Monday, November 24, 2008

Corat Coret

Pagi ini aku telah belajar sesuatu daripada apa yang terjadi semasa aku bersarapan. Memanglah kalau hendak difikirkan ianya mungkin secara kebetulan dan tiada apa yang besar sangat hendak dibicarakan, tetapi sekiranya setiap apa yang berlaku itu kita fikirkan dari pelbagai sudut, sudah pasti kita boleh belajar dari setiap perkara yang terjadi.

Kisahnya begini, kebetulan aku memakai baju warna putih hari ini. Seperti biasa menu sarapan aku roti banjir dengan teh tarik. Menu yang menyumbang banyak kalori dalam badan dan kalau diamalkan boleh menyebabkan aku mengidap sakit jantung pada usia yang muda. Nak buat macam mana, dah itu saje menu yang boleh buka selera aku. Sedang aku menikmati juadah tersebut, tiba-tiba tepercik la kuah kari ke baju aku yang putih itu. Terus buat mood aku nak sarapan hilang, sungguhpun terdapat hanya 4 titik kecil di baju aku, memandangkan baju aku yang putih itu, ianya nampak sangat ketara. Memang betullah, walaupun ruangan atau kawasan putih itu lebih besar, namun apa yang akan menjadi tumpuan orang ialah 4 titik tompokan kecil kari diatas baju putih tersebut. Mujurlah aku memang ada baju spare kat pejabat ni, kalau tidak, terpaksalah aku memakai baju tersebut sampai habis waktu kerja. Aku dah cuba cuci tompokan kecil tersebut, tetapi tompokan tersebut tak mahu hilang.

Apa yang ingin aku kaitkan disini ialah tentang tingkah laku manusia. Ibarat pepatah melayu, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Kalau selama ini aku sering tertanya, kenapalah orang sering kenang keburukkan aku sahaja walhal aku banyak juga buat baik pada orang lain sebelum ini. Sama macam kisah aku dengan pasangan aku, punyalah banyak perkara baik yang aku buat pada dia, tapi apabila aku buat salah, hanya itu sahaja yang dia kenang. Memang aku tidak salahkan pasangan aku 100% dalam hal ini, cuma tinggal lagi aku rasakan adalah tidak patut hanya kenangkan salah orang lain yang telah banyak berjasa atau berbudi pada kita.

Apabila aku melihat terdapat tompokan kecil kari pada baju aku, baru aku sedari dan faham, walau kita buat baik sebanyak mana sekalipun, kalau kita terbuat salah sama ada disengajakan atau tidak, ianya tetap nampak juga. Maksudnya disini, kalau kita ni orang yang baik, janganlah sesekali buat jahat atau buat perkara yang tidak elok. Aku taklah katakan aku ni baik sangat, tetapi mungkin kerana aku jarang buat salah maka apabila aku buat salah, memang akan ketara nampak kesalahannya. Berbeza dengan orang yang sering buat salah, ibarat kain hitam, dia buat jahat macam mana sekalipun, sangat sukar untuk kantoi. Seperti orang yang sudah biasa menipu, dia akan berlagak selamba sahaja dengan segala penipuan dia sebab dia sudah biasa menipu. Kalau tompokan kari terkena pada kain hitam, mungkin tidak berapa ketara sangat berbanding dengan tompokan dibaju putih.

Dalam agama juga ada menjelaskan perlu membezakan antara hak dan bathil. Memang sikap manusialah, suka mencari dan mengenang salah orang daripada mengenang jasa baik orang lain. Itulah manusia. Sepatutnya sebagai seorang islam, kita kena sering berpandukan ajaran Al-Quran. Didalam satu surah ada menjelaskan, barangsiapa membuat kebajikan walau sebesar zarah, ianya akan dinilai, dan barangsiapa yang membuat salah walau sebesar zarah, ianya akan dinilai juga. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Manusia tidak akan dapat berlaku adil seadil-adilnya. Fitrah manusia yang dicampur elemen emosi, dengki, khianat dan sebagainya, itulah sebab manusia tidak akan dapat berlaku adil.

