Sunday, November 23, 2008

Egois

Salah satu sikap yang tidak elok yang harus dielakkan oleh manusia ialah sikap ego. Terkadang ego ini perlu, tetapi kenalah pada tempatnya. Ego ini lahir dari sikap sombong seseorang yang hanya mementingkan dirinya sahaja. Walaupun dia yang salah, dia tidak mahu sedarinya, malah disalahkan orang lain.

Aku hendak menulis mengenai sikap ini kerana aku sering dilabel sebagai seorang yang ego. Aku tidak nafikan, mungkin terkadang aku ini terlalu ego, tetapi ego aku tidak lama dan aku lebih suka amalkan sikap bertolak ansur. Tetapi kalau orang dah tak reti nak bertolak ansur dengan aku, asyik kata yang aku ni ego jer, memang kesabaran aku ada batasnya. Kalau selama ini aku rasakan aku boleh selesaikan masalah dengan cara yang baik bila aku beralah, namun apabila aku sering ditindas dan dipijak setelah beralah, itu sudah lebih.

Kisahnya begini, pada hari sabtu yang lepas, setelah aku pulang ke rumah, sekitar jam 5 petang la, tiba-tiba pasangan aku telefon menyatakan dia hendak datang ke rumah untuk mengambil pakaian dia. Aku cuma cakap datang la, tapi belum tentu aku akan bagi dia masuk kerumah. Sekitar jam 8 malam dia sampai kerumah aku dengan kakak dia yang sedang berbadan dua. Berlakulah satu drama dimana aku memang tidak benarkan dia masuk kerumah aku. Punyalah marah kakak dia kat aku, maki hamun aku, kata aku macam-macam, ego, dayus dan sebagainya. Yang kelakarnya siap suruh aku pergi mengadap orang tua dia mintak maaf. Apa pasal lak aku kena mintak maaf sedangkan yang tinggalkan aku adik dia. Bukan aku yang halau pasangan aku dari rumah. Dia yang keluar ikut keluarganya, kononnya hendak dipujuk. Ingatkan hendak pujuk supaya berbaik, rupanya pujuk suruh berpisah. Kata aku macam-macam, curanglah, abis adik dia tu baik sangat la, tak curang ke kalau dia sendiri dah kantoi dengan aku? Kalau aku, aku sanggup mengaku salah aku, dia, mati dikerat pun tak akan mengaku punyalah walau dah terkantoi. Itulah sebabnya dia datang dengan idea kononnya aku mengancam hidup dia. Ha ha ha, mengancam? Orang yang diancam berani datang rumah orang yang mengancam? Tak ke pelik?

Yang ditambah kelakar lagi tu, siap buat repot polis dulu sebelum datang. Dah la kakaknya bertegas nak masuk rumah siap ugut nak pecahkan pintu. Ha ha ha, kuat sangat la engkau nak pecah rumah aku? Rumah tu aku yang sewa, jadi aku ada hak untuk pertahankan rumah aku dan diri akulah. Maka oleh sebab dia tak puas hati, dia telefon lah polis. Aku pun ambil tindakan yang sama, telefon polis suruh datang rumah aku. Selang beberapa minit kemudian, datanglah polis. Aku perhatikan gelagat mereka dari atas sahaja. Siap ada escort, budak office aku dulu yang pernah minat kat pasangan aku ni dulu. Datanglah, seberapa ramai sekalipun, hakikatnya dia tak boleh paksa aku bagi dia masuk rumah. Maka polis pun sampailah dihadapan pintu rumah aku. Aku memang tidak berganjak dengan keputusan aku. Pasangan aku dengan eksyennya berkata, 'ha ni dah bawak polis ni', eee... takutnya aku, hahaha, polis tu muncul depan aku, terus aku bagi salinan repot yang pernah aku buat dulu. Polis tu tanya, encik boleh bagi dia masuk tak? Aku dengan bersahaja menjawab, 'tak'. Lepas tu polis tu tanya, encik boleh pergi balai tak? Aku jawab 'ya'. Teruslah aku bergegas siap-siap ke balai.

Sesampai dibalai, aku bertemu dengan seorang koperal yang bertugas. Pasangan aku belum sampai lagi masa itu. Kemudian aku pun ditemuramahlah oleh pegawai polis berkenaan. Maka aku terangkanlah apa yang patut. Ketika aku ditemuramah, ketua balai tersebut menghubungi koperal terbabit dan kemudian OCS tu berbuallah dengan aku. Maka aku jelaskanlah apa yang patut. Dan alhamdulillah, pegawai polis berkenaan faham situasi aku dan menyerahkan kepada aku sama ada ingin membenarkan pasangan aku masuk kerumah ataupun tidak. Aku tetap dengan keputusan aku untuk tidak membenarkan dia masuk. Tunggulah keputusan mahkamah syariah nanti. Selepas sesi temuramah itu berlansung, koperal itu pun memanggillah pula pasangan aku untuk ditemuramah. Entah apa yang dia auta, aku tak nak ambil tahu, yang penting polis telah jalankan tugas mereka dengan baik. Tidak seperti seorang polis yang berpakaian preman masa kat rumah aku hari tu, boleh lak dia nak gertak aku kata dia boleh tahan aku. Rumah aku yang hendak diserang, aku pulak yang hendak ditangkap. Aku bukan curi barang-barang pasangan aku tu. Dia yang bawak semua masuk rumah aku, lepas itu dia lari, siapa suruh? Dah jenuh aku pujuk, dia masih berkeras, so, jangan haraplah aku hendak beralah lagi.

Dibalai tu hari tu dah jadi macam rumah dorang pulak. Datang adik beradik dia bagi 'support' la kononnya, aku sensorang jer, relax jer. Terdengarlah dorang dok kutuk-kutuk aku, aku wat bodo jer. Lantak pi koranglah nak kutuk-kutuk aku, bukan mulut aku yang busuk. Aku memang nak selamatkan rumah tangga aku, tapi dorang yang beriya nak hancurkan. Tengoklah siapa yang akan berjaya. Jangan sampai korang kacau periuk nasik aku sudah lah. Tetapi dari segi apa yang pasangan aku buat sekarang ini memang niatnya hendak hancurkan masa depan kerjaya aku ni. Memang sangat melampau. Kenapa setelah 5 bulan blah, baru ni kelam kabut nak ambil barang-barang dia? Bukankah mahkamah syariah dah penah tolak usul dia sebelum ini. Ini jenis nak ikut cakap dia je, cakap orang lain tak nak pakai. Apa dia dan keluarganya tu sempurna ke? Pelik betul, ada jugak setandan pisang yang semua busuk. Tapi aku malas hendak mengata pasangan aku dan keluarganya. Biarlah dengan tindakan mereka itu. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan benar.

Aku tahu, mereka memang rasa sakit hati bertambah sakit lagi hati kerana tidak berjaya masuk kerumah aku. Aku percaya, puak-puak seperti ini tidak akan duduk diam punya, mesti mereka akan rancang sesuatu agar hajat mereka tercapai. Mentang-mentanglah aku duduk sorang-sorang kat sini. Tapi dorang tak boleh lupa, aku juga punya keluarga dan kawan-kawan. Cuma aku belum lagi mahu bertindak. Biarlah mereka membodohkan diri mereka, aku tak mahu ikut jejak mereka. Tapi sekiranya sampai terganggu periuk nasik aku kali ini, memang aku sudah tak akan berdiam lagi dah. Jangan melampau sangatlah. Aku tak kacau ngko orang, janganlah kacau aku. Kalau dulu aku pujuk dia, dia suh tunggu mahkamah tentukan, ni apasal lak tak sabar-sabar nak tunggu mahkamah tentukan?

Mujurlah sekarang ini aku sudah kuat semangat. Kalau sebelum ini aku memang agak weak la, tapi aku sudah nekad untuk pertahankan diri aku. Mana boleh biarkan diri aku terus dipijak. Aku kena bangkit dan teruskan hidup aku. Ada orang kacau, aku kena pertahankan diri aku. Walaupun aku berseorangan, aku akan tabah hadapi dugaan kerana aku tetap yakin, Allah bersama orang-orang yang benar.

Thursday, November 20, 2008

Saat Yang Terindah Hanya Sementara

Ha ha ha, seperti yang telah aku katakan dan jangkakan saat terindah yang aku rasa sebelum ini hanya sementara. Walau bagaimanapun, aku akan tetap kenang sebagai saat yang paling indah dalam hidup aku selepas episod duka yang aku lalui selama ini. Memanglah sepanjang hayat aku, ada beberapa kali saat indah yang menjelma dalam hidup aku, namun kenangan bersama dia tempoh hari merupakan saat terindah aku yang terbaru.

Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, perkara seperti itu tidak boleh berlaku selalu kerana ianya akan menjadi perkara yang biasa sahaja selepas itu. Kisahnya, semalam pun aku terpaksa membuat report untuk same project, cuma yang ini tambahan kepada projek yang terdahulu. Bos aku pun sengaja je nak kasi ruang bagi aku untuk lebih banyak luangkan masa bersama si dia. Memanglah aku rasa teruja, tapi perasaan tu tak sama seperti hari sebelumnya. Bezanya kali ini hanya aku berdua sahaja yang buat report tu. Dalam bilik mesyuarat hanya kami berdua tetapi di office masih ada ramai lagi orang lain walaupun masa tu jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Tidak seperti hari sebelumnya dimana rakan-rakan sepejabat balik awal sekitar jam 6 petang dan kami siap report dalam pukul 10 malam. Semalam kami siap awal sekitar jam 8 malam, jadi tak lama sangatlah aku bersama dia. Dan pada aku saat itu tidaklah seindah yang diharapkan. Namun aku memang tidaklah rasa keciwa ataupun gembira.

Dalam perjalanan pulang, jalan jem teruk, aku tak lah tension sangat, bukak radio kuat-kuat dan menyanyi. Sepanjang perjalanan itu aku banyak berfikir dan aku rasakan untuk sementara waktu ini biarlah aku menyendiri seperti sekarang ini. Rasa lapang sangat kepala sebenarnya. Nak keluar kemana-mana tidak rasa terikat. Nak pergi kerja pukul berapa, nak balik pukul berapa, nak pergi outstation, aku tak ada banyak halangan. Jadi apa yang lebih penting aku kena hiburkan hati aku sendiri, tak boleh harapkan lagi orang lain untuk gembirakan aku.

Ada kalanya aku terasa macam marah sangat dengan orang-orang sekeliling dan pihak-pihak yang berkaitan. Seperti peguam aku, aku tau la yang aku tak bayar dia sesen pun sebab dia sudah dibayar gaji oleh kerajaan. Itulah gunanya kerajaan wujudkan Biro Bantuan Guaman untuk membantu orang-orang yang tak mahu membazir duit bayar peguam luar. Bila dia dah dapat gaji tetap, jadi kerjanya pun lebih kurang je la. Typical government servant. Dah la aku yang telefon dia, dia lak yang nak cakap lebih-lebih. Aku telefon, aku nak bercakap, bukan nak dengar dia cakap, lainlah kalau dia yang telefon. Kalau ikut panas hati aku, nak je aku maki dia, tapi aku fikir jangka panjang punya akibat. Kalau ikutkan nak je aku upah peguam luar, tapi aku malas nak membazir memandangkan kemudahan ada disediakan. Takkanlah aku kerja teruk-teruk, dapat duit nak kayakan orang lain. Kos buka fail kat peguam je dah makan ribu ringgit. Belum lagi campur kos-kos lain. Tak mahu aku membazir, sesungguhnya membazir itu amalan syaitan.

Semalam lunch aku kuar dengan dua tiga orang budak office, tapi tanpa si dia. Kita orang makan kfc. Bila dah on the way balik rumah, baru aku terkenang, kenapalah aku tak tapaukan kfc untuk si dia. Semalam masa meeting, mother dia telefon, dia bagi tahu dia tak makan lagi. Kesian la pulak. Tapi siapa suruh dia tak nak ikut kami lunch? Orang dah bagi time rehat, banyak kerja macam mana pun berhenti la sekejap untuk isi perut. Kerja bagai nak rak untuk isi perut. Berbalik pasal tapau menapau tadi, terfikir jugak aku kenapalah aku tak tapaukan dia kfc ek? Tapi kalau aku tapaukan dia sorang je nanti obvious sangat, so nak tapau untuk orang lain sekali, al tak payah pun tak apalah. Sekali lagi, aku malas nak membazir lagi. Dulu aku dah habis puluhan ribu ringgit untuk puaskan hati pasangan aku, tapi apa yang aku dapat? Aku tak suruh dia balas, tapi janganlah buat taik kat aku. Tak apalah, malas aku nak fikirkan pasal dia, lagi bertambah terbakar hati aku.

'Sesungguhnya saat yang terindah hanyalah sementara', bait lagu erra fazira. Memang terkadang apa yang terkandung dalam lagu ataupun cerita drama mahupun filem berlaku dalam realiti. Paling ketara sekali ialah cerita-cerita lakonan P.Ramlee. Memang banyak maksud yang tersirat dan memang banyak yang berlaku di alam nyata dan terjadi dalam hidup aku. Coincident? Kalau satu dua tu mungkin lah, tapi macam banyak saje cerita-cerita P.Ramlee yang terjadi dalam kehidupan aku, antaranya cerita Tiga Abdul dan Ibu Mertuaku. Bukanlah terjadi exactly seperti dalam filem tersebut, tetapi sebahagian daripadanyalah yang terjadi. Tapi tidak mengapalah, aku kena berfikiran positif dan percaya bahawa setiap apa yang berlaku dalam dunia ini ada hikmahnya. Mungkin sekarang ini aku rasakan seperti dunia ini tidak adil bagi aku. Memanglah dunia ini tidak adil, itulah sebabnya kita akan ada hari pembalasan di akhirat nanti. Di sana nanti segala amal dan keburukkan kita akan dihitung tanpa ditinggalkan walau satupun. Bergantung kepada amalan dan dosa kita, kalau timbangan amalan kita melebihi dosa, maka kita selamatlah, tetapi kalau sebaliknya, sendiri mau ingatlah.

Sekarang ini mungkin nasib tidak menyebelahi aku bilamana aku sahaja yang nampak bersalah. Seolah aku ni tiada yang betul langsung, namun aku kena kuatkan semangat aku. Inilah cabaran dalam hidup. Aku kena tempoh dan hadapinya dengan tenang dan sabar. InsyaAllah, kesabaran aku akan terbalas. Allah bersama orang-orang yang sabar dan benar. Apa yang penting aku rasakan sekarang ini kehidupan aku lebih tenang dan insyaAllah akan lebih bahagia. Selepas kesukaran (halangan) ada kesenangan, itulah sebahagian daripada terjemahan ayat dari surah apa ek, tak ingatla nama surahnya, tapi surah yang sering aku amalkan. Apa yang penting, untuk selamat hidup dunia akhirat, berpeganglah pada Al-Quran dan hadis, insyaAllah, Allah akan tolong hambaNya yang sering meminta pertolongan daripadaNya.

Wednesday, November 19, 2008

Kenangan Yang Terindah

Rasanya baru inilah kali pertama aku ingin coretkan sesuatu dalam blog aku ini dalam keadaan aku terasa seronok sangat. Kalau dilihat kepada artikel-artikel aku sebelum-sebelum ini, semuanya menunjukkan emosi aku yang agak kusam. Ialah, aku cuma dapat coretkan semua itu bagi melepaskan geram dan rasa tidak puas hati aku. Manakan tidak, tiada siapa yang dapat fahami aku betul-betul, setiap apa yang aku ceritakan, tiada siapa yang dapat tangkap maksud yang terkandung daripada luahan hati aku. Mungkin silap aku juga kerana terlalu mengharap orang lain memikirkan setiap pengucapan aku dari pelbagai sudut. Aku tidak boleh samakan orang lain dengan cara aku. Aku memang suka berfikir lebih jauh. Setiap apa yang orang katakan, aku tidak hanya melihat dari satu sudut. Tapi setiap manusia berbeza, jadi itulah sebabnya aku lebih selesa bercerita dengan diri aku sendiri menerusi penghasilan artikel-artikel seperti sebelum ini.

Apa yang ingin aku coretkan kali ini mengenai perkara yang aku rasa dapat membangkitkan semula semangat aku dan sesuatu yang sangat menggembirakan aku. Rasanya sudah lama aku tak merasa kegembiraan seperti ini. Sungguhpun mungkin aku hanya seperti syok sendiri, tapi siapa peduli? Kalau sebelum ini aku berkelana dan bersedih seorangan, tak salah kalau aku hendak menikmati kegembiraan ini berseorangan. Lagipun aku deserve untuk hidup gembira. Aku dah tak mahu sedih-sedih lagi. Dah tak larat untuk terus berada dalam keadaan duka ni. Aku perlu teruskan kehidupan aku, dan kehidupan di dunia ini terlalu singkat untuk aku kenangkan segala kesedihan. Tiada gunanya bersedih kerana dunia, kerana dunia ini hanya sementara.

Pada mulanya episod semalam (lebih tepat lagi 19/11/2008) bermula seperti biasa sahaja. Aku bangun pergi kerja seperti biasa, lewat 10 minit sebenarnya gerak dari rumah kerana aku keletihan kerana hari sebelumnya aku pulang lewat selepas bermain boling bersama rakan sepejabat. Sesampai di pejabat seperti biasa buka computer dan dengan tidak sangka-sangka teman lama aku hantar yahoo message, aku layan macam biasalah. Dia bertanyakan pasal pasangan aku, aku jawab seperti aku tiada masalah rumah tangga. Tapi aku tidak percaya dia tidak tahu masalah rumah tangga aku. Memang ada soalan-soalan seperti hendak menjerat aku, namun aku tidaklah bodoh untuk terperangkap dengan mainan kata-kata manusia sekeliling aku. Jadi kiranya dia gagallah untuk mengorek cerita daripada aku.

Aku pun mula membuat kerja sambil mendengar lagu menggunakan mp4 player aku sehingga aku tak dengar bos aku panggil. Bukanlah tidak professional, tetapi memang kalau aku sedang concentrate dengan kerja aku, aku tidak mahu diganggu. Personal thing pun aku tolak tepi kerana aku tidak mahu kerja aku silap. Handphone aku pun aku silent, YM dan Skype aku pun aku bubuh status do not disturb, meaning to say that, aku memang sedang dalam dunia aku sendiri ketika aku sibuk memberi tumpuan pada kerja aku. Memang dari dulu lagi sikap aku begini, dan aku perhatikan, bagi orang-orang yang berjawatan atau pegang tanggungjawab seperti tugas aku, sikapnya lebih kurang sama. Mestilah beb, prestasi syarikat bergantung pada laporan yang aku buat. Kalau aku salah buat pengiraan, boleh lingkup syarikat beb. Jadi aku memang kena free from error. Untuk mencapai tahap itu, aku kena kurangkan gangguan yang boleh menjejaskan tumpuan aku.

Petang ada mesyuarat, kena tegur dengan bos pasal aku pakai mp4 sampai tak dengar dia panggil. Dia kata tak salah kalau nak dengar, tapi pakai sebelah sahajalah earphone. Aku tak salahkan bos aku untuk tegur aku. Aku dah jelaskan kenapa aku perlu buat demikian, namun seperti prinsip aku ‘boss always right!’, jadi aku pun ikutlah nasihat dia. Hari ini aku tak pakai earphone, aku dengar lagu dari laptop aku aje. Aku bukanlah nak bodek bos, kalau ikut konsep jepun ‘yes boss’. Rata-rata orang bekerja ni memang suka amalkan sikap kipas mengipas. Pada aku, aku bukan kipas, aku tetap akan utarakan pendapat aku dulu, selepas itu barulah aku akur dengan kehendak bos aku. Dengan orang bawah aku pulak, aku lebih suka amalkan konsep bertukar pendapat. Keputusan yang akan aku buat bukan hanya berpandukan pendapat aku sahaja, tetapi aku akan ambil kira pendapat dan pandangan orang bawah aku juga. Itulah cara aku.

Oh ya, seperti biasalah, kalau aku membuat karangan, pengenalannya memang boleh melalut jauh. Itulah sebab masa time PMR kalau karangan perlu 180 patah perkataan dan SPM perlu 350 patah perkataan, aku rasa tak cukup. Pengenalan pada karangan aku sahaja boleh capai jumlah perkataan yang diperlukan, jadi fikirkanlah betapa panjang karangan yang boleh aku hasilkan. Syukurlah aku diberi kelebihan menulis dan berfikir dengan pantas, jadi biasanya aku dapat siapkan karangan dalam tempoh masa yang diberikan walaupun berjela-jela. Malah siap ada masa extra lagi. Ha ha, Alhamdulillah, itulah kelebihan yang Allah berikan pada aku.

Bermula dari perenggan ini baru aku hendak ceritakan apa yang menyebabkan aku rasa seronok sangat semalam. Memang pada mulanya agak hambar sedikit, namun diakhirnya sangat seronok. Mesyuarat semalam berlanjutan sehingga malam. Selepas selesai mesyuarat mingguan, bos aku suruh aku terlibat sama dalam mesyuarat seterusnya untuk membincangkan pasal satu projek baru syarikat kami. Memang dia sudah maklum dari awal, itulah pasal aku dah standby bawa baju persalinan. Memang aku boleh beri komitmen pada kerja aku to the extreme limit. Tapi kan, semalam memang ada bonus. Hu hu hu, kira berbaloilah aku buat kerja semalam, best sangat. Sampai ke pagi ni aku masih senyum lagi.

Apa yang berlaku semalam ialah aku dapat luangkan masa dengan orang yang aku minati. Memang sudah lama aku tak rasakan aku menyukai seseorang selepas pergolakkan dalam rumah tangga aku. Pada mulanya aku memang tidak tahu pun bahawa dia akan terlibat sama. Masa aku dapat tahu dia ada pun mulanya aku tak rasa apa-apa. Memanglah dari mula aku masuk kerja disini, aku sudah mula jatuh hati pada dia. Masa tu aku memang rasa, aduh, kenapalah aku perlu jatuh hati lagi? Sehingga aku rasakan, tolonglah, aku dah tak larat nak tempohi saat-saat ini lagi. Mungkin kerana aku terlalu kecewa dengan kegagalan rumah tangga aku, sehingga menyebabkan aku takut untuk menerima mana-mana orang baru dalam hidup aku. Namun aku harus sedari, siapalah aku? Aku tidak pernah minta untuk jatuh hati pada dia, tapi aku rasa bersyukur kerana Allah kurniakan aku dengan perasaan itu. Jadi oleh kerana yakinnya aku pada Allah, maka aku pun buatlah solat istikharah memohon petunjuk Allah. Aku lakukan selama lima malam berturut-turut. Dalam doa aku, bukan sahaja mohon petunjuk mengenai orang baru dalam hidup aku itu, tetapi juga pasangan aku. Pada ketika aku melakukan solat istikharah itu, aku rasa memanglah aku seperti lebihkan tumpuan terhadap orang baru itu, namun, hasilnya, setiap kali aku bermimpi, aku ternampak pasangan aku. Apabila setiap kali mimpi nampak pasangan aku, maka aku pun teruslah buat keputusan untuk tidak mahu memikirkan orang baru tersebut. Memanglah aku agak kecewa kerana hasil daripada mimpi aku, dia tidak muncul-muncul, namun aku kenalah yakin dengan pada petunjuk Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Adakalanya apa yang kita rasakan baik untuk kita sebenarnya tidak, begitulah sebaliknya. Jadi pada sesi mesyuarat semalam, pada mulanya aku duduk berhadapan dengan dialah. Bohonglah kalau aku katakan aku sudah tiada langsung perasaan terhadap dia, namun, aku perlu kawal perasaan aku.

Mulanya dia pun buat macam tiada apa je, so aku pun tak lah hairan sangat. Pada aku there’s nothing to lose. Tak lama lepas tu dia kena buat report dalam laptop. Mulanya aku biarkan sahaja dia buat, tak mahu tunjuk pandai whatsoever. Tak lama lepas tu dia hadapi masalah. Aku tak buat apa-apa lagi memandangkan ada dua orang lagi yang sedang bantu dia. Lepas tu dorang pun tak leh tolong, apa lagi, aku pun mulalah mengatur langkah memberi bantuan. Mujurlah pengetahuan dan pengalaman aku dalam aplikasi excel boleh tahan la banyak, jadi dapatlah aku tolong. Bukanlah hendak cakap besar, memang aku dulupun tak pandai guna excel, namun aku sangat suka dengan excel berbanding words ataupun power point. Paling aku lemah power point la, aku tak berapa mahir dengan aplikasi power point. Ok tutup cerita pasal tu, sambung pasal aku dengan si dia. Ha ha ha, sudah angau.

Bukan, aku cuma rasa seronok sangat dapat berpeluang bersama dia. Selama ni aku tak dapat sangat bersama dia, selain dari kursus bersama dan juga masa aku tumpang kereta dia pergi lunch tempoh hari. Itu sahajalah saat-saat aku dapat bercakap dengan dia. Waktu lain ketika bekerja, aku hanya mampu pandang dia dari jauh sahaja. Aku tak tahu apa yang aku nak bualkan dengan dia walaupun aku nak sangat berbual dengan dia. Try skype, dia balas so so jer, message pun begitu juga, so aku rasa macam sedikit hambarlah. Mungkin juga dia tidak selesa apabila dia dapat sense sesuatu daripada aku. Aku yakin, dia dapat rasakan perasaan aku terhadap dia, jadi dia pun agak kurang selesalah. Tapi semalam, sejurus aku membantu dia menyediakan report, terus aku duduk sebelah dia sehingga siap report yang pertama. Selesai report pertama, lepas print, sambung untuk sesi perbincangan kedua. Masa tu aku dah duk sebelah dia je, terus sama-sama buat report. Tak tahu aku nak gambarkan, betapa seronoknya. Rasanya masa tu macam kami berdua sahaja yang ada dalam dunia ni.

Walaupun dia mungkin tak rasa apa-apa, namun aku tetap rasa gembira. Sudah lama aku tak rasa gembira seperti itu. Mungkin saat itu hanya berlaku semalam sahaja, tetapi akan tetap aku kenang sebagai turning point terhadap hidup aku. Kalau hidup aku dulu dalam keadaan huru hara, sekarang aku perlu mulakan sesuatu yang baru. Apa yang pasti, aku seperti sudah menyukai tempat kerja baru aku ni. Bukan kerana adanya si dia, tetapi aku dapat rasakan erti bekerja. Memang cara bekerjanya bersesuaian dengan cara aku bekerja. Bukan kerana nama jawatan yang aku tanggung, tetapi tanggungjawab yang aku pikul. Memang inilah kerja yang aku looking for.

Walau apapun, aku tetap rasakan seronok sangat semalam. Balik kerumah dah pukul 11.15 malam, aku tak rasa letih sangat kerana hati aku sangat gumbira. Ha ha ha. Kalaulah setiap hari aku dapat bersama dia seperti itu, kan ke bagus, namun, tak boleh juga, nanti takut jemu. Perkara seperti itu tak boleh berlaku selalu. Bila terjadi sesekali tulah yang membuatkan moment tu best sangat. Notwithstanding dengan apa yang dia rasakan, aku tetap rasa seronok. Harapnya dia dapat merasakan getaran hati aku. Ha ha ha, kalau dia tak rasa pun tidak mengapalah. Yang penting hati aku gumbira. Sampai bila tu, tak tahulah. Aku sangat seronok.

Monday, November 17, 2008

Solat Istikharah

Solat sunat Istikharah merupakan antara cara kita meminta petunjuk daripada Allah S.W.T tentang kemusyikilan yang berlegar didalam kepala kita apabila tidak mendapat mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang melanda. Ramai yang beranggapan solat istikharah ini dilakukan apabila kita sukar membuat pilihan. Sebagai contoh, seandai kita terpaksa membuat satu pilihan daripada dua atau lebih yang ditawarkan, sudah pasti jalan yang terbaik ialah dengan bermohon petunjuk dari Allah S.W.T. Seperti kalau kita mendapat tawaran kerja dari dua syarikat yang berbeza, kedua-dua syarikat itu membuat tawaran yang sangat berat untuk di tolak. Jadi dalam hal ini, kita perlulah bijak membuat pilihan dan sekiranya kita buntu kita perlu serahkan diri 100% kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Nabi Muhammad S.A.W ada mengajar ummatnya mengenai solat sunat istikharah ini. Solat ini bukan sahaja boleh dibuat seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas, ia sememangnya boleh dilakukan bagi memohon petunjuk Allah sebelum kita membuat sesuatu keputusan dalam hidup kita. Solat sunat istikharah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi paling baik ialah di tengah malam kerana waktu itu kita berada dalam keadaan tenang dan sunyi. Walau bagaimanapun, kita perlu yakin dengan Allah terhadap apa yang kita pohonkan. Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Mendengar, maka sesungguhnya tidak kira masa pun, Allah tetap akan mendengar setiap permintaan kita. Yang paling penting kita perlu yakin pada kuasa Allah S.W.T.

Ada seorang bekas pegawai aku dahulu pernah menasihati aku, sekiranya aku menaruh hati pada seseorang yang aku baru jumpa, cepat-cepatlah buat solat istikharah minta petunjuk Allah. Ketika sesi kursus pra-perkahwinan dahulu pun ada seorang penceramah ada bertanya sama ada setiap peserta ada menunaikan solat istikharah sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Aku tidak ingatlah sama ada aku ada buat atau tidak solat istikharah, tetapi rasa-rasanya macam tak buatlah sebelum aku berkahwin.

Bukanlah aku nak jadikan ianya sebagai satu alasan terhadap masalah yang melanda perkahwinan aku, tetapi, mungkin masa aku mabuk bercinta, aku lupa akan siapakah diri aku. Aku terus sahaja ambil keputusan untuk berkahwin memandangkan tiada halangan dari kedua-dua buah keluarga, lagipun masa itu masing-masing sudah suka sama suka dan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga, jadi langsung tidak minta petunjuk Allah. Bukanlah nak salahkan siapa, cuma, itulah akibatnya. Tapi segalanya adalah ketentuan, terima sahajalah.

Aku memang sering lakukan solat istikharah selepas apa yang melanda aku selama ini. Memang sikap manusialah, masa senang tak berdoa, bila dah tersepit barulah beriya nak berdoa. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Walau masa kita senang kita lupakanNya, namun apabila kita memerlukan bantuan Allah, nescaya Allah akan tolong pada hamba yang meminta padaNya, asalkan kita jangan mensyirikkan Allah sudahlah.

Apa yang menjadi kemusyikilan dalam kepala aku ialah, kenapa aku ternampak wajah pasangan aku selepas aku lakukan solat istikharah? Kenapa bukan wajah si dia yang setiap hari ada didepan mata aku? Aku memanglah rasa geram tengok dia, tapi dalam masa yang sama aku masih sayang pada pasangan aku. Memang ada sesetengah pendapat memberi tahu, mungkin juga kerana aku terlalu sukar melupakan pasangan aku yang mempengaruhi mimpi aku. Sedangkan ketika aku lakukan solat istikharah tersebut, aku lebih tekankan ingatan aku pada si dia. Ada juga sesetengah pendapat menceritakan, kalaupun mimpi yang kita dapat itu menunjukkan sesuatu, tetapi kita dalam keadaan yang tidak suka, beerti itu juga menunjukkan bahawa itu satu petunjuk yang itu bukanlah pilihan yang terbaik buat kita. Macam masa aku mimpi nampak pasangan aku, perasaan aku bercampur baur. Aku memang rasa tak seronok kerana aku harapkan aku nampak wajah si dia, tetapi apabila muka yang terpacul muka pasangan aku, aku tak tahu nak kata, suka ataupun tidak. Memang kalau boleh biarlah aku kekal ke akhir hayat bersama pasangan aku, tetapi kalau dia yang sudah tak mahu, kenapa harus aku nak pertahankan lagi rumah tangga aku?

Apa yang aku harapkan, biarlah aku dapat petunujuk dalam mimpi aku bahawa yang terbaik itu adalah si dia. Pasti aku akan senyum panjang esok paginya, namun, aku perlu berserah pada Allah S.W.T. untuk tentukan segalanya. Mungkin aku terlalu harapkan dia sebagai pengganti memandangkan aku sudah jatuh hati pada dia. Itu yang aku geram tu, bukan geram pasal apa, geram kenapa aku suka kat dia. Aduh, tolonglah, aku tak mahu dan aku malas untuk ada perasaan pada sesiapa dalam masa terdekat ni. Tolonglah.

Aku tak boleh nak tipu diri sendiri, memang aku cuba buat macam tiada apa-apa, tetapi dalam hati aku, aku mula tertarik pada dia macam air teh tarik yang selalu aku minum. Tapi terkadang aku teringat sangat pada pasangan aku. Semalam entah kenapa semasa makan malam, tetiba saje aku teringat kat pasangan aku sangat-sangat dan waktu itu jugalah air mata aku berguguran. Bukan teringat pasal apa, aku terlampau sedih kerana buat dia kecewa. Memang aku akan terus menyalahkan diri aku kerana tak dapat bahagiakan orang yang aku sayang.

Sekarang ini aku macam rasa uncertain. Tak firm langsung. Kenapa ek? Entahlah, buntu dan sangat buntu kepala aku ni. Serabut. Aku tak mahu sampai kerja aku terjejas lagi kerana masalah peribadi aku. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini. Tadi ada meeting dengan big boss, memang dia letakkan harapan yang tinggi pada semua staff. Jadi aku antara orang kanan syarikat, perlu banyak mainkan peranan. Memang aku tahu konsep yang ingin diterapkan oleh big boss tu bagus, dia minta agar kami ni bergerak as a team dan treat macam adik beradik. Memang itulah konsep yang sangat bersesuaian dengan cara aku, namun, aku tak tahu macam mana aku nak overcome atau sesuaikan diri bersama si dia. Aku memang tak pandai cover line pada orang yang aku suka, memang depan orang lain, aku leh cover line, tapi dengan dia, aku tak dapat nak cover line langsung. Macam hari tu, masa aku tumpang kereta dia, memang kami tersesat, bukan aku yang pandu kereta, tapi dia. Bila bebudak office ni tanya kemana kami pergi, aku cover la untuk dia katakan aku withdraw duit, wal hal aku memang tak tahu jalan. Bukan tipu pasal nak cover tak tahu jalan, cuma nak elak dari orang pandang serong pada si dia. Aku kena jaga maruah dia juga. Tak mahulah orang fitnah dia macam-macam. Itulah sebab aku cuba elakkan dari bertegur sapa dengan dia.

Memang kalau boleh aku nak sangat bercakap dengan dia, tapi macam ada sesuatu yang menghalang. Boleh bercakap pun pasal kerja sahaja, itupun tak selalu. Kalau tak ada kerja, memang tak ada peluanglah nak cakap dengan dia. Dia pun sama jugak, macam ada batu halangan nak bercakap dengan aku. Takkan lah hari-hari nak aku yang tegur dulu. Kalau aku tak tegur tu bukan beerti aku tak suka pada dia ke apa, cuma tinggal lagi seganlah. Bukan ego, memang big boss ada bagitahu tadi, setiap orang ada ego, namun, aku bukan ego tak mahu tegur dia, aku tak tahu apa yang nak dibualkan walaupun hati aku memberontak untuk bercakap dengan dia. Aduh, aduh, aduh, pedih, pedih, pedih. Kenapa dengan orang lain aku boleh buat selamber, kenapa dengan orang lain dia boleh buat selamber? Apakah punca yang menyebabkan aku dan dia tak boleh bercakap sebagainya? Bukan beerti bermusuh, tetapi macam ada halangan sahaja yang menyebabkan kami tak bertegur sapa. Nak menambah kerumitan, masing-masing tak mahu ambil kisah pun. Kat sini memang masing-masing ego. Patutnya dah jumpa hari-hari kat pejabat, atleast bertegur sapa lah, ni tidak, masing-masing buat bodo jer. Dia lalu sebelah aku ke, aku lalu sebelah dia ke, masing-masing buat tak tahu. Yang pasti masing-masing macam tak kisah kalau tak bertegur, mungkin dia memang tak kisah, tapi aku kisah, cuma tinggal lagi, aku malas nak ambil kisah.

Aku perlu selalu berdoa memohon petunjuk pada Allah. Ini kerana kalau kita hendak lakukan solat istikharah, memang kita perlu betul-betul free kan mind kita. Apabila kita benar-benar tenang, barulah kita boleh dapat tunaikan ibadah dengan penuh khusuk dan ketika itulah petunjuk yang akan kita perolehi yang boleh menentukan pilihan yang perlu kita buat. Buat masa sekarang ini, aku kena perlahan-lahan pulihkan semangat aku dan bina kembali hidup aku. Mungkin sekarang ini aku hanya lihat si dia sahaja dan tiada pilihan lain selain dia. Mungkin lepas ni kalau aku dah bergerak banyak tempat, mungkin aku akan ketemu dengan orang yang lebih baik, siapa tahu? Apa yang pasti, memang aku ada hati pada dia dan disebabkan perasaan tersebut, ianya menghalang aku untuk act seperti biasa dengan si dia. Biarlah dahulu. Mungkin nanti aku akan berpeluang untuk cakap dengan dia. Kalau ikutkan, nak aje aku slow talk dengan dia, tapi tak boleh terburu-buru. Aku masih ada ikatan dengan pasangan aku dan aku masih sayangkan pasangan aku. Oleh yang demikian, memang tiada tempat lain lagi yang boleh aku minta tolong selain kehadrat Allah S.W.T. Jadi aku kena perbanyakkan dan menggandakan ibadah aku pada Allah. Selain menunaikan fardhu yang wajib, aku kena perbanyakkan mengaji dan juga lakukan solat sunat tengah malam. Aku dah tinggal seorang sekarang ini, jadi memang tiada masalahlah untuk buat itu semua. Tiada gangguan, jadi bolehlah aku tumpukan perhatian aku untuk perbanyakkan ibadah aku pada Allah. InsyaAllah.

Wednesday, November 12, 2008

Cerai Berai

Aku sepatutnya gunakan tajuk Abby vs Norman Hakim, namun, adalah tidak berapa elok untuk menceritakan aib orang lain sungguhpun kisahnya 'drama' realiti mereka sudah diketahui ramai seperti kisah realiti televisyen sekarang ini. Apa yang aku ingin coretkan kali ini memang sudah lama terbuku dalam hatiku. Cuma aku perlukan lebih kekuatan mental untuk mencoretkan kisah yang seperti makin hampir terjadi dalam hidup aku.

Memula aku rasa sedih gak la dengan episod hitam yang berlaku dalam hidup aku, tetapi apabila aku melihatkan dewasa ini memang banyak sangat pasangan yang gagal dalam perkahwinan mereka, barulah aku dapat terima hakikat seandainya aku juga mengalami nasib yang serupa. Mujurlah aku bukan selebriti, kalau tidak, sudah pasti kisah aku akan terpampang didada akhbar dan juga dalam televisyen dan sebagainya.

Apa yang ingin aku luahkan ialah rasa tidak puas hati terhadap keadaan yang menimpa Abby dan Norman. Apa la bangangnya punya wartawan yang sengaja mensensasikan kisah rumah tangga kedua-dua selebriti yang popular dengan drama bercorak kepolisian itu.

Aku pelik, kenapa la orang-orang sebangsa aku ini suka sangat dengan cerita-cerita bercorak seperti itu. Memang tak boleh salahkan wartawan 100% kerana mereka pasti akan mencari berita sensasi untuk melariskan jualan akhbar atau majalah diaorang dan seterusnya menambah pendapatan mereka. Memang Allah telah beri kelebihan kepada wartawan untuk membuat penulisan yang baik, tetapi janganlah digunakan ke arah yang boleh memalukan dan menjatuhkan maruah orang lain.

Pasal Abby dan Norman, bukan aku mahupun sesiapa yang layak untuk tentukan siapa yang salah, siapa yang betul. Pada aku dua-dua pihak ada salah dan silap dan juga ada betulnya. Mereka juga manusia biasa. Dalam konteks ini memang pada pendapat akulah, mesti ramai pihak yang akan salahkan Norman. Memanglah salah Norman kerana ada skandal dengan perempuan lain sehingga ditangkap khalwat. Memang Norman tu lelaki sejatilah, bukan aku hendak menyokong terhadap kesalahan yang dia buat, cuma, itulah lelaki. Normallah bagi seorang lelaki untuk jatuh hati pada perempuan lain walaupun sudah berumah tangga. Ditambah pula sekiranya pasangan yang dikahwini tidak dapat memberi layanan seperti yang diharapkan.

Aku bukanlah hendak menyalahkan pihak Abby ataupun pihak perempuan. Dalam soal ini, kalau dikaji betul-betul, pasti kita akan sedari bahawa kedua-duanya bertanggungjawab ke atas kemelut yang melanda dalam rumah tangga mereka. Kalau hendak diikutkan, kehidupan sekarang ini, mungkin ramai lagi yang mengalami nasib yang serupa atau lebih teruk lagi, cuma tinggal lagi sudah nasib Abby dan Norman, mereka dikenali ramai, maka sebab itulah kisah mereka jadi bualan ramai. Kalau diikutkan dulu orang boleh katakan, artis kahwin artis pasti tidak kekal lama. Kalau aku hendak beri contoh memang terlalu banyak. Tetapi percaya atau tidak, sebenarnya apa yang terjadi dalam dunia artis itu sebenarnya terjadi dalam kehidupan yang nyata dewasa ini.

Kenapa perihal seperti ini terjadi? Kenapakah susah sangat institusi perkahwinan hendak dipertahankan? Apakah institusi perkahwinan sekarang sudah tidak relevan lagi? Terlalu banyak sangat kisah-kisah perceraian yang terjadi sekarang ini. Kes-kes keruntuhan moral juga makin berleluasa sekarang ini. Kalau dahulu kita boleh rasa pelik tengok couple berdua-duaan disana sini, sekarang ini, fenomena seperti itu bukan satu benda yang asing lagi. Budak sekolah pun sudah berani pergi sekolah berduaan naik motorsikal bersama. Lebih memalukan mereka tanpa segan silu menunjukkan aksi seperti couple yang sudah berkahwin dalam berpakaian sekolah. MasyaAllah, apalah yang sudah terjadi pada masyarakat aku sekarang ini?

Aku kadang-kadang tidak tahu hendak berkata apa, setiap hari bila baca surat khabar, pasti kisah-kisah perceraian, sumbang mahram dan perkara-perkara yang pelik sentiasa mengisi ruangan dalam akhbar terbabit. Kenapa? Kenapa? Kenapa?.... Kenapa sekarang ini teruk sangat? Kenapa orang dulu-dulu boleh hidup bahagia dan boleh mempertahankan rumah tangga mereka sehingga mereka di hantar ke liang lahat? Kenapa orang zaman sekarang ini, baru bernikah kurang satu tahun pun sudah ramai yang berpisah? Apakah tiada nilai perkahwinan itu? Bukankah Nabi telah anjurkan pentingnya institusi perkahwinan, sehinggakan Nabi tidak akan mengaku umat bagi umatnya yang tidak mahu menjurus kearah perkahwinan?

Pada pendapat akulah, kejadian-kejadian seperti ini menunjukkan bahawa orang-orang sekarang ini ramai yang sudah jahil, tidak memahami apa itu Islam yang sebenarnya. Seperti orang tiada agama bila membuat sesuatu. Semakin maju sesebuah negara itu, semakin jahillah penduduknya. Ini adalah disebabkan kita telah disogokkan dengan keseronokan kehidupan dunia yang sementara ini.

Aku memang agak takut dalam keadaan sekarang yang bukan sahaja tidak terkawal, malah lebih teruk dan sudah semakin parah sekarang ini. Kenapa ya? Kenapalah teruk sangat keadaan dunia sekarang ini. Memang betul dunia sudah tua dan mungkin tidak lama lagi akan kiamatlah dunia ini. Seperti yang telah dinyatakan dalam AlQuran, di akhir zaman ini, pasti berlaku perkara-perkara yang pelik-pelik dan apa yang berlaku pada umat zaman dahulu akan berlaku di akhir zaman. Buktinya, hubungan sejenis, sudah berleluasa juga masalah hubungan sejenis sekarang ini.

Siapakah yang boleh perbetulkan keadaan yang semakin teruk sekarang ini? Ustaz? Ustazah? Ulama? Mufti? Perdana Menteri? Guru? Ibu Bapa? Bangla jual kain? Jawapannya, semua orang perlu kembali kepada ajaran yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Seperti sabda baginda, 'Aku tinggalkan kepada umatku dua perkara (Al-Quran dan Hadis), barang siapa yang berpegang kepada keduanya, nescaya tidak akan sesat selamanya. Masalahnya sekarang, berapa ramaikah yang masih berpegang pada ajaran Al-Quran dan hadis? Memang boleh dikatakan disetiap rumah orang muslim pasti ada sekurang-kurangnya senaskah Al-Quran, namun, apakah Al-Quran itu hanya sekadar bahan hiasan? Wallahualam. Paling aku rasa sangat tidak puas hati, kenapalah undang-undang syariah berbeza mengikut negeri? Kenapa undang-undang sivil boleh diselaraskan dan kenapa undang-undang syariah berbeza? Adakah Quran untuk setiap negeri berbeza? Pelik tetapi benar. Hukum yang sudah nyata pun boleh berbeza untuk setiap negeri. Yang buat lagi kelakar tu, kalaupun ada seorang pegawai syariah itu didatangi oleh orang yang hanya duduk diluar sedikit dari kawasan untuk membuat sebarang aduan, pegawai tersebut tidak mahu ambil aduan tersebut. Bangang, memang bangang.

Itulah sebabnya masalah moral semakin menjadi-jadi sekarang ini. Masalah cerai berai merupakan masalah yang boleh menjejaskan pembangunan sesebuah negara. Pepatah melayu juga menjelaskan, bersatu teguh bercerai roboh. Tetapi pepatah hanya tinggal pepatah, orang-orang sekarang tidak mengendahkan perkara itu semua. Sebabnya, mereka terlalu jahil untuk memahami apa itu Islam sebenarnya. Memang bagi orang yang dilahirkan sebagai islam, menjadi islam hanya disebabkan dilahirkan dari keluarga islam. Kalau dilahirkan tanpa agama ataupun agama lain, sudah pasti tidak ramai orang islam sekarang ini. Islam hanya pada nama sahaja.

Aku ingin berkongsi sedikit pengalaman aku ketika menghadiri sessi kaunseling untuk selamatkan rumah tangga aku. Teruk aku di kutuk dan dihina oleh pasanganku dan juga kaunselor yang pada aku langsung tidak layak jadi kauselor, lebih mudah kata, 'bias'. Kalaulah semua kaunselor rumah tangga macam dia, sudah pasti banyak pasangan yang akan bercerai berai punya. Aku yang beriya nak selamatkan rumah tangga aku, pasangan aku memang bersungguh nak musnahkan, bolehlah pulak si kaunselor bangang tu dok sokong tindakan pasangan aku tu. Masa tu aku rasa macam dosa aku besar sangat dan aku ni teruk sangat sebagai manusia. Alasan dan pembelaan aku langsung tidak diendahkan. Alasannya pasangan aku dah memang tidak mahu hidup bersama aku, untuk apa aku mahu pertahankan lagi rumah tangga aku? Amboi, sesedap hati je cakap gitukan. Abis, aku ni tak ada perasaan ke? Kenapa hak aku langsung tidak diendahkan? Tak apalah, aku berada ditempat orang masa tu, memanglah aku boleh dihenyak. Cuba datang tempat aku, kalau beranilah. Masa nak kahwin dulu dia yang beriya nak cepat sangat, bila timbul masalah nak bercerai cepat-cepat. Apa gunanya perkahwinan kalau begitu? Tak ada sefahaman la, entah apa-apalah, kalau usia perkahwinan tak sampai setahun, nak sefahaman macam mana? Tak matang lagi? Nak tunggu umur berapa baru dikira matang?

Tapi, aku sudah sedari, tiada gunanya mengharap pada yang tak sudi. Pokok pangkalnya adalah hati. Kalau hati dah tak suka, buat baik macam mana sekalipun tidak dihargai. Tapi tidak mengapalah, aku sudah tidak mahu salahkan sesiapa mahupun diri aku sendiri. Syukur aku dapat hadapi perkara ini dan syukurlah dalam keadaan sebegini menyedarkan aku betapa kecilnya manusia disisi Allah. Memang aku sudah rancang, sekiranya, seandainya aku akan bertemu jodoh dengan orang lain, aku akan minta dia selidik diri aku dahulu dan aku akan suruh dia buat rujukan pada pasangan aku kerana dia sudah pasti tahu bagaimana aku dan dialah tempat rujukan yang paling sesuai. Terpulanglah kepada dia sama ada hendak terus memburuk dan menyalahkan aku kerana kegagalan perkahwinan kami, dan terpulanglah kepada bakal pasangan aku itu sama ada hendak terima aku seadanya mahupun tidak. Apa yang pasti setiap orang deserve untuk another chance. Gagal sekali bukan beerti gagal untuk selamanya.

Apa yang aku ingin rangkumkan sekarang ini adalah, kita sebagai hamba haruslah sentiasa tunduk kepada Allah S.W.T. Setiap manusia pasti akan diuji dan ujian itu dalam dua bentuk, sama ada kesenangan ataupun kesusahan. Percayalah pada Qada' dan Qadar Allah. Segalanya adalah ketentuan. Berpeganglah pada ajaran agama yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W, sudah pasti kita akan hidup bahagia dunia akhirat. Janganlah kita lupa, kehidupan dunia ini hanya sementara. Dunia penuh dengan kepura-puraan. Memang orang yang menipu boleh hidup senang, tetapi sampai bila dia boleh senang dengan hidup menipu? Kehidupan akhirat yang kekal abadi. Dunia ini hanya jambatan menuju ke akhriart. Kumpullah segala amalan sebanyak mungkin kerana kita tidak akan tahu bilakah maut akan menjemput kita. Setiap yang hidup pasti akan mati dan kematian itu tidak akan cepat mahupun lambat walaupun sesaat. Namun begitu, kita perlu tahu, Qada dan Qadar boleh berubah dengan doa. Doa juga merupakan suatu ibadah. Maka banyakkanlah berdoa kepada Allah kerana sesungguhnya Allah memang sukakan hamba-hambaNya yang sering meminta padaNya. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, pasti Allah akan kabulkan permintaan kita jika ianya terbaik untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Adakalanya apa yang kita sukakan itu bukanlah yang terbaik untuk kita dan adakalanya apa yang kita tidak suka itulah yang terbaik untuk kita. Maka sama-samalah kita banyakkan mengingati Allah dan berdoa kepadanya. Mintalah apa sahaja yang baik-baik dan yakinlah dengan apa yang kita pinta. Jangan sesekali berburuk sangka pada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih. Memang sebagai manusia kita tidak sabar. Harapannya apa yang kita minta akan segera tercapai. Ada seorang ustaz beri tahu aku, kalau kita minta bunga, Allah bagi kaktus dan kalau kita minta kain, Allah bagi kita ulat beluncas. Nampak macam pelik bukan? Tetapi itulah indahnya dan betapa berkuasanya Allah. Pokok kaktus itu akan berbunga dan ulat tersebut akan mengeluarkan benang yang akan menjadi kain. Moralnya disini, setiap apa yang kita minta akan kita dapat, cuma masa sahaja yang akan menentukan. Sabar.

Memang senang lafazkan perkataan sabar berbanding melakukannya. Dalam doa kita, kita mungkin memohon untuk dijadikan orang yang sabar. Jadi bagaimana kita hedak mengukur tahap kesabaran kita? Ujian dan dugaan. Itulah yang mengukur tahap kesabaran kita. Sekiranya kita berjaya tempohi dugaan dan ujian Allah, maka kita telah dapat nikmat kesabaran yang Allah kurniakan. Allah tidak akan menguji seseorang hamba itu jika ujian itu tidak sesuai baginya. Jadi sekiranya kita ditimpa musibah atau diuji, ianya membuktikan kita layak menerima dugaan tersebut. Allah Maha Mengetahui. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.

Akhir kata, berserah pada Allah dan sentiasalah berdoa. Insaflah selagi masih bernyawa dan masih berkesempatan. Janganlah biarkan hati terus dibelenggu dosa dan seterusnya mati. Aku hendak akhiri artikel ini dengan satu pantun yang aku dapat dalam satu blog lain, pantunnya berbunyi;

Bekunya airmata dari kerasnya hati,
Kerasnya hati dari banyaknya dosa,
Banyaknya dosa dari lupanya mati,
Lupanya mati kerana cintakan dunia.

Moral: Ingatlah kepada mati kerana setiap yang hidup pasti akan mati, wallahualam.

Tuesday, November 11, 2008

Snippets

Salam sejahtera.

Bagi penggemar blog Tun Dr. Mahathir, sudah pasti tajuk seperti di atas sudah biasa disiarkan dalam blog Tun Dr. M. Aku meniru? Apa salahnya meniru daripada idola aku selama ini. Lagipun aku meniru daripada orang yang benar-benar bijak pandai dan sudah terbukti tahap kepimpinannya.

Pasti ramai yang tertanya bagaimanakah pada usia yang seperti Tun Dr. M masih boleh menghasilkan artikel-artikel untuk bacaan umum? Kalau hendak diikutkan memang banyak blog yang terhasil dewasa ini. Ada yang berunsur nasihat, ada yang berunsur dakwah dan tidak kurang juga dengan unsur hasutan dan ancaman. Jadi terpulanglah kepada kita sama ada hendak melawat blog yang mana. Tidak salah untuk melayari semua jenis blog seperti yang dinyatakan, apa yang penting kita perlu ambil pengajaran dan iktibar dari setiap bahan baca.

Bagaimanakah menghasilkan satu karangan atau artikel yang berkualiti dan menarik minat pembaca? Sudah pasti kita perlukan ilmu yang mencukupi. Bagaimana hendak mendapat ilmu yang mencukupi? Kita perlulah banyak membaca dan membuat kajian. Selain daripada itu, pengalaman yang dilalui penulis juga boleh menentukan kualiti sesuatu artikel yang dihasilkan. Bukan mudah untuk membuat sesuatu artikel yang berkualiti. Idea dan kreativiti perlu digarap bersama dalam penghasilan sesuatu yang terbaik. Banyak idea juga belum menjamin kualiti terhadap penulisan yang ingin diolahkan.

Penulisan blog atau artikel ini juga mempunyai beberapa sebab. Ada penulis yang ingin berkongsi pengetahuan, ada penulis yang ingin menarik perhatian orang ramai dan tidak kurang juga dengan penulis yang inginkan publisiti murahan. Semuanya bergantung kepada niat ataupun nawaitu penulis tersebut. Bagi aku, apa sahaja yang aku coretkan di atas blog ini hanyalah sekadar luahan perasaan aku. Menyedari laman blog aku ini bukan untuk tatapan umum seperti laman blog Tun Mahathir, maka aku tidak ambil pusing tentang kualiti penulisan yang aku terjemahkan.

Bagi aku, semenjak aku mula mengamalkan membuat luahan melalui tulisan seperti ini, sekurang-kurangnya aku merasa agak tenang tatkala aku dilanda masalah. Kalau sebelum-sebelum ini aku mempraktikkan dengan berkongsi cerita dengan teman rapat, namun, sekarang ini, aku rasa lebih baiklah teman luahan aku ini berbentuk maya dan bukan realiti. Kenapa? Sebabnya kerana terlalu percayakan orang lainlah menyebabkan aku sering dipermainkan. Memang aku mudah percayakan orang lain sebelum ini, namun, pengalaman yang aku tempohi mengajar aku untuk lebih berhati-hati. Mana tidaknya, bila sehingga ke tahap pasangan sendiri telah mengkhianati aku, manakan mungkin aku dapat mempercayai orang lain lagi? Betapa kecewanya aku apabila dipermainkan oleh orang yang aku sayang selama ini.

Kehidupan ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Terkadang kita tidak terduga dengan dugaan yang melanda. Memang pada awalnya ketika menghadapi masalah, kehidupan aku agak tidak terurus. Mujurlah aku dapat kumpulkan semangat aku semula setelah melalui episod duka dalam hidup aku. Ibarat pepatah inggeris 'It easy said than done'. Ramai jugak la yang beri nasihat pada aku untuk kuatkan semangat. Ahli keluarga, kawan-kawan dan juga bos aku. Namun ketika aku disaat genting, semua nasihat yang aku terima tidak dapat aku aplikasikan. Terlalu berat dugaan yang melanda padaku sejajar dengan lemahnya seorang hamba Allah, namun siapakah kita untuk mempertikaikan qada' dan qadar yang telah Allah tentukan? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, maka pasti Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Sepanjang tempoh aku untuk mengembalikan semangat, aku banyak buat research dan banyak membaca artikel-artikel berbentuk nasihat dan motivasi. Memang kalau kita fikirkan masalah, kita hanya rasakan teruk sangat masalah yang melanda diri, sedangkan kalau kita bandingkan dengan masalah orang lain, masalah aku kecil sebenarnya. Lumrah kehidupan, siapa yang tidak pernah diduga? Semuanya Allah dah tentukan. Mana mungkin semua orang akan dapat dugaan yang sama dalam kehidupan ini. Jadi sebagai orang islam, kita harus yakin dan percaya dengan rukun iman yang ke-6 iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar.

Antara nasihat yang paling bagus untuk diikuti ialah, janganlah kita menyalahkan orang lain apabila masalah melanda. Maafkanlah segala kesalahan orang lain, itulah yang lebih baik daripada menyimpan dendam. Apabila kita berdendam, ianya akan membakar diri sendiri. Jadi untuk apa terus berdendam? Yang penting kita perlu lebih berhati-hati di masa akan datang. Kata-kata hikmah dari Tan Sri KSN, 'It's not wrong to make a mistake but you are stupid if you make the same mistake twice'. Ada lagi quotation yang bagus untuk diamalkan 'learn from mistake'. Bukan beerti kita perlu buat kesilapan, namun sebagai manusia yang lemah, adakah kita berdaya untuk mengelak dari melakukan kesilapan atau kesalahan? Memang kita telah dikurniakan akal fikiran, namun, kita harus ingat, kita ini manusia dan manusia tidak akan lari dari melakukan kesilapan.

Aku bukanlah menyokong pada orang yang salah or whatsoever, cuma setiap orang deserve another chance to improve his/her life. Masalah yang kita hadapi sekarang ini ialah, sebagai manusia, kita lak yang lebih-lebih nak hukum kesalahan orang lain. Kalau kita ni dijadikan sempurna, tidak mengapalah, ini tidak, kita pun banyak buat salah, cuma bezanya sama ada kita sedar atau pun tidak. Sedangkan Allah ampunkan dosa hambaNya yang bertaubat dan sedangkan Nabi ampunkan ummat, mengapa kita sesama manusia sukar sangat nak maafkan orang lain? Entahlah, berbalik pada Qada' dan Qadar, segalanya ketentuan.

Aku sebenarnya membuat coretan hari ini tanpa sebarang matlamat khusus. Apa yang terhasil dalam penulisan aku ini hari ini berdasarkan apa yang terlintas dalam kepala aku. Pada dasarnya aku nak buat satu komen mengenai Abby vs Norman Hakim saga, tetapi entah kenapa aku terhasil artikel yang ini pulak. Memang aku akan coretkan sesuatu pasal Abby dan Norman Hakim, tetapi bukanlah untuk mengutuk mereka ataupun apa-apa. Tunggulah.

