Sunday, September 27, 2009

Salam 1 Malaysia - Selamat Hari Raya...

Salam 1 Malaysia? Wah bersemangat patriotik nampaknya aku. Ha ha ha, itulah tagline Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, Y.A.B. Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Sungguh aku dibesarkan dalam era Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir dan aku melihat ianya sebagai satu trend kepada Perdana Menteri untuk mencipta satu tagline menandakan identiti tersendiri.

Bermula dari zaman Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir, dengan slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah', yang menekankan kepada perlunya pegawai kerajaan dan menteri-menteri yang mentadbir supaya mempunyai sikap seperti slogan yang diuar-uarkan. Apabila Y.A.Bhg Tun Abdullah a.k.a Pak Lah mengambil alih pentadbiran kerajaan sebagai Perdana Menteri ke 5, beliau keluar dengan slogan, 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang'. Kini tiba giliran Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, Y.A.B. Dato Seri Najib Tun Razak dengan tagline beliau '1 Malaysia - Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan'. Aku tidak pasti la sama ada bekas Perdana Menteri yang pertama sehingga ketiga mempunyai tagline masing-masing kerana aku belum dilahirkan masa tu.

Aku sebenarnya tak tahu nak karangkan apa dalam blog ni kerana dah terlalu lama tidak mengarang. Ditambah pula aku pun dah lama tak membaca blog orang lain dan juga bahan bacaan lain, jadi aku agak kekeringan idea. Aku update blog ni atas permintaan insan baru yang Allah takdirkan bertemu dengan aku. Walaupun kami kenal dilaman sembang, namun sejarah tercipta kerana aku telah membawa ibuku beraya dirumahnya pada hari raya ke 6 yang lepas. Itulah kali pertama aku bersemuka dengan dia. Ha ha ha. Siapa sangka, siapa menduga, perkara yang tidak aku sangka terjadi dalam bulan yang mulia ni.

Ops, jangan salah faham ek dan jangan fikir yang bukan-bukan. Aku maksudkan sejarah kerana tak pernah lagi jadi dalam hidup aku berlaku hal begitu. Hanya dia dan aku sahaja yang tahu. Perasaan aku bercampur aduk, suka, pelik, nervous dan macam-macam lagi. Bermula dengan bertukar-tukar melihat gambar di profil, lepas tu bertukar no telefon. Seingat aku, aku mula chatting dengan dia 3 hari sebelum hari raya. Mujur la sempat bertukar no telefon, dan tak sangka la pula, dalam tempoh yang singkat, kami rajin berbalas sms.

Dipendekkan citer, masa raya hari tu saja la aku pelawa dia datang beraya kerumah ku. Memang rumah kami jauh, dia di selatan, manakala aku di bahagian utara. Ialah, time raya, mestilah jemput orang datang rumah walaupun baru kenal. Lepas tu dia suggest supaya aku yang ke rumah dia. Alamak, aku ni dah la bukan suka berjalan jauh, tapi entah daripada mana datang semangat aku, aku pun membuat keputusan untuk menerima pelawaan dia. Tak pasti la masa tu dia betul-betul ajak, atau ajak-ajak ayam jer, tapi aku yakinkan diri aku bahawa dia memang ikhlas menjemput aku ke rumah dia.

Aku pun beritahulah kepada ibuku niat aku nak beraya ke selatan. Ibu aku pun agak terperanjat kerana biasanya aku ni la yang paling payah nak di ajak berjalan. Tapi memandangkan aku bersungguh nak pergi, maka ibuku telah bersetuju menemani aku beraya ke selatan. Sebagai balasan, aku perlu bawak ibuku ke rumah saudara mara dan juga rakannya yang juga berada di selatan tanah air.

Aku memulakan perjalanan seawal pukul 6.30 pagi ketika menuju ke selatan hari tu. Ini kerana aku menganggar perjalanan aku akan mengambil masa kurang lebih 4 jam untuk tiba ke destinasi pertama iaitu rumah dia. Sepanjang perjalanan, bermacam yang aku fikirkan. Aku dah la tak pernah bersemuka atau bertemu dengan dia, cuma lihat dalam gambar sahaja. Itu pun bukan aku ingat sangat, almaklumlah, dah berusia ni memori agak terhad. Orang lain dah pakai intel core2duo, aku ni sezaman dengan pentium 1. So sendiri mau ingatlah. Tapi aku tetap beranikan diri juga kerana aku yakin apabila kita berniat baik, Allah akan membantu.

Semangat aku memang berkobar-kobar untuk berkenalan dengan dia sekeluarga, namun semakin dekat aku ke destinasi yang dituju, semakin berdebar-debar rasanya. Tetapi alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan aku panjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan izinNya, perjalanan aku lancar hari tersebut dan aku dapat berkenalan dan menghubungkan silaturrahim dengan dia. Sungguhpun aku hanya bertandang seketika, namun aku tetap berpuas hati kerana dapat bertemu dia secara nyata.

Betul la apa yang dikatakan, jodoh pertemuan Allah yang tentukan. Tidak pernah aku terfikir untuk lalui saat seperti itu. Terasa seperti aku berada dalam dunia baru. Kalau ikutkan aku memang takut lagi untuk berada dalam situasi begitu, tapi sampai bila harus aku berada dalam ketakutan? Kegagalan lampau memang memberi tamparan hebat buat aku, namun aku kena yakin bahawa itu bukanlah penamatnya. Entah la, kalau dia rasa seperti yang aku rasa, alhamdulillah, kalau tak pun, alhamdulillah. Ketika aku mengarang ni pun aku sedang berchatting dengan dia.

Hmmm... Inilah hasil karangan tanpa persediaan yang rapi. Ditambah pula aku dah lama tak mengarang, dah lama tak membaca, maka tidak hairanlah kenapa aku ketandusan idea. Janganlah bandingkan karangan yang terbaru ni dengan yang sebelum ni. Karangan sebelum ni terhasil ketika aku sedang sarat dengan idea. Masa tu pun condition aku masih tidak stabil. Jadi terlalu banyak la hal yang aku fikirkan. Sekarang ni hidup aku dah seronok, maka tiada lagi yang serabut dalam hidup aku. Walaupun masih ada masalah lama yang belum selesai, namun aku tetap bersyukur kerana kehidupan aku bertambah baik sekarang ni.

Walau bagaimanapun, bersempena bulan baik ni aku nak menyambut kehadiran syawal dengan memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana aku sudah beransur pulih. Kalau syawal yang lepas terlalu hambar, aku tidak mahu ianya berulang lagi tahun ini. Semoga ianya menjadi permulaan yang baik untuk aku dan semoga sejarah hitam tahun 2008 tidak berulang kembali.

No comments: