Sunday, February 22, 2009

Adakah Aku Gembira?

Amat sukar untuk aku gambarkan perasaan aku sekarang ini. Dikala aku mengarang artikel kali ini aku berada berhampiran dengan si dia. Kami hanya berdua tanpa gangguan atau kehadiran orang lain. Walaupun begitu dia tekun dengan kerjanya dan aku hanya duduk mengadap depan komputer melayari internet. Sesambil itu aku mengambil kesempatan untuk mengarangkan sesuatu dalam blog aku ni.

Seperti yang aku terangkan dalam artikel sebelum ini bahawa aku akan bercuti dan pulang ke kampung. Betapa hati aku meruntun menanggung rasa rindu yang teramat sangat pada si dia. Sungguh pun aku tahu si dia tidak rasa apa-apa pada aku, namun aku bukan peduli semua itu. Pada aku, aku memang merindui dia sepenuh hati aku. Aku tak peduli dia rasai atau tak, yang penting aku merindui dia. Ha ha ha angau. Bukan angau, cuma aku memang dah jatuh hati setelah sekian lama aku tak alami perkara-perkara seperti ini.

Aku terpaksa bercuti kerana menguruskan beberapa hal yang rasmi, jadi ianya perlu dilakukan pada waktu bekerja. Alhamdulillah segalanya selesai dan tidak sia-sialah kepulangan aku ke kampung tempoh hari. Aku tidak berani menghubungi dia masa aku dikampung. Jadi aku hanya mengingatinya sahaja. Boleh kata setiap saat aku mengingati dia dan setiap nafas yang ku hembus menyeru namanya. Aduh, sudah parah ni, hahaha.

Pada sebelah petang hari aku bercuti, pada mulanya aku hendak tidur kerana terlalu letih dengan urusan pada sebelah paginya. Dikala aku hendak melelapkan mata, aku teringat sangat pada si dia. Alangkah gembiranya hati aku pada waktu itu kerana pada saat-saat aku teringat pada dia, aku terima satu kiriman sms daripada si dia. Terus aku hubungi dia dan aku tak jadi untuk tidur. Gembiranya tak terkata, serius tak tipu. Ha ha ha. Tapi aku tak boleh perasan lebih-lebih sangat. Apa kandungan sms tu biarlah rahsia, yang penting setiap kiriman sms daripada dia aku akan simpan dan aku akan gembira apabila melihat sms itu datangnya daripada si dia.

Pada keesokkan harinya pula, aku menguruskan membeli barang-barang keperluan dikampung. Sepanjang hari menguruskan hal tersebut dan aku memang sangat letih. Sebelah malamnya ketika aku hendak berehat, aku teringat sangat pada dia, maka aku capailah telefon untuk hubungi dia. Aku telefon dia tak jawab, pada aku mungkin dia sedang sibuk. Kemudian aku pun sms lah dia. Dia balas. Suka la aku balik. Dan aku telah beritahu dia aku akan balik dari kampung awal pagi dan akan ke pejabat untuk menyiapkan kerja aku. Si dia pun ingin datang ke pejabat untuk membuat kerjanya. Maka aku beritahulah dia bahawa aku akan maklumkan ketibaan aku nanti.

Sesampai dari kampung aku memunggah barang-barang kerumah aku. Selepas itu aku sms lah dia memaklumkan aku sudah tiba. Dia memberitahu dia akan sms aku bila dia hendak datang pejabat. Aku pun makan-makan dan terus ke pejabat selepas itu. Aku buatlah kerja aku sambil menunggu panggilan daripada dia. Tunggu punya tunggu dia tidak muncul. Maka aku pun pulanglah dengan hati yang agak sedih, tetapi aku tahu dia pasti akan datang, cuma aku memang tidak sabar tengok dia kerana terlalu rindu rasanya. Gila punya angau aku ni. Ha ha ha... Aku pulang kerumah dan beradu.

Aku hanya dapat lelapkan mata dalam satu jam sahaja, kemudian aku bangun dan menonton televisyen. Masa tu aku rasa bosan sangat. Tatkala aku tengah kebosanan itu si dia pun menelefon memberi tahu dia sudah hampir di pejabat. Maka aku pun bergegaslah bersiap dan pergilah ke pejabat. Sesampai di pejabat, aku lihat keretanya sudah ada, namun aku tidak nampak dia yang duduk dalam kereta. Aku tinjau sana sini, masih tidak nampak. Akhirnya dia keluar dari kereta, dan ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati aku melihat orang yang aku suka berada dihadapan mata aku. Tapi aku control, aku tidak mahu nampak ketara sangat.

Sementara aku mengarang artikel ni, aku rasa macam tak best la pula tak mengambil kesempatan untuk bemesra semula dengan dia, maka aku menawarkan bantuan untuk tolong dia buat kerja. Mujurlah dia dapat beri aku peluang untuk tolong dia, maka aku pun segeralah membuat apa yang dia minta aku buat. So aku seronok kerana aku dapat bersama dia sekarang ini. Aku harap dia dapat terima aku seadanya, walaupun perlu ambil masa. Yang penting sekarang ini dia sudah boleh berbaik dengan aku. Alhamdulillah.

Pada dasarnya (ni ayat skema) aku memang sedang gembira sekarang. Aku tak tahu sampai bila aku akan gembira, tetapi yang penting aku gembira sekarang. Maksudnya aku berpeluang juga untuk gembira. Kalau sebelum ini aku dirundung duka, namun sekarang tidak lagi, alhamdulillah.

Selesai kerja yang dibuat oleh si dia, aku pun mempelawalah si dia untuk dinner bersama, alhamdulillah, si dia sudi akhirnya keluar bersama aku. Masa tu aku tak tahu betapa gembiranya hati aku apabila dapat bersama dia. Aku tak kisah kalaupun saat yang terindah hanya sementara, yang penting segala moment aku bersama dia akan aku kenang sebagai satu kenangan yang terindah. Sebabnya si dia ni cepat berubah. Ada kalanya dia ok dan ada kalanya dia tak ok. Aku kenalah terima keadaan ini seadanya dan kalau ada rezeki untuk aku bersama dia, adalah, kalau tiada, tiadalah.

Aku tak mahu berharap sangat. Walaupun aku harapkan yang dia akan mengisi kekosongan hati aku sekarang ini, namun aku kenalah realistik. Aku boleh suka pada dia sepenuh hati aku, namun aku tidak boleh memaksa dia untuk menyukai aku walau sedikit pun. Aku kena terima hakikat kalau dia tak suka aku, namun aku akan cuba berusaha sedaya yang mungkin. Sehinggalah ke satu peringkat kalau keadaan memang tidak menyebelahi aku, aku akan tekan punat stop. Kalau sekarang aku hanya pull off the gas, namun kalau apa yang aku usahakan tidak membuahkan hasil, aku akan tekan break teruslah. Tiada guna bagi aku untuk terus berjuang atau berusaha untuk sesuatu yang sia-sia. Hidup perlu diteruskan selagi hayat dikandung badan sungguhpun ianya sesuatu yang sukar ataupun pahit untuk ditelan.

Secara kesimpulannya, aku agak gembira sekarang ini. Aku tak mahu saat ini berlalu cepat walaupun ianya memang berlalu begitu pantas. Kalau kiranya malam tadi aku tak sanggup untuk berpisah dengan dia, namun dia belum lagi menjadi milik aku, jadi aku kenalah bersabar. Apa yang penting, aku dapat luangkan masa bersama dia semalam. Setiap kali aku bersama dia, aku akan abadikan dalam memori aku. Kesan selepas itu aku tak mahu ambil peduli. Baik atau buruk aku serahkan pada Yang Maha Esa. Aku tetap ikhlas menyukai dia dan terserah pada dia untuk menilai segalanya.

Thursday, February 19, 2009

Suka Duka Kehidupan

Aku memang tak dapat nak menghasilkan karangan setiap hari sekarang ini memandangkan kerja aku yang semakin banyak dan memerlukan perhatian yang lebih. Jadi memang aku jarang sekali untuk dapat menjengah ke laman web aku ini sekarang ini. Kalau sebelum ini, dilaman blog inilah tempat aku meluahkan perasaan seperti menulis diari, namun sekarang aku sudah tidak dapat melakukan aktiviti itu sekarang. Hujung minggu pun kadang-kadang aku akan datang kerja, jadi memang aku tidak berkesempatan untuk menghasilkan satu artikel pun. Memang aku berhajat untuk menghasilkan sebuah buku, namun masa belum menyebelahi aku lagi. Jadi aku hanya berpeluang untuk mengarang apabila ada masa sahaja.

Seperti mana artikel aku yang sebelum ini, aku menghasilkan artikel tersebut dalam keadaan emosi aku agak terganggu. Ialah, aku harus akui bahawa keadaan hidup aku bergantung kepada hubungan antara aku dan si dia. Memang aku tidak boleh lari daripada mengakui bahawa aku memang menaruh hati dan harapan terhadap si dia setelah apa yang berlaku dalam rumah tangga aku. Jadi, aku perlu teruskan kehidupan dan aku akur bahawa hati aku memang terpikat pada si dia. Sungguhpun aku telah menyatakan aku tidak mahu memikirkan lagi pasal si dia, namun hati dan perasaan tidak mungkin dapat ditipu.

Kalau sebelum ini hubungan aku dengan si dia menjadi renggang, aku memang agak tertekan dan seperti tidak keruan. Aku memang agak tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku. Jadi apabila hubungan aku dengan si dia renggang hari tu, memang pada mulanya aku pun tak ambil kisah, tetapi lama kelamaan, aku yang tak dapat kawal amarah aku. Bukan aku marah pada dia, aku tak akan marah pada orang yang aku sayang, tetapi aku akan lebih cepat temper berbanding semasa dia baik dengan aku. Memang masa mula-mula dia menyatakan tak mahu ada hubungan langsung dengan aku, aku sedih dan kecewa, tetapi aku tak salahkan dia dan aku sendiri akan menjauhkan diri dari orang yang tak suka pada aku.

Aku memang buat tak tahu pada dia dan tak tegur langsung dia pun masa tu. Pernah terjadi setelah dia menyatakan tidak mahu ada hubungan dengan aku tu, kami makan ramai-ramai dikantin. Mula-mula tu cuma aku dengan sorang member sahaja, kemudian dia datang dengan rakan pejabat yang lain duduk semeja dengan aku. Kalau kebiasaannya mereka tidak duduk semeja dengan aku, entah kenapa mereka datang makan semeja pula dengan aku. Masa tu aku memang rasa kurang selesa, bukan benci atau apa, cuma aku tahu diri aku tidak disukai, jadi aku pun meninggalkan meja makan tu awal daripada orang lain. Memang la nampak ketara, tetapi bukan aku nak pressure dia ke apa, cuma aku akan jauhkan diri aku dari orang yang tak suka pada aku. Keesokkan harinya, aku datang lewat sedikit dan seperti biasa aku akan bersarapan sebelum memulakan kerja. Masa di kantin aku lihat dia dan rakan pejabat beserta member aku dah ada kat kantin. Aku buat selamba sahaja dan duduk dimeja lain. Entah kenapa mereka semua berubah meja duduk semeja dengan aku termasuk si dia. Aku tak la bengang cuma rasa pelik, apasal nak duduk semeja dengan aku? Masa tu aku buat selamba sahaja dan sembang dengan orang lain sahaja, aku buat macam dia tiada disitu masa tu. Tetiba dia tegur aku, tapi biasalah tanya pasal kerja, so aku pun jawablah dengan cara paling professional. Standard la aku, aku memang professional, aku tak akan campur aduk hal peribadi dengan kerja. Frankly speaking, aku memang suka sebab dia tegur aku, tapi biasalah, aku buat macam biasa sahaja, tapi dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu, huhuhuhuh....

Masa silih berganti, dari hari kehari hubungan aku dengan si dia melalui satu evolusi perubahan. Daripada tidak bertegur sapa antara satu sama lain sehinggalah boleh bergurau senda. Tetapi seperti sebelum inilah, hubungan yang 'mesra' ini hanya akan berlaku apabila tiada orang lain disekeliling kami. Hanya jika ada dua tiga orang lain sahaja yang dia tidak akan kekok dengan aku, kalau ada puak-puak yang suka mengata tu, memang aku tidak akan dapat berbual mesra dengan dia. Perhubungan aku hanya terhad pasal kerja sahaja. Tapi aku tidak kisah dah. Pada aku, aku bergerak ikut keadaan, kalau masa tu hubungan kami baik, baiklah, kalau tak, tak lah. Jadi aku tidak mahu fikir berat sangat.

