Wednesday, November 26, 2008

Biarlah Dia Bahagia

Terkadang apabila hati aku tengah betul-betul tenang dan boleh berfikir secara rasional dan waras, aku rasakan aku perlu terima akan hakikat bahawa mahligai yang aku bina tidak mungkin akan kekal selamanya. Bukan kerana aku sudah berputus asa, tetapi segala usaha aku selama ini tidak mendatangkan apa-apa hasil seperti mana yang aku harapkan, maka aku perlulah buat suatu keputusan yang memang pada dasarnya amat perit untuk ku telan.

Seseorang perlu bekorban dan aku rasa akulah yang terpaksa bekorban sekarang ini. Untuk apa aku terus menagih dan mengharap pada yang sudah tidak sudi? Kalaupun sayang aku pada dia melebihi segala yang ada di dunia ini, namun hatinya sudah 'kosong' atau sudah tiada apa-apa perasaan pada aku lagi, tiada guna untuk aku terus membuang masa. Aku pun tidak boleh terus menyeksa dia, dan aku akur bahawa aku perlu buat pengorbanan yang paling besar dalam hidup aku - melepaskan dia. Memang sesuatu yang sangat tidak aku inginkan. Itulah sebabnya mengapa aku sanggup beralah dan merendahkan diri demi pertahankan hubungan bersama insan yang aku sayangi.. Aku tahu, memang aku pernah lakukan kesilapan, tetapi hukuman yang aku terima teramat berat rasanya. Sedangkan ketika putus cinta dulupun aku ambil masa 3 tahun untuk pulih sepenuhnya, itupun setelah ex aku berkahwin. Kalau sekiranya dia belum berkahwin, mungkin aku masih sanggup menunggu dia. Tapi semuanya jodoh yang Allah tentukan. Aku tidak pernah terduga untuk bertemu jodoh dengan pasangan aku sekarang ini dan aku tidak menjangka bahawa jodoh aku mungkin tidak berpanjangan. Kalau inilah yang terbaik, aku kena akur juga dan entah berapa lama masa yang akan aku ambil untuk pulihkan diri aku semula.

Aku memang terpaksa akui bahawa aku tidak mahu terima hakikat untuk berpisah dengan orang yang aku sayangi. Tetapi, aku tidak boleh terus menerus untuk pentingkan diri aku sendiri. Mungkin sebab itulah, dia dan keluarganya melabel aku sebagai seorang yang ego. Kakaknya tempoh hari menjerkah pada aku menyatakan bahawa adiknya sudah tak mahu dekat aku, tak malu ke? Amboi, cantiknya bahasa. Dulu masa dia nak, bukan main lagi, tak sempat-sempat, bila dah tak mahu, nak buang begitu sahaja. Itulah antara sebab mengapa aku tidak dapat nak lepaskan dia dengan cara yang baik. Masakan tidak, kalau minta cara baik, baiklah yang dia dapat, ini nak guna cara kotor dan tak baik, masakan aku boleh berkompromi dengan orang yang tidak tahu mengenal erti kompromi. Asyik aku sahaja yang harus beralah, mana boleh, tak adillah kalau begitu.

Aku perlu berfikir lebih panjang dan matang memandangkan sekiranya aku menangguh perkara ini, ianya akan lebih teruk dan aku juga tidak boleh buka buku baru. Kalau aku sudah ada pengganti yang betul-betul, mungkinlah aku tak hairan kot, tapi dalam keadaan sekarang ini, eloklah aku selesaikan dahulu dengan pasangan aku sebelum mencari pengganti. Memang pasangan aku sudah tak mahu bersama aku, itulah sebab dia tak rasa bersalah memburuk-burukkan aku pada orang lain. Jadi, jika aku tak mahu dia terus bergelumang dengan dosa, aku perlu lepaskan dia dengan cara yang baik. Dalam Islam juga jelas menyatakan dan mengajar kita, kalau hendak berpisah, berpisahlah dengan cara yang baik. Kalau sekiranya hubungan itu memang sudah tidak dapat diselamatkan, dan perlu kepada perpisahan, maka terpaksalah aku terima hakikat itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.

Aku tak mahu perpisahan ini mendatangkan kesan permusuhan antara dua keluarga. Kalau boleh, biarlah berpisah dengan cara yang paling baik dan tidak menimbulkan perasaan dendam antara satu sama lain. Mungkin aku juga banyak salah kerana biarkan perkara ini berlanjutan dan ianya mungkin sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Tetapi kenapa aku harus terus menerus menyalahkan diri aku? Tidak, aku tidak perlu salahkan diri aku mahupun sesiapa. Segalanya ketentuan. Aku bukanlah salahkan takdir, tetapi inilah Qada' dan Qadar yang telah disuratkan untuk aku. Mungkin aku bukan yang terbaik untuk pasangan aku, maka Allah jauhkan aku dari dia. Jadi aku harus terima hakikat itu dan haruslah aku lepaskan dia dengan baik. Walau aku sayangkan dia, tetapi aku tidak boleh pentingkan diri aku sendiri.

Aku memang telah maafkan segala kesalahan dia dan aku memang tidak akan berdendam dengan dia walau sedikit pun. Aku tetap doakan dia bahagia. Aku memang nak sangat tengok dia bahagia kerana dia deserve untuk hidup bahagia. Jadi kalau dia tidak bahagia bersama aku, mengapa harus aku seksa dia lagi? Kesian dia tau. Aku memang kejam.

Apa yang aku harapkan, janganlah dia ganggu aku sehingga menjejaskan periuk nasik aku. Aku yakin dia akan lebih bahagia selepas ini. Doa aku akan sering mengiringi dia. Aku akan tetap doakan agar dia bahagia. Walaupun dia sudah tidak percaya pada aku, tetapi suatu hari nanti, dia akan tahu betapa aku tetap menyayangi dia.

No comments: