Wednesday, November 12, 2008

Cerai Berai

Aku sepatutnya gunakan tajuk Abby vs Norman Hakim, namun, adalah tidak berapa elok untuk menceritakan aib orang lain sungguhpun kisahnya 'drama' realiti mereka sudah diketahui ramai seperti kisah realiti televisyen sekarang ini. Apa yang aku ingin coretkan kali ini memang sudah lama terbuku dalam hatiku. Cuma aku perlukan lebih kekuatan mental untuk mencoretkan kisah yang seperti makin hampir terjadi dalam hidup aku.

Memula aku rasa sedih gak la dengan episod hitam yang berlaku dalam hidup aku, tetapi apabila aku melihatkan dewasa ini memang banyak sangat pasangan yang gagal dalam perkahwinan mereka, barulah aku dapat terima hakikat seandainya aku juga mengalami nasib yang serupa. Mujurlah aku bukan selebriti, kalau tidak, sudah pasti kisah aku akan terpampang didada akhbar dan juga dalam televisyen dan sebagainya.

Apa yang ingin aku luahkan ialah rasa tidak puas hati terhadap keadaan yang menimpa Abby dan Norman. Apa la bangangnya punya wartawan yang sengaja mensensasikan kisah rumah tangga kedua-dua selebriti yang popular dengan drama bercorak kepolisian itu.

Aku pelik, kenapa la orang-orang sebangsa aku ini suka sangat dengan cerita-cerita bercorak seperti itu. Memang tak boleh salahkan wartawan 100% kerana mereka pasti akan mencari berita sensasi untuk melariskan jualan akhbar atau majalah diaorang dan seterusnya menambah pendapatan mereka. Memang Allah telah beri kelebihan kepada wartawan untuk membuat penulisan yang baik, tetapi janganlah digunakan ke arah yang boleh memalukan dan menjatuhkan maruah orang lain.

Pasal Abby dan Norman, bukan aku mahupun sesiapa yang layak untuk tentukan siapa yang salah, siapa yang betul. Pada aku dua-dua pihak ada salah dan silap dan juga ada betulnya. Mereka juga manusia biasa. Dalam konteks ini memang pada pendapat akulah, mesti ramai pihak yang akan salahkan Norman. Memanglah salah Norman kerana ada skandal dengan perempuan lain sehingga ditangkap khalwat. Memang Norman tu lelaki sejatilah, bukan aku hendak menyokong terhadap kesalahan yang dia buat, cuma, itulah lelaki. Normallah bagi seorang lelaki untuk jatuh hati pada perempuan lain walaupun sudah berumah tangga. Ditambah pula sekiranya pasangan yang dikahwini tidak dapat memberi layanan seperti yang diharapkan.

Aku bukanlah hendak menyalahkan pihak Abby ataupun pihak perempuan. Dalam soal ini, kalau dikaji betul-betul, pasti kita akan sedari bahawa kedua-duanya bertanggungjawab ke atas kemelut yang melanda dalam rumah tangga mereka. Kalau hendak diikutkan, kehidupan sekarang ini, mungkin ramai lagi yang mengalami nasib yang serupa atau lebih teruk lagi, cuma tinggal lagi sudah nasib Abby dan Norman, mereka dikenali ramai, maka sebab itulah kisah mereka jadi bualan ramai. Kalau diikutkan dulu orang boleh katakan, artis kahwin artis pasti tidak kekal lama. Kalau aku hendak beri contoh memang terlalu banyak. Tetapi percaya atau tidak, sebenarnya apa yang terjadi dalam dunia artis itu sebenarnya terjadi dalam kehidupan yang nyata dewasa ini.

Kenapa perihal seperti ini terjadi? Kenapakah susah sangat institusi perkahwinan hendak dipertahankan? Apakah institusi perkahwinan sekarang sudah tidak relevan lagi? Terlalu banyak sangat kisah-kisah perceraian yang terjadi sekarang ini. Kes-kes keruntuhan moral juga makin berleluasa sekarang ini. Kalau dahulu kita boleh rasa pelik tengok couple berdua-duaan disana sini, sekarang ini, fenomena seperti itu bukan satu benda yang asing lagi. Budak sekolah pun sudah berani pergi sekolah berduaan naik motorsikal bersama. Lebih memalukan mereka tanpa segan silu menunjukkan aksi seperti couple yang sudah berkahwin dalam berpakaian sekolah. MasyaAllah, apalah yang sudah terjadi pada masyarakat aku sekarang ini?

Aku kadang-kadang tidak tahu hendak berkata apa, setiap hari bila baca surat khabar, pasti kisah-kisah perceraian, sumbang mahram dan perkara-perkara yang pelik sentiasa mengisi ruangan dalam akhbar terbabit. Kenapa? Kenapa? Kenapa?.... Kenapa sekarang ini teruk sangat? Kenapa orang dulu-dulu boleh hidup bahagia dan boleh mempertahankan rumah tangga mereka sehingga mereka di hantar ke liang lahat? Kenapa orang zaman sekarang ini, baru bernikah kurang satu tahun pun sudah ramai yang berpisah? Apakah tiada nilai perkahwinan itu? Bukankah Nabi telah anjurkan pentingnya institusi perkahwinan, sehinggakan Nabi tidak akan mengaku umat bagi umatnya yang tidak mahu menjurus kearah perkahwinan?

Pada pendapat akulah, kejadian-kejadian seperti ini menunjukkan bahawa orang-orang sekarang ini ramai yang sudah jahil, tidak memahami apa itu Islam yang sebenarnya. Seperti orang tiada agama bila membuat sesuatu. Semakin maju sesebuah negara itu, semakin jahillah penduduknya. Ini adalah disebabkan kita telah disogokkan dengan keseronokan kehidupan dunia yang sementara ini.

Aku memang agak takut dalam keadaan sekarang yang bukan sahaja tidak terkawal, malah lebih teruk dan sudah semakin parah sekarang ini. Kenapa ya? Kenapalah teruk sangat keadaan dunia sekarang ini. Memang betul dunia sudah tua dan mungkin tidak lama lagi akan kiamatlah dunia ini. Seperti yang telah dinyatakan dalam AlQuran, di akhir zaman ini, pasti berlaku perkara-perkara yang pelik-pelik dan apa yang berlaku pada umat zaman dahulu akan berlaku di akhir zaman. Buktinya, hubungan sejenis, sudah berleluasa juga masalah hubungan sejenis sekarang ini.

Siapakah yang boleh perbetulkan keadaan yang semakin teruk sekarang ini? Ustaz? Ustazah? Ulama? Mufti? Perdana Menteri? Guru? Ibu Bapa? Bangla jual kain? Jawapannya, semua orang perlu kembali kepada ajaran yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Seperti sabda baginda, 'Aku tinggalkan kepada umatku dua perkara (Al-Quran dan Hadis), barang siapa yang berpegang kepada keduanya, nescaya tidak akan sesat selamanya. Masalahnya sekarang, berapa ramaikah yang masih berpegang pada ajaran Al-Quran dan hadis? Memang boleh dikatakan disetiap rumah orang muslim pasti ada sekurang-kurangnya senaskah Al-Quran, namun, apakah Al-Quran itu hanya sekadar bahan hiasan? Wallahualam. Paling aku rasa sangat tidak puas hati, kenapalah undang-undang syariah berbeza mengikut negeri? Kenapa undang-undang sivil boleh diselaraskan dan kenapa undang-undang syariah berbeza? Adakah Quran untuk setiap negeri berbeza? Pelik tetapi benar. Hukum yang sudah nyata pun boleh berbeza untuk setiap negeri. Yang buat lagi kelakar tu, kalaupun ada seorang pegawai syariah itu didatangi oleh orang yang hanya duduk diluar sedikit dari kawasan untuk membuat sebarang aduan, pegawai tersebut tidak mahu ambil aduan tersebut. Bangang, memang bangang.

Itulah sebabnya masalah moral semakin menjadi-jadi sekarang ini. Masalah cerai berai merupakan masalah yang boleh menjejaskan pembangunan sesebuah negara. Pepatah melayu juga menjelaskan, bersatu teguh bercerai roboh. Tetapi pepatah hanya tinggal pepatah, orang-orang sekarang tidak mengendahkan perkara itu semua. Sebabnya, mereka terlalu jahil untuk memahami apa itu Islam sebenarnya. Memang bagi orang yang dilahirkan sebagai islam, menjadi islam hanya disebabkan dilahirkan dari keluarga islam. Kalau dilahirkan tanpa agama ataupun agama lain, sudah pasti tidak ramai orang islam sekarang ini. Islam hanya pada nama sahaja.

Aku ingin berkongsi sedikit pengalaman aku ketika menghadiri sessi kaunseling untuk selamatkan rumah tangga aku. Teruk aku di kutuk dan dihina oleh pasanganku dan juga kaunselor yang pada aku langsung tidak layak jadi kauselor, lebih mudah kata, 'bias'. Kalaulah semua kaunselor rumah tangga macam dia, sudah pasti banyak pasangan yang akan bercerai berai punya. Aku yang beriya nak selamatkan rumah tangga aku, pasangan aku memang bersungguh nak musnahkan, bolehlah pulak si kaunselor bangang tu dok sokong tindakan pasangan aku tu. Masa tu aku rasa macam dosa aku besar sangat dan aku ni teruk sangat sebagai manusia. Alasan dan pembelaan aku langsung tidak diendahkan. Alasannya pasangan aku dah memang tidak mahu hidup bersama aku, untuk apa aku mahu pertahankan lagi rumah tangga aku? Amboi, sesedap hati je cakap gitukan. Abis, aku ni tak ada perasaan ke? Kenapa hak aku langsung tidak diendahkan? Tak apalah, aku berada ditempat orang masa tu, memanglah aku boleh dihenyak. Cuba datang tempat aku, kalau beranilah. Masa nak kahwin dulu dia yang beriya nak cepat sangat, bila timbul masalah nak bercerai cepat-cepat. Apa gunanya perkahwinan kalau begitu? Tak ada sefahaman la, entah apa-apalah, kalau usia perkahwinan tak sampai setahun, nak sefahaman macam mana? Tak matang lagi? Nak tunggu umur berapa baru dikira matang?

Tapi, aku sudah sedari, tiada gunanya mengharap pada yang tak sudi. Pokok pangkalnya adalah hati. Kalau hati dah tak suka, buat baik macam mana sekalipun tidak dihargai. Tapi tidak mengapalah, aku sudah tidak mahu salahkan sesiapa mahupun diri aku sendiri. Syukur aku dapat hadapi perkara ini dan syukurlah dalam keadaan sebegini menyedarkan aku betapa kecilnya manusia disisi Allah. Memang aku sudah rancang, sekiranya, seandainya aku akan bertemu jodoh dengan orang lain, aku akan minta dia selidik diri aku dahulu dan aku akan suruh dia buat rujukan pada pasangan aku kerana dia sudah pasti tahu bagaimana aku dan dialah tempat rujukan yang paling sesuai. Terpulanglah kepada dia sama ada hendak terus memburuk dan menyalahkan aku kerana kegagalan perkahwinan kami, dan terpulanglah kepada bakal pasangan aku itu sama ada hendak terima aku seadanya mahupun tidak. Apa yang pasti setiap orang deserve untuk another chance. Gagal sekali bukan beerti gagal untuk selamanya.

Apa yang aku ingin rangkumkan sekarang ini adalah, kita sebagai hamba haruslah sentiasa tunduk kepada Allah S.W.T. Setiap manusia pasti akan diuji dan ujian itu dalam dua bentuk, sama ada kesenangan ataupun kesusahan. Percayalah pada Qada' dan Qadar Allah. Segalanya adalah ketentuan. Berpeganglah pada ajaran agama yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W, sudah pasti kita akan hidup bahagia dunia akhirat. Janganlah kita lupa, kehidupan dunia ini hanya sementara. Dunia penuh dengan kepura-puraan. Memang orang yang menipu boleh hidup senang, tetapi sampai bila dia boleh senang dengan hidup menipu? Kehidupan akhirat yang kekal abadi. Dunia ini hanya jambatan menuju ke akhriart. Kumpullah segala amalan sebanyak mungkin kerana kita tidak akan tahu bilakah maut akan menjemput kita. Setiap yang hidup pasti akan mati dan kematian itu tidak akan cepat mahupun lambat walaupun sesaat. Namun begitu, kita perlu tahu, Qada dan Qadar boleh berubah dengan doa. Doa juga merupakan suatu ibadah. Maka banyakkanlah berdoa kepada Allah kerana sesungguhnya Allah memang sukakan hamba-hambaNya yang sering meminta padaNya. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, pasti Allah akan kabulkan permintaan kita jika ianya terbaik untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Adakalanya apa yang kita sukakan itu bukanlah yang terbaik untuk kita dan adakalanya apa yang kita tidak suka itulah yang terbaik untuk kita. Maka sama-samalah kita banyakkan mengingati Allah dan berdoa kepadanya. Mintalah apa sahaja yang baik-baik dan yakinlah dengan apa yang kita pinta. Jangan sesekali berburuk sangka pada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih. Memang sebagai manusia kita tidak sabar. Harapannya apa yang kita minta akan segera tercapai. Ada seorang ustaz beri tahu aku, kalau kita minta bunga, Allah bagi kaktus dan kalau kita minta kain, Allah bagi kita ulat beluncas. Nampak macam pelik bukan? Tetapi itulah indahnya dan betapa berkuasanya Allah. Pokok kaktus itu akan berbunga dan ulat tersebut akan mengeluarkan benang yang akan menjadi kain. Moralnya disini, setiap apa yang kita minta akan kita dapat, cuma masa sahaja yang akan menentukan. Sabar.

Memang senang lafazkan perkataan sabar berbanding melakukannya. Dalam doa kita, kita mungkin memohon untuk dijadikan orang yang sabar. Jadi bagaimana kita hedak mengukur tahap kesabaran kita? Ujian dan dugaan. Itulah yang mengukur tahap kesabaran kita. Sekiranya kita berjaya tempohi dugaan dan ujian Allah, maka kita telah dapat nikmat kesabaran yang Allah kurniakan. Allah tidak akan menguji seseorang hamba itu jika ujian itu tidak sesuai baginya. Jadi sekiranya kita ditimpa musibah atau diuji, ianya membuktikan kita layak menerima dugaan tersebut. Allah Maha Mengetahui. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.

Akhir kata, berserah pada Allah dan sentiasalah berdoa. Insaflah selagi masih bernyawa dan masih berkesempatan. Janganlah biarkan hati terus dibelenggu dosa dan seterusnya mati. Aku hendak akhiri artikel ini dengan satu pantun yang aku dapat dalam satu blog lain, pantunnya berbunyi;

Bekunya airmata dari kerasnya hati,
Kerasnya hati dari banyaknya dosa,
Banyaknya dosa dari lupanya mati,
Lupanya mati kerana cintakan dunia.

Moral: Ingatlah kepada mati kerana setiap yang hidup pasti akan mati, wallahualam.

No comments: