, aku seronok, tapi kalau dia layan tak ok, aku macam tak ada apa sangat. Macam yang aku nyatakan bahawa si dia ni ada angin sendiri. Ada masanya kalau mood dia baik, memang dia boleh bikin cair aku punya hati, tapi kalau time dia layan tak ok, time mood dia tak ok, hati yang cair tadi jadi beku balik. So aku kena get used dengan situasi sebeginilah. Cuma aku rasa nyaman dan tenang sangat apabila melihat wajah si dia, memang sangat tenang rasa hati aku. Itu sebab aku tak kisah sangat dengan layanan si dia. Kita boleh menyukai orang, tetapi kita tidak boleh mengharap orang yang kita suka tu suka pada kita. Apa yang aku harapkan dia tidak marah pada aku kerana suka pada dia. Dia kena tahu, bukan ini yang aku pinta. Aku pun tak nak suka pada sesiapa selain pasangan aku, namun aku harus terima hakikat bahawa pasangan aku memang sudah tak mahu bersama aku. Sungguhpun aku sudah berusaha menyelamatkan rumah tangga kami, namun nampak gayanya usaha pasangan aku untuk menghancurkannya akan berjaya.
Tak mengapalah, aku memang tidak mahu salahkan pasangan aku mahupun diri aku sendiri. Aku perlu lebih realistik dan belajar menerima hakikat. Segalanya adalah ketentuan dan setiap apa yang berlaku dengan izinNya. Memang kalau sebelum ini aku mungkin agak sombong ataupun bongkak dengan mendakwa bahawa aku tak akan jatuh hati pada orang lain selain pasangan aku, namun ternyata dan sudah terbukti aku tersilap. Aku bersyukur kerana Allah telah menyedarkan aku dan aku bersyukur kerana hati aku boleh menyukai orang lain. Sebelum ini bukan aku tak pernah ketemu orang lain selain si dia, malah ada yang lebih baik kalau dibandingkan si dia, tetapi aku memang tidak hairan pun masa tu kerana ingatan aku sangat kuat pada pasangan aku. Kiranya tiada siapa yang dapat untuk gantikan tempat pasangan akulah masa tu, tapi bila aku bertemu si dia, segalanya berubah. Itulah ketentuan yang kita tidak dapat sangkal lagi. Siapalah kita untuk merasakan segalanya dibawah kawalan hidup kita? Sedangkan setiap nafas kita ini dengan izin Allah, inikan pula perkara lain. Jadi kita kena sentiasa sedar diri. Aku akui, banyak salah aku pada Allah dan sebab itulah nasib aku agak tidak menentu. Aku harapkan Allah mengampunkan dosa aku kerana sesungguhnya aku ini hanya hamba yang daif dan lemah.
Aku memang tidak mengetahui lagi apa hala tuju aku dengan si dia. Buat masa ini lebih baiklah aku selesakan diri aku dan jangan buat dia rasa tak selesa, itu je. Kalau aku hanya pentingkan rasa seronok nak tengok dia, tapi dalam masa yang sama buat dia tak selesa pun tak baguslah. Tak pasal-pasal dia benci sama aku nanti. Elok-elok boleh jadi kawan, nanti jadi lawan. Tak mahu aku. Biarlah, aku akan ikut keadaan dan masa, kalau dia layan aku ok, aku layan jer, bila time mood dia tak ok, aku tak kan kacau dia dan hanya buat hal aku sendiri sajalah. Aku boleh buat kerja lain lagi. Tak semestinya tengok dia saja, nanti jemulah pulak. InsyaAllah, kalau ada jodoh, adalah, kalau tak ada, alhamdulillah. Aku serahkan segalanya kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment