Thursday, January 29, 2009

Snippets

Rasanya sudah lama sangat aku tak membuat sebarang coretan tentang apa yang berlaku seharian pada diri aku. Mungkin kerana aku terlalu sibuk dengan urusan kerja yang menyebabkan aku tidak berkesempatan untuk menghasilkan sebarang nukilan. Sibuk satu hal, persekitaran yang kurang sihat juga satu hal, jadi aku kenalah tenangkan diri aku dahulu. Sungguhpun pada dasarnya aku telah menetapkan matlamat untuk menghasilkan satu karangan setiap hari, namun aku kena akur pada keadaan. Kiranya usaha aku untuk mengasah semula bakat aku dalam bidang penulisan ini terbantut buat seketika. Kali terakhir aku menghasilkan karangan pada hari pertama tahun 2009. Kiranya dah 28 hari aku tak membuat sebarang karangan atau dalam erti kata lain aku berhutang 28 buah karangan. Banyak tu, huhuhuhuhu….

Aku sebenarnya sampai dah tak tahu nak coretkan apa kerana terlalu banyak perkara yang terjadi sepanjang tempoh 28 hari ni. Suka duka silih berganti, tapi aku seperti sudah lali dengan putaran hidup yang cepat bertukar. Kadang kala suka dan duka itu boleh berlaku dalam hari yang sama. Jadi disebabkan pengalaman hidup yang mencabar ini, aku akur bahawa aku harus hadapi dengan tenang. Yang penting kena selalu senyum kerana tak kiralah besar mana masalah pun, dengan senyuman semua masalah dapat dihadapi.

Perjalanan hidup ini masih jauh lagi. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu aku harus hadapi segala rintangan dan dugaan. Memang aku akui ada kalanya aku sudah bosan dengan kehidupan ni. Ialah, aku bukan harapkan apa selain kebahagiaan. Aku bukan harap orang balas kebaikkan aku, tetapi aku tak mengharapkan orang balas kebaikkan aku dengan keburukkan. Ibarat bagi bunga dibalas tahi. Aku tak minta sesiapa balas bunga seperti yang aku beri, tapi janganlah baling aku dengan tahi. Itu sahaja. Tapi aku kena terima bahawa inilah hakikat kehidupan. Bukan semua yang kita nak kita akan dapat. Apa yang penting aku kena jaga hati aku sendiri. Aku perlu sayangi diri aku. Tak boleh harapkan orang sayang pada aku dan aku juga tak mahu sayangi sesiapa lagi, huhuhu…

Aku kekadang memang dah rasa letih dan bosan untuk jadi Nice Person, kerana hakikat kehidupan orang lebih kenangkan kepada keburukkan. Macam mana pasangan aku buat pada aku. Patut aku jadikan ianya sebagai satu iktibar dan aku harus berterima kasih pada pasangan aku kerana dialah segalanya dan dialah yang telah ajar aku betapa kejamnya orang boleh buat pada diri kita kalau kita terlalu baik atau nak jadi baik. Bukan orang nak kenang semua tu, yang orang tahu ialah kenang kesalahan dan kesilapan orang lain. Walau dah buat baik beribu kali, namun cukuplah sekali buat salah, itulah yang akan dikenang dan dicanang. Memanglah kalau diri aku, aku tak suka pandang pada kelemahan, kesilapan atau kesalahan orang lain. Aku masih berpegang pada konsep setiap orang ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Aku memang tak boleh harapkan orang lain seperti aku, bukan nak kata aku bagus sangat, tapi aku tak suka nak kenang mahupun cari salah orang lain. Itulah silap aku, kerana orang tak buat begitu pada aku. Orang lain suka sangat kenang salah aku, kalaupun aku tak buat salah, orang akan berusaha mencari kelemahan dan kesalahan aku. Jadi aku sering diperkotakkatikkan oleh orang lain dengan sikap aku. Tak mengapalah, dah Allah jadikan aku sebegitu.

Tiada lagi air mata yang harus aku titiskan hanya kerana untuk berasa sedih dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Aku harus menyesali dan bersedih sehingga menitiskan air mata aku di atas dosa yang telah aku lakukan. Banyak sangat ke dosa aku? Entahlah, kalau aku nak fikirkan terlalu banyak, tapi malas aku nak fikir sebab aku bukan hidup hanya sekadar untuk buat dosa. Dosa pahala biarlah Allah yang tentukan. Pada aku segala yang terjadi ini adalah suratan dan ketentuan yang telah Allah tetapkan sejak azali lagi. Segalanya telah tertulis di loh mahfuz. Siapakah kita untuk menilai atau mempertikaikan apa yang telah Allah tentukan?

Sebenarnya aku lebih senang menghasilkan sebuah artikel bila kepala aku sarat dengan masalah ataupun aku dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Adakah aku sedang bersedih sekarang? Kenapa aku harus bersedih? Mungkin ya mungkin tidak. Kalau aku nak bersedih pun aku tahu apa sebabnya. Aku bukan gila untuk sedih tak tentu pasal, cuma tinggal lagi aku tak mahu bersedih kerana orang lain ataupun disebabkan orang lain. Ini mungkin ada kaitan dengan si dia yang sepatutnya aku dah lupakan atau tidak mahu ceritakan lagi dah. Tapi biasalah, aku bergerak ikut keadaan. Segala yang berlaku adalah ketentuan. Skripnya sudah tertulis, maka aku hanya melakonkan sahaja apa yang sudah tertulis.

Memang kekadang aku tak faham apa pasal la orang nak sangat cari masalah dengan aku walhal aku tak suka nak ada masalah dengan sesiapa. Kalau pun masalah itu akan timbul atau tidak boleh dielakkan, pada aku, perkara yang lebih baik ialah mencari jalan penyelesaian, bukannya nak cari mahupun menghukum salah orang lain. Siapakah kita sebagai manusia untuk menghukum salah orang lain? Adakah kita ni sangat sempurna sehingga kita boleh menjalankan hukuman pada orang lain? Paling syadisnya ialah apabila aku sering mengalah dan meminta maaf, bukan orang nak maafkan aku, malah lagi nak menyombong dan bersikap angkuh. Come on la, are you thinking that you are kind person? Do you think that you are bigger than Allah? Sedangkan Allah ampunkan hambaNya dan sedangkan Nabi ampunkan ummat, inikan kita sesama manusia. Kalau dahulu orang sering pertikaikan mengapa sukar melafazkan maaf? Apa yang terjadi pada aku adalah sebaliknya iaitu sukar mendapat kemaafan walaupun aku sudah meminta maaf diatas kesalahan aku dan sudah berusaha bersungguh memohon maaf daripada orang yang sepatutnya. Itulah yang aku lakukan pada pasangan aku dahulu, namun bukan sahaja kemaafan yang dicari tidak dapat, malah aku makin dikutuk dan diherdik macam-macam lagi. Hina sangatkah aku? Aku tidak mahu atau suka membezakan orang mahupun membuat perbandingan antara satu sama lain. Selagi aku berpegang pada konsep setiap orang ada baik dan buruknya, selagi itu aku akan teruskan cara aku mendekati sesiapa yang aku mahu.

Aku tak tahu dimanakah salahnya antara aku dengan si dia. Kalau sebelum ini hubungan aku agak baik, tetapi entah kenapa secara tiba-tiba si dia berubah membenci aku 200%. Aku pun bukannya approach dia drastic sangat, malah aku mengehadkan hubungan aku selepas waktu kerja. Waktu kerja aku memang ignore dia. Tapi selepas waktu kerja aku rajin jugalah hubungi dia setelah response yang aku terima agak menggalakkan. Mungkin juga aku masih terbawa akan sikap aku yang terburu-buru menyebabkan aku bertindak diluar kawalan. Tak mengapalah, pada aku apa yang pernah berlaku antara aku dengan si dia dahulu tetap menjadi satu kenangan yang sangat manis sungguhpun kesan selepas itu aku terima bahawa si dia terus membenci aku untuk selamanya. Aku tak mahu salahkan sesiapa mahupun si dia, dan aku tak mahu buat sebarang andaian ataupun mencari punca masalah yang sebenarnya. Aku dah pernah bincang dengan dia beberapa kali mengenai hal ini dan kami dah pernah bersetuju untuk buat apa yang patut tanpa fikirkan apa yang orang lain katakan. Tapi sayang, hanya aku sahaja yang berpegang pada kata-kata tersebut sedangkan si dia seperti telah lupakan segala yang telah kami setujui. Tak mengapalah, aku percaya si dia pasti ada sebab yang kukuh untuk bertindak sebegitu. Walaupun si dia membenci aku, namun sedikit pun aku tidak akan membenci dia. Itulah aku. Aku tak tahu untuk membenci orang lain walaupun orang lain dah buat khianat pada aku, ditambah pula kalau orang tersebut pernah aku sayangi.

Memang pada hakikatnya aku agak kecewa dengan apa yang terjadi sekarang ni. Telah aku berusaha meminta maaf untuk menyelamatkan sebuah hubungan tetapi ternyata usaha aku tidak membuahkan hasil. Beriya aku menghantar kad meminta maaf, bukan kemaafan yang aku dapat tetapi ancaman dan penghinaan yang aku dapat. Lepas tu siap pulangkan semula kad tu pada aku. Kan ke lebih baik dia buang sahaja kerana aku lebih rela dia buang daripada pulangkan semula pada aku. Memang aku rasa terhina, tetapi aku tak kisah, tak sedih pun, serius tak tipu. Aku memang dari dulu tak pernah kisah akan apa yang orang nak buat pada aku. Yang penting aku tetap yakin bahawa aku orang baik bukan orang jahat. Aku bukan buat salah untuk dihukum sebegitu. Kalau orang benci, menyampah, tak suka pada aku pun, apa aku kisah? Itu hak masing-masing. Aku tak mati dengan penghinaan orang. Malah aku lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan aku. Aku tak anggap ianya sebagai kepahitan, malah aku telan segalanya dengan penuh kesabaran dan aku rasakan ianya sangat manis. Orang yang kuat ialah orang yang boleh menahan kemarahannya. Jadi aku yakin aku adalah orang yang kuat.

Banyak juga hal yang terjadi yang kadang-kadang mencabar kesabaran aku, tetapi Alhamdulillah setakat ini aku masih boleh lagi tersenyum dan menahan diri daripada marah. Ada kalanya aku lepaskan juga sedikit kemarahan aku, tetapi seperti biasalah, kalau aku marahpun tak lama. Kalau orang minta maaf pada aku, aku tiada masalah untuk memaafkan orang tersebut. Orang yang sukar memaafkan orang lain tu dia akan lebih menderita kerana dia akan menyimpan segala dendam kemarahan dalam hati dia. Pada aku, aku tetap boleh hidup bahagia dan tenang tanpa menyimpan sebarang dendam pada orang lain. Orang nak benci aku ke, lantak pi la, sedikit pun aku tak rugi dan yang penting tak mencacatkan diri aku pun. Kemarahan dan dendam itu merupakan sikap mazmumah, jadi buat apa nak biarkan diri dalam sikap mazmumah? Tak mengapalah, aku tetap tidak berganjak dengan apa yang aku rasa pada orang yang aku suka sungguhpun dia dah benci aku ketahap gaban zack potong dua. Hahahaha…..

Aku bukanlah hairan sangat sekarang ni. Aku memang sangat bersyukur kerana aku telah alami satu pengalaman yang sangat pahit dengan pasangan aku. Bukan aku nak katakan aku tiada perasaan sekarang ni, tetapi aku memang tidak akan mudah untuk rasa sedih sungguhpun dikecewa dan dihina sebagainya oleh orang lain. Memang hati aku sudah kosong sekarang, jadi ianya tidak menjejaskan perasaan aku pun. Seperti orang yang sedang luka parah ataupun dalam keadaan koma, walau dihiris dan ditikam beberapa kali oleh orang lain, sedikitpun ianya tidak memberi kesan pada aku. Ha ha ha. Yang penting aku akan sentiasa tersenyum melihat gelagat manusia disekeliling aku. Aku pun bukan baik sangat tetapi aku tak suka nak ada masalah dengan orang lain. Kalau aku buat dosa, itu antara aku dengan Allah, bukan degan orang lain. Kalau orang lain nak sibuk nak hitung dosa aku, biarlah, sekurang-kurangnya aku tahu diri aku diingati oleh mereka, ha ha ha.

Jadi sekarang ini apa yang aku perlu buat ialah buat macam biasa sahaja. Pada aku, aku dah do my part. Kalau marah sekalipun janganlah sampai terputus silaturrahim kerana kita ni orang Islam bukan kafir. Tapi malas aku nak beri ceramah agama ke apa kerana semua orang dah didedahkan dan diajar perkara ni semenjak kecil lagi. Tapi walau si dia nak benci aku sekalipun, ianya tidak menghakis perasaan aku pada dia. Itu hak aku untuk suka pada sesiapa. Dan aku akan sentiasa maafkan dia. Aku tetap akan doakan agar dia bahagia. Aku tak kisah kalau dia salah anggap pada aku, apa yang penting aku tahu niat aku ikhlas pada dia.

Memandangkan ini merupakan nukilan aku yang terkini, aku tak tahu nak bicara apa lagi kerana terlalu banyak perkara yang nak aku perkatakan, cuma tinggal lagi aku agak sibuk sekarang ini untuk menyusun kata-kata yang lebih baik. Salah seorang kawan lama aku, yang merupakan pengunjung baru dalam blog aku ni menyatakan minatnya membaca hasil penulisan aku. Terima kasih my fren for your strong and continuous support. I really appreciate that. Bacalah dahulu artikel yang sebelum-sebelum ni kerana kita dah lama tak berhubung. Syukurlah ada kawan yang sangat setia mahu hubungi aku lagi.

Harapnya aku akan dapat mengarang lagi selepas ini kerana inilah cara yang paling berkesan bagi menghilangkan ketegangan dalam kepala aku. InsyaAllah, kalau ada masa lagi, aku akan bercerita lagi setelah sekian lama menyepi.

Thursday, January 1, 2009

Selamat Tinggal 2008 Selamat Datang 2009

Selamat menyambut Tahun 2009. Masa berlalu begitu pantas sehingga tidak sedar tahun 2008 sudah melabuhkan tirainya. Tirai tahun 2009 dibuka dengan harapan dan dugaan baru yang masih belum dapat ditentukan untung nasibnya pada tahun baru ini. Secara rangkumannya, aku boleh katakan tahun 2008 merupakan tahun gelap dalam hidup aku bilamana terlalu banyak kenangan pahit yang berlaku pada aku. Kalau diambang 2008 pengakhir tahun 2007 aku hidup berpasangan, aku menyambut kehadiran 2008 dengan insan yang disayangi disisi, namun diambang 2009 aku hanya keseorangan. Amat memeritkan bilamana terpaksa menelan hakikat peristiwa pahit memenuhi kalendar 2008 aku.

Aku mengucapkan selamat tinggal tahun 2008 yang merupakan tahun yang agak malang buat aku. Sudahlah dengan kerjaya aku dimusnahkan oleh satu komplot yang menjatuhkan aku, rumah tangga aku juga mengalami nasib yang agak muram. Aku tidak mahu salahkan pasangan aku. Memang terserlah karektor pasangan aku apabila masalah melanda. Barulah aku nampak pasangan aku punya true colour. Maksudnya disini, pasangan aku tidak tahu apa yang harus dia buat apabila sesuatu masalah timbul dalam rumah tangga mahupun perhubungan. Pasangan aku memang suka ambil jalan mudah iaitu mahu menamatkan hubungan atau berpisah. Kalau belum berumah tangga, aku tidak kisah berlakunya perpisahan, namun ikatan suci telah dimeterai, takkanlah itu jalan yang harus dipilih? Entahlah, aku akan cuba mempertahankan dahulu rumah tangga aku selagi terdaya.

Tahun 2009 sudah muncul. Apakah tahun ini akan menyajikan cerita yang sama atau adakah harapan atau janji baru untuk diri aku? Masa silih berganti, hidup perlu diteruskan selagi hayat dikandung badan. Aku berharap agar tahun 2009 ini menjadi permulaan yang baik dalam hidup aku untuk selamanya. Tahun ini menandakan umur aku sudah meningkat lagi setahun dan aku memulakan separuh kedua fasa kehidupan aku. Itupun sekiranya umur aku panjang sama seperti umur Nabi Muhammad S.A.W. Ajal dan maut boleh datang menjemput pada bila-bila masa. Tiada siapa yang tahu berapa lamakah mereka akan hidup didunia ini. Tapi kalau berpandukan kepada umur Nabi, ini beerti aku sedang memulakan separuh kedua kehidupan aku. Kalau pengakhiran separuh pertama hidup aku dengan sour note, aku harapkan ianya tidaklah menjangkit sehingga tahun baru ini.

Adakah harapan baru untuk aku dalam tahun baru ni? InsyaAllah. Selagi ada hayat, selagi itu ada harapan. Seperti pepatah Inggeris, 'When there's life, there's hope'. Lebih kurang begitulah, aku pun tak berapa ingat pepatah Inggeris tu kerana aku dengarnya dahulu lagi. Walau apapun, setiap yang hidup pasti akan berharap dan semuanya berharap kepada perkara yang baik. Tiada siapa yang mahu kepada perkara buruk dan tak baik. Jadi aku pun harap kepada kebaikkan.

Setiap orang kalau menjelang tahun baru pasti ada menanam azam. Bagi aku, azam atau matlamat bukan hanya untuk tahun baru sahaja, tetapi untuk selamanya dan tak semestinya menanam azam apabila menjelang tahun baru sahaja. Kalau orang bertanya aku apa azam aku tahun baru, aku akan jawab, maaflah, aku tidak pernah buat apa-apa azam untuk tahun baru. Bukan aku tiada azam untuk diri aku, namun azam aku tidak terhad untuk tahun baru sahaja. Azam aku sekarang ialah untuk selamatkan juga rumah tangga aku. Tidak kisahlah betapa teruknya masalah yang melanda, tidak kisah betapa teruk layanan pasangan aku selama ini, aku tetap sayangi pasangan aku dan aku tidak mahu berpisah dengan pasangan aku. Itulah azam aku.

Aku sedari tiada siapa yang setuju dengan aku apabila aku masih mahu bersama pasangan aku setelah mereka mengetahui apa yang sebenarnya terjadi antara aku dan pasangan aku. Aku telah berjumpa dengan beberapa orang yang mahir dalam soal bab dan agama, kebanyakkan mereka menyarankan aku supaya melepaskan sahaja pasangan aku. Namun, aku tidak mahu berpisah dengan pasangan aku. Cuma ada seorang sahaja yang masih menyokong tindakan aku iaitu kawam baik aku. Hanya dia seorang yang memahami perasaan aku dan aku terharu kerana dia turut mendoakan untuk aku dan pasangan aku. Terima kasih my good friend. I really appreciate with your kind support.

Selamat datang tahun 2009 dan selamat tinggal tahun 2008. Semoga hidup aku akan bertambah baik selepas ini, insyaAllah.