Wednesday, July 16, 2008

Kejujuran

Aku terpanggil untuk coretkan sesuatu disini bagi meluahkan rasa hati yang terpendam. Selama ini aku telah dididik supaya menjadi seorang manusia yang sentiasa jujur dan ikhlas atau dalam erti kata lain tidak menipu, berbohong ataupun berdusta. Semenjak dari kecil aku telah cuba mempraktikkan kejujuran walaupun aku menyedari risiko yang akan aku hadapi agak besar.

Sebagai manusia biasa, aku akur bahawa aku tidak akan lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Aku tersilap kerana aku terlalu memikirkan untuk menjadi manusia yang sempurna dimana aku sendiri tahu tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Tetapi disebabkan kedegilan aku sendiri, aku tetap berazam untuk menjadi manusia yang sempurna.

Aku tidak mahu menjadi manusia yang hipokrit dan aku tidak mahu hidup dalam kepura-puraan. Itulah sebab mengapa aku tidak akan selindungkan diri aku yang sebenar dari mana-mana kawan yang aku kenal tidak kiralah kawan lama ataupun kawan yang baru aku kenal. Aku lebih selesa mendapatkan pandangan orang lain terhadap kekurangan diri aku demi memperbaiki kesilapan dan kesalahan aku. Aku mahu semuanya yang terbaik daripada aku.

Setelah melalui pelbagai fasa kehidupan, dari zaman kanak-kanak, zaman sekolah rendah, sekolah menengah, kolej swasta, universiti, alam pekerjaan, alam perkahwinan dan yang mungkin tidak dapat dielakkan, alam perpisahan, aku menimbang tara apakah pencapaian yang aku telah perolehi sepanjang masa separuh daripada had usia manusia normal hidup. Aku boleh nilaikan setakat separuh pertama daripada hayat hidup ini, belum lagi ada suatu pencapaian yang aku boleh gariskan. Kenapa ya? Apakah salah silap aku selama ini?

Aku berazam untuk jadi yang terbaik, jadi manusia yang rendah diri, tidak ego, suka beralah dan suka memohon maaf dan beri kemaafan tidak kiralah sama ada kesalahan ataupun masalah itu berpunca daripada siapa. Pada aku, sekiranya sesuatu masalah itu timbul, aku lebih selesa dan lebih prefer untuk selesaikan masalah itu dengan cepat dan tenang tanpa ada dendam. Aku tidak mengkategorikan masalah itu kepada besar ataupun kecil. Pada aku, setiap masalah ada jalan penyelesaian dan perlu diselesaikan dengan cara yang baik.

Aku masih terkenang kata-kata guru aku dahulu iaitu, setiap perhubungan pasti ada konflik ataupun masalah. Yang penting ialah bagaimana kita selesaikan masalah. Aku harap penjelasan aku ini belum menyimpang jauh dari tajuk yang aku utarakan.

Sebagai manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan, aku memang ada terbuat silap tanpa disengajakan. Tetapi apabila aku telah melakukan kesilapan, aku akan cepat sedar dan insaf dan secara berani dan jujurnya aku rela mengaku tentang perihal kesilapan yang telah aku lakukan. Pada dasarnya, aku mengamalkan konsep saling bermaafan. Pada aku, kalau sebesar mana kesalahan yang dibuat pada aku oleh orang lain, asalkan dia mengaku dan meminta maaf serta menginsafi kesilapan itu, aku dengan mudah memaafkan. Begitulah yang aku cuba terapkan sekiranya aku yang bersalah. Aku tidak mahu melakukan kesilapan berganda iaitu dengan melakukan kesilapan dan kemudian menafikan tentang salah laku yang aku buat atau dalam erti kata lain, menipu. Kalau aku buat salah, aku kena berani menanggung akibat daripada kesalahan yang aku lakukan.

Apa yang aku harapkan ialah semua orang faham bahawa manusia ini tidak sempurna dan tidak lari dari melakukan kesilapan. Mengapakah sekarang ini bagi manusia yang benar-benar jujur akan mudah dipijak? Apakah tiada elemen kejujuran dalam kehidupan masa kini?

Aku mahu kongsi satu pengalaman yang aku alami sendiri. Aku telah dituduh melakukan satu kealahan ditempat kerja. Pada dasarnya kesalahan itu bukanlah berpunca daripada aku, tetapi memandangkan aku terlibat secara langsung dalam kes tersebut, aku telah dipanggil untuk memberi keterangan. Pada hemat aku, aku tidak mahu perkara ini berlanjutan sehingga mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Jadi bagi mengelak perkara ini berlanjutan iaitu perlu buka fail kes siasatan dan sebagainya, aku rela menyerahkan diri dengan membuat pengakuan bersalah tetapi bersyarat. Aku juga telah mengakui bahawa aku bukan melakukan perkara tersebut dengan sengaja sambil menginsafi perbuatan aku dan berazam untuk berubah. Nyata, tindakan aku berlaku jujur dan menyangka baik dengan pegawai yang mendakwa mengundang padah kepada diri aku sendiri. Aku menyangkakan dengan memberi kerja sama yang baik, dapat menyelesaikan kes dengan baik. Tetapi ternyata apa yang aku sangkakan meleset. Hasilnya, aku telah dibuang kerja kerana aku telah mengaku kesilapan aku. Begitu mudah keputusan dibuat tanpa sebarang siasatan lanjut mahupun perbicaraan dalaman. Bila aku bertanya pendapat daripada banyak pihak, ramai yang berkata sepatutnya aku tidak mengaku kesalahan yang aku buat. Memang aku tidak bersetuju kerana, seperti yang aku nytakan, aku tidak mahu lakukan kesalahan berganda.

Seperti contoh kalau aku tidak bersolat, kemudian parents aku bertanya, adakah aku sudah solat ataupun tidak, kalau aku mengaku bahawa aku tidak solat lagi, aku mungkin dimarah, tetapi kalau aku mahu mengelak dari dimarah aku boleh menyatakan aku sudah solat walaupun aku belum solat. Maksudnya disini, kalau aku belum solat atau tidak solat, aku sudah buat satu dosa, kemudian apabila aku ditanya dan aku berbohong bagi mengelakkan diri dimarah, aku buat satu lagi dosa. Tak solat berdosa, berdusta pun berdosa. Dapatlah dosa berganda.

Aku memang tidak nafikan dimana zaman sekarang ini orang yang selalu melakukan kesalahan akan terlepas begitu sahaja kerana mereka tidak akan mengaku kesalahan yang mereka lakukan sehinggalah terbukti dengan nyata mereka melakukan kesalahan itu. Kalau mengharapkan pengakuan jujur, memang tidak usah mimpilah. Pasti orang yang buat salah akan cuba menafikan kesalahan yang telah dia buat sekiranya terbukti dia bersalah pun, dia akan mencabar bukti tersebut dengan membawa perkara kemahkamah. Itulah sebab proses mahkamah akan ambil masa yang agak lama kerana penafian yang dibuat oleh pesalah sedangkan kalau pesalah mahu mengaku bersalah, proses keadilan tidak akan ambil masa yang lama.

Aku telah diterapkan dengan nilai kejujuran, aku tidak mahu lari dari semua ini. Pada aku, biarlah aku terima balasan didunia dan semoga aku akan selamat diakhirat. Kebenaran pasti akan terbukti walaupun ambil masa yang lama. Aku tetap berpegang kepada ajaran Islam dimana, Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang benar. Biarlah seribu atau sejuta orang mengatakan aku bersalah walau aku dalam keadaan benar, aku tidak akan takut kerana aku yakin Allah bersama aku, tetapi seandai aku bersalah, walau puluh juta manusia menyokong aku, aku tidak sanggup kerana aku tahu Allah tidak bersamaku.

Konklusinya disini, aku tidak akan lari dari pegangan hidup yang aku sudah praktikkan dari kecil. Biar aku terima akibat daripada kejujuran aku, aku sanggup kerana apa yang berlaku diatas dunia ini hanya sementara. Kehidupan akhirat yang akan kekal abadi. Aku tidak menyesali dengan kejujuran ku, dan aku tetap yakin, kalaupun aku kehilangan kerjaya ataupun pasangan ataupun apa jua yang Allah telah kurniakan, aku tetap redha dan aku yakin Allah akan gantikan yang lebih baik. Pada aku yang penting dalam hidup ini adalah kejujuran.

Tiada salah untuk berlaku jujur dengan orang walaupun environment tidak menggalakkan kejujuran ini berkembang. Kejujuran pada diri sendiri adalah penting dan kita akan lebih selesa bila kita jujur. Kalaupun kita boleh hidup senang dengan cara menipu, tetapi kesenangan itu tidak akan kekal lama.