Pada dasarnya aku memang tak berani langsung untuk meletak sebarang harapan apabila mengenangkan apa yang dah terjadi pada aku dan si dia sebelum ini. Jadi aku hanya mampu berserah dan berdoa semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi kekecewaan lagi. Alhamdulillah, apabila aku pull off the gas, dia kembali berbaik semula dengan aku. Aku pun tak ingat masa bila dia mula membiasakan untuk bercakap dengan aku, tetapi aku sangat terkejut masa dia datang berbincang pasal kerja ditempat aku. Kebetulan masa tu aku tengah sibuk mengemas meja aku yang sudah macam tongkang pecah, kemudian dia datang meminta beberapa maklumat daripada aku. Masa tu aku ada la letak lirik lagu atas meja aku. Aku perasan dia memerhati lirik lagu tersebut, kemudian aku buat macam tak sedar sahajalah. Selesai urusan dia dengan aku, dia kembali ketempat dia. Tidak lama kemudian dia datang semula ke meja aku dan terus ambil lirik lagu tersebut untuk difotostat. Masa tu aku benar-benar terkejut dengan tindakan dia. Tapi pada aku itu satu sign yang dia cuba untuk buat biasa dengan aku. Maksudnya bukanlah dia nak bermesra, cuma tak mahu bermusuhan dengan aku, baguslah kalau begitu pada aku.

Memandangkan aku melihat dia berminat pada lagu tersebut, maka aku ambil la inisiatif membakar lagu tu dalam cd (burn dalam cd la). Aku selitkan sekali lagu-lagu yang memang aku nak tujukan khas pada dia. Jadi aku pun serahkan la cd tersebut pada dia. Pada mulanya dia tidak mahu terima memandangkan senarai lagu yang ada dalam cd tu tak banyak yang dia suka, aku rasa la, tapi mungkin dia suka cuma tak nak akui. Tapi aku insist juga nak bagi dia cd tu, maka dia terimalah. Aku bagi tahu dia supaya dengarlah cd tu dalam kereta, jadi dia pun ikut sahaja. Aku bayangkan dia akan pulangkan cd tu keesokkan hari sebagaimana dia pulangkan kad pada aku dulu, tapi alhamdulillah, dia tak buat begitu. Lega hati aku.

Semenjak itu aku dah boleh berbaik semula dengan dia. Tetapi aku masih tidak mahu terlalu berharap. Aku tak berani nak telefon mahupun sms dia lagi, memang kalau kira aku nak sahaja telefon dia setiap malam sebagaimana aku buat sebelum ni. Tapi aku masih kurang yakin pada diri aku, jadi aku akan biarkan sahaja untuk sementara waktu ni. Baru-baru ni dia kena pergi outstation dan aku yang ambil dia dari rumah bawa ke pejabat. Tak sangka la dia mahu aku ambil dia, dan masa tu aku tak tahu nak cakap macam mana perasaan berat hati aku untuk melihat dia pergi sungguhpun hanya untuk dua hari. Terasa rindu menyelubungi. Aku terus tiada mood untuk segalanya. Hendak buat apa pun tak tahu, nak telefon dia, aku rasa takut, jadi aku hanya mendiamkan diri sahaja. Apa yang aku tidak terduga telah terjadi bilamana dia menghubungi aku pada malam berikutnya, seronok rasa hati aku mendengar suara dia. Tetapi aku tak boleh anggap apa-apa, aku cuma harap biarlah semuanya berlaku dengan baik. Niat hati aku ikhlas pada dia dan aku bukan hendak mempermainkan dia mahupun sesiapa. Kalau ada rezeki aku dengan dia, alhamdulillah.

Aku akan bercuti beberapa hari ni dan sepanjang cuti nanti aku tak akan dapat ketemu dia. Entah bagaimana aku akan hadapi situasi menahan rasa kerinduan nanti pun aku tidak tahu. Kalau sebelum ni aku boleh lepaskan rasa rindu dengan hubungi dia, namun sekarang aku hanya memendam rasa rindu teramat sangat pada dia. Kalau dia dapat rasa getaran kerinduan aku, pasti dia akan fahami betapa dalam perasaan hati aku padanya. InsyaAllah.