Walau apa pun, aku ingin mengembalikan skil menulis aku sebenarnya. Dari zaman sekolah lagi, kalau bab menulis karangan, bagilah pada aku, walau apa juga tajuk yang diberikan, aku akan pastikan aku menghasilkan karangan yang terbaik. Bukanlah nak berbangga atau riak atau sebagainya, ini hanya sebagai pembakar semangat aku aje, dari zaman PMR dan SPM, kalau ada bengkel mengenai penulisan esei, sudah pasti esei aku akan menjadi contoh kepada peserta atau pelajar lain. Mungkin daya imaginasi aku masa itu sangat baik, namun sekarang ni oleh disebabkan pelbagai faktor negatif yang sering melanda hidup, sedikit sebanyak idea dan cara olahan aku terkencat sedikit. Aku sendiri kadang-kadang rasa tak puas hati dengan artikel yang aku buat. Namun siapa peduli, aku buat semua ini hanya sekadar meluahkan isi hatiku sahaja dan bukan mengharap komen daripada orang lain. Itulah sebab aku tidak war-warkan pada orang lain alamat blog aku kecuali kepada orang-orang yang aku rasa boleh memahami sahaja. Infact, my partner pun tidak mengetahui mengenai blog ni.

Akhir kata, bolehlah aku simpulkan disini, bukanlah mudah untuk menghasilkan satu artikel atau karangan yang berkualiti. Memang aku pernah simpan hajat untuk terbitkan sebuah novel, paling tidak pun cerpen, namun aku belum cukup ilmu untuk hasilkan sebuah cerpen ataupun novel. Kalau setakat artikel, mungkin bolehlah kot. Tapi kebanyakkan aritel yang aku hasilkan adalah berdasarkan pengalaman aku sahaja. InsyaAllah, kalau ada kelapangan, aku akan mula menulis cerpen ataupun novel yang aku nak buat. Idea dah ada, cuma masih perlukan skil penulisan yang lebih baik bagi memudahkan pengkelasan bab-bab dalam novel. Aku perlu banyak membaca novel lagi baru boleh memulakan penulisan novel aku sendiri.

Kisah Abby vs Norman Hakim akan menyusul nanti, insyaAllah.

Friday, November 7, 2008

New Life

Sudah hampir 4 bulan rasanya aku tidak mencoretkan sesuatu melalui blog ini. Sungguhpun aku menyedari blog aku ini bukan merupakan blog yang dilawati orang, namun aku tetap merasa puas hati dengan apa yang ingin aku coretkan. Sekurang-kurangnya aku dapat meluahkan segala kegusaran hati aku selama ini.

Aku terhenti seketika dalam menghasilkan atau membuat luahan hati kerana pada ketika itu aku memang melalui fasa atau saat-saat kehidupan yang sangat mencabar. Sehingga pada satu ketika aku seperti sudah berputus asa dengan kehidupan aku. Masalah yang aku hadapi telah menjejaskan cara hidup aku dan seterusnya mengakibatkan aku tidak berdaya untuk memberikan komitmen terhadap kerja aku. Sungguhpun rakan sekerja mengetahui dan 'memahami' masalah yang aku hadapi, namun, tiada siapa yang dapat benar-benar rasakan betapa aku menanggung derita dengan perbuatan zalim dan kejam daripada orang yang berdendam dengan aku. Tidak cukup dengan musuh aku yang berjaya menghancurkan dan menyekat punca rezeki aku, pasangan aku juga bertindak lebih drastik dengan menjadikan aku musuh utama beliau dan keluarganya. Apakan daya aku mengahadapi dugaan yang berat dalam satu masa?

Sudahlah kerjaya aku musnah, rumah tangga aku turut berantakan. Bagaimana aku dapat terus hadapi segala dugaan ini? Aku harus akui, kesilapan aku kerana sering mengalah sehingga menyebabkan aku terus dipijak dan ditindas. Pada aku, lebih baik aku mengalah asalkan masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sangkaan aku ternyata meleset, ternyata orang lain telah ambil kesempatan dengan sikap aku yang suka mengalah ini. Aku bukan sahaja dipijak malah terus dipandang hina. Orang-orang yang menganiaya aku terus hidup senang gembira sambil mendakwa mereka yang teraniaya. Ini seperti kes yang menganiaya mendakwa teraniaya dan yang teraniaya dituduh menganiaya. Kejam dan zalim bukan?

Disebabkan masalah yang melanda, berat badanku susut 8 kilogram. Aku tidak menyambut hari raya kerana terlalu sedih. Prestasi kerja ku semakin teruk, setiap tugas yang diberikan, aku gagal laksanakan dengan baik. Sepatutnya dengan pengalaman dan pengetahuan yang aku ada, aku boleh hasilkan kerja yang lebih baik. Namun aku terus membiarkan diriku dibelenggu dengan masalah peribadiku. Tujuan aku ialah untuk menyelamatkan rumah tangga yang baru aku bina, namun, hanya aku yang beriya menyelamatkan sedangkan pasanganku yang bertegas untuk memusnahkan. Betapa nipisnya nilai kasih sayangnya terhadap ku. Sungguh aku harus akui, memang aku tidak pernah rasai kasih sayang dari pasanganku semenjak aku mengenali beliau, namun aku teramat menyayanginya sehingga aku sanggup memaafkan dirinya seandai beliau ingin kembali bersamaku. Sudah 5 bulan aku ditinggalkan keseorangan.

Ternyata aku diperbodohkan oleh sikapku sendiri yang sentiasa berharap agar pasangan ku akan berbaik dengan ku semula. Segala usaha aku selama ini ternyata sia-sia. Tidak mengapalah, beliau mungkin bangga dan megah dapat membuat aku menderita dan terseksa. Hebat, beliau merupakan seorang insan yang sangat hebat kerana merasakan dirinya sempurna dan tidak pernah lakukan kesilapan. Padanya segala kesalahan berpunca dari aku. Selama ini aku sanggup mengalah dan mengakui segala tuduhan beliau demi menjaga kerukunan rumah tangga yang ku bina, namun, sia-sia. Pasangan ku itu terlalu hebat sehingga hukum Allah boleh ditolak tepi bulat-bulat, demi buat hatinya puas. Jadi sekarang ni hatinya sudah puaslah. Setiap hari aku hanya mengikuti perkembangan hidupnya dari jauh sahaja. Tidak mengapalah, aku tetap sayangkan dia.

Disebabkan masalah aku, aku memang tiada mood untuk kerja. Maka aku memang sudah dapat mengagak bahawa kontrak ku tidak disambung. Bagusnya bos aku dengan menyatakan kontrak tidak disambung kerana tiada bajet. Dia tahu aku faham tujuan dia bagi alasan itu, aku memang tidak bodoh untuk ditipu dengan alasan seperti tu, tapi aku bukan nak salahkan bos aku, dia memang seorang bos yang sangat baik, lagipun aku memang tidak mahu kerja disitu lagi sungguhpun syarikat itu besar dan ternama, ditambah pula dekat dengan rumah aku. Aku terima hakikat itu dengan hati yang terbuka, dan syukur aku segera bertindak mencari kerja lain.

Alhamdulillah, berkat usaha aku mencari kerja hari-hari, aku pun dapatlah kerja baru dengan sebuah syarikat yang sederhana. Sungguhpun begitu, semangat aku untuk bekerja sudah kembali. Aku datang seawal mungkin dan aku balik lewat. Itulah tanda yang aku suka akan tempat kerja baru ini. Sekarang ni aku memang tidak tengok matahari kalau aku tak keluar pergi lunch. Bayangkanlah, aku keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dan pulang kerumah sekitar jam 7.30 malam. Masa bila nak tengok matahari?

Tidak mengapalah, yang penting semangat aku telah kembali. Aku semakin berani bersemuka dengan orang lain. Selera makan dan nafsu tidur aku kembali normal. Maka aku sudah dapat pulihkan semangat aku dan itu adalah sangat penting. Aku perlu teruskan kehidupan ini dan tinggalkan segala kenangan silam dibelakang. Biarlah orang yang tinggalkan aku masa aku susah. Aku hadapi kesusahan aku ini sendirian. Dia senang sekarang, tapi aku percaya, suatu hari nanti, aku akan lebih senang dari sekarang, dan kalau ada jodoh, aku akan dapat pengganti yang jauh lebih baik dari dia. Tidak perlu berdendam, itu sifat aku. Aku memang tidak akan berdendam dengan sesiapa. Aku yakin, setiap perbuatan ada balasan. Itulah hukum karma. Kalau tak didunia, diakhirat kenalah. Bahagialah korang sekarang dengan memusnahkan hidup aku, namun, aku sudah bangkit dan korang tidak akan dapat pijak aku semula. Aku tidak akan balas dendam, namum aku akan pertahankan diri aku selepas ini.

Inilah kehidupan baru ku. Hidup ini ibarat putaran roda, ada kala diatas, ada kala dibawah. Fasa aku dibawah telah aku lalui dan sekarang aku sedang menggerakkan roda ku keatas. Aku tetap yakin, berkat kesabaran aku dengan dugaan yang aku tempohi selama ini, aku pasti akan berjaya. Janganlah kita lupa, kita semua ini hanya hamba sahaja. Allah bersama orang-orang yang sabar dan Allah bersama orang-orang yang benar.

Sekian.