Moralnya disini, kalau kita hendak jadi baik, perlulah terus jadi baik dan janganlah jadi jahat atau buat jahat. Kalau kita dah buat salah, segeralah bertaubat. Seperti kotoran pada baju tersebut, boleh dicuci, bukannya ia kekal disitu, yang penting kita berusaha untuk mencucinya. Kalau sekiranya kita hanya membiarkan kotoran tersebut, maka amat susahlah ianya akan dihilangkan. Allah Maha Pengampun dan sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya.

Sebenarnya aku memang ingin coretkan sesuatu pada blog ini pagi ini. Bukan kisah baju aku yang terkena percikan kari, tetapi tentang pasangan aku. Aku sebolehnya ingin elak dari bertemu dia. Bukan apa, kalau aku bertemu dia, kasih sayang aku terhadapnya bertambah dalam. Walau buruk mana sekalipun layanan dia pada aku, namun aku tidak mampu untuk membenci dia mahupun melupakan dia. Aku terasa sedih sangat dengan apa yang terjadi pada malam sabtu yang lepas. Memang sudah lama aku tidak mengalirkan air mata aku kerana dia, tetapi malam tadi aku tidak dapat membendung air mata aku dari mengalir. Terkadang aku terasa diri aku sangat kejam buat dia begitu. Aku memang tak boleh tengok kalau dia menangis, sedih sangat. Memanglah dia tak pernah tahu apa perasaan aku pada dia, tapi aku sebenarnya memang tak mahu dia terseksa. Itulah sebabnya aku tidak mahu ganggu hidup dia selama ini. Aku gembira bila lihat dia ceria dan gembira, tetapi kalau dia sedih, aku bertambah sedih. Aku tak sanggup lihat orang yang aku sayang sangat bersedih. Kesian dia, tetapi pernah ke dia kesian pada aku? Itulah masalahnya. Kenapalah dia tak boleh buat seperti mana yang aku buat?

Aku tetap berdoa agar jodoh aku dengan dia dapat diselamatkan dan berpanjangan. Walau sudah tempohi pelbagai dugaan seperti ini, aku akan sentiasa bersedia dan terbuka untuk terima dia kembali. Aku sayangkan dia, dan aku memang tak sanggup kehilangan dia. Walaupun aku mungkin ada hati pada orang lain, tetapi aku boleh katakan tiada siapa yang boleh gantikan tempat pasangan aku dihati aku. Aku tetap sayangkan dia walaupun dia sudah tidak sayangkan aku mahupun sudah tidak mahu hidup bersama aku. Aku tahu, pasangan aku tahu yang aku sayangkan dia sangat-sangat, itulah sebab dia sanggup buat perkara-perkara yang mungkin membuat aku benci pada dia. Tidak, walau buruk mana layanan dia terhadap aku, aku tetap sayangkan dia dan masih berharap agar dia kembali pada aku. Dia memang sudah jadi sebahagian daripada hidup aku, dia lebih penting dari hidup aku, aku lebih rela pergi dahulu daripada kehilangan dia. Memanglah orang boleh katakan macam aku kena mandrem atau buatan pasangan aku, namun aku tak mahu percaya pada semua itu kerana aku memang sayangkan pasangan aku. Tiada sebab untuk dia guna-gunakan aku. Yang aku tahu, aku tetap sayangkan dia.

Apa yang aku mampu buat sekarang ialah berserah pada Allah S.W.T. Pada siapa lagi harus aku berserah kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui segala yang berlaku didunia ini. Itulah pasal masa aku dapat mimpi lihat wajah pasangan aku setelah aku melakukan solat istikharah, aku terus tutup hati aku pada orang lain. Bukanlah aku tak mahu membuka buku baru atau menyukai orang lain, masalahnya setiap kali kalau aku berkenan pada seseorang, ingatan aku terus pada pasangan aku. Memang aku sedari, aku amat sukar untuk lupakan pasangan aku. Walaupun aku hanya dapat bersama dia untuk satu tempoh yang singkat, namun kasih sayang aku padanya sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata.

Aku masih berharap agar rumah tangga aku kekal selamanya. Aku sudah berusaha, aku sudah berdoa, dan sekarang ini tinggal tawakal sahaja. Walau apapun, segalanya aku serahkan pada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

No comments: