Friday, November 7, 2008

New Life

Sudah hampir 4 bulan rasanya aku tidak mencoretkan sesuatu melalui blog ini. Sungguhpun aku menyedari blog aku ini bukan merupakan blog yang dilawati orang, namun aku tetap merasa puas hati dengan apa yang ingin aku coretkan. Sekurang-kurangnya aku dapat meluahkan segala kegusaran hati aku selama ini.

Aku terhenti seketika dalam menghasilkan atau membuat luahan hati kerana pada ketika itu aku memang melalui fasa atau saat-saat kehidupan yang sangat mencabar. Sehingga pada satu ketika aku seperti sudah berputus asa dengan kehidupan aku. Masalah yang aku hadapi telah menjejaskan cara hidup aku dan seterusnya mengakibatkan aku tidak berdaya untuk memberikan komitmen terhadap kerja aku. Sungguhpun rakan sekerja mengetahui dan 'memahami' masalah yang aku hadapi, namun, tiada siapa yang dapat benar-benar rasakan betapa aku menanggung derita dengan perbuatan zalim dan kejam daripada orang yang berdendam dengan aku. Tidak cukup dengan musuh aku yang berjaya menghancurkan dan menyekat punca rezeki aku, pasangan aku juga bertindak lebih drastik dengan menjadikan aku musuh utama beliau dan keluarganya. Apakan daya aku mengahadapi dugaan yang berat dalam satu masa?

Sudahlah kerjaya aku musnah, rumah tangga aku turut berantakan. Bagaimana aku dapat terus hadapi segala dugaan ini? Aku harus akui, kesilapan aku kerana sering mengalah sehingga menyebabkan aku terus dipijak dan ditindas. Pada aku, lebih baik aku mengalah asalkan masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sangkaan aku ternyata meleset, ternyata orang lain telah ambil kesempatan dengan sikap aku yang suka mengalah ini. Aku bukan sahaja dipijak malah terus dipandang hina. Orang-orang yang menganiaya aku terus hidup senang gembira sambil mendakwa mereka yang teraniaya. Ini seperti kes yang menganiaya mendakwa teraniaya dan yang teraniaya dituduh menganiaya. Kejam dan zalim bukan?

Disebabkan masalah yang melanda, berat badanku susut 8 kilogram. Aku tidak menyambut hari raya kerana terlalu sedih. Prestasi kerja ku semakin teruk, setiap tugas yang diberikan, aku gagal laksanakan dengan baik. Sepatutnya dengan pengalaman dan pengetahuan yang aku ada, aku boleh hasilkan kerja yang lebih baik. Namun aku terus membiarkan diriku dibelenggu dengan masalah peribadiku. Tujuan aku ialah untuk menyelamatkan rumah tangga yang baru aku bina, namun, hanya aku yang beriya menyelamatkan sedangkan pasanganku yang bertegas untuk memusnahkan. Betapa nipisnya nilai kasih sayangnya terhadap ku. Sungguh aku harus akui, memang aku tidak pernah rasai kasih sayang dari pasanganku semenjak aku mengenali beliau, namun aku teramat menyayanginya sehingga aku sanggup memaafkan dirinya seandai beliau ingin kembali bersamaku. Sudah 5 bulan aku ditinggalkan keseorangan.

Ternyata aku diperbodohkan oleh sikapku sendiri yang sentiasa berharap agar pasangan ku akan berbaik dengan ku semula. Segala usaha aku selama ini ternyata sia-sia. Tidak mengapalah, beliau mungkin bangga dan megah dapat membuat aku menderita dan terseksa. Hebat, beliau merupakan seorang insan yang sangat hebat kerana merasakan dirinya sempurna dan tidak pernah lakukan kesilapan. Padanya segala kesalahan berpunca dari aku. Selama ini aku sanggup mengalah dan mengakui segala tuduhan beliau demi menjaga kerukunan rumah tangga yang ku bina, namun, sia-sia. Pasangan ku itu terlalu hebat sehingga hukum Allah boleh ditolak tepi bulat-bulat, demi buat hatinya puas. Jadi sekarang ni hatinya sudah puaslah. Setiap hari aku hanya mengikuti perkembangan hidupnya dari jauh sahaja. Tidak mengapalah, aku tetap sayangkan dia.

Disebabkan masalah aku, aku memang tiada mood untuk kerja. Maka aku memang sudah dapat mengagak bahawa kontrak ku tidak disambung. Bagusnya bos aku dengan menyatakan kontrak tidak disambung kerana tiada bajet. Dia tahu aku faham tujuan dia bagi alasan itu, aku memang tidak bodoh untuk ditipu dengan alasan seperti tu, tapi aku bukan nak salahkan bos aku, dia memang seorang bos yang sangat baik, lagipun aku memang tidak mahu kerja disitu lagi sungguhpun syarikat itu besar dan ternama, ditambah pula dekat dengan rumah aku. Aku terima hakikat itu dengan hati yang terbuka, dan syukur aku segera bertindak mencari kerja lain.

Alhamdulillah, berkat usaha aku mencari kerja hari-hari, aku pun dapatlah kerja baru dengan sebuah syarikat yang sederhana. Sungguhpun begitu, semangat aku untuk bekerja sudah kembali. Aku datang seawal mungkin dan aku balik lewat. Itulah tanda yang aku suka akan tempat kerja baru ini. Sekarang ni aku memang tidak tengok matahari kalau aku tak keluar pergi lunch. Bayangkanlah, aku keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dan pulang kerumah sekitar jam 7.30 malam. Masa bila nak tengok matahari?

Tidak mengapalah, yang penting semangat aku telah kembali. Aku semakin berani bersemuka dengan orang lain. Selera makan dan nafsu tidur aku kembali normal. Maka aku sudah dapat pulihkan semangat aku dan itu adalah sangat penting. Aku perlu teruskan kehidupan ini dan tinggalkan segala kenangan silam dibelakang. Biarlah orang yang tinggalkan aku masa aku susah. Aku hadapi kesusahan aku ini sendirian. Dia senang sekarang, tapi aku percaya, suatu hari nanti, aku akan lebih senang dari sekarang, dan kalau ada jodoh, aku akan dapat pengganti yang jauh lebih baik dari dia. Tidak perlu berdendam, itu sifat aku. Aku memang tidak akan berdendam dengan sesiapa. Aku yakin, setiap perbuatan ada balasan. Itulah hukum karma. Kalau tak didunia, diakhirat kenalah. Bahagialah korang sekarang dengan memusnahkan hidup aku, namun, aku sudah bangkit dan korang tidak akan dapat pijak aku semula. Aku tidak akan balas dendam, namum aku akan pertahankan diri aku selepas ini.

Inilah kehidupan baru ku. Hidup ini ibarat putaran roda, ada kala diatas, ada kala dibawah. Fasa aku dibawah telah aku lalui dan sekarang aku sedang menggerakkan roda ku keatas. Aku tetap yakin, berkat kesabaran aku dengan dugaan yang aku tempohi selama ini, aku pasti akan berjaya. Janganlah kita lupa, kita semua ini hanya hamba sahaja. Allah bersama orang-orang yang sabar dan Allah bersama orang-orang yang benar.

Sekian.

No